Monday, November 1, 2010

BUKAN PINTAKU 7



Mas meninjau ke dapur. Dari tadi hidungnya sudah menangkap bau yang enak dari sini, pasti Mak Jah sedang menyediakan sarapan untuk mereka. Pelahan-lahan dia mengatur langkah, sengaja tidak mahu Mak Jah perasan kehadirannya. Perlahan-lahan di memeluk Mak Jah yang terlalu asyik melayan angannya.

“Hah..........Mak Jah masak apa?” tersengih Mas memandang Mak Jah.

“Budak ni!!! Nasib baik Mak Jah tak pegang pisau tau, kalau tidak tak pasal-pasal jadi kes bunuh pulak.”

“Alah...Mak Jah ni, dah lama la Mas tak usik Mak Jah. Rindu la......” Mas merengek bagaikan seorang anak manja.Sudah lama Mak Jah tinggal bersamanya, baginya Mak Jah sudah seperti ibunya sendiri. Seorang ibu yang menjadi tempat dia bermanja dan meminta nasihat.

“Dah, dah...lepaskan Mak Jah. Rimas la. Mas nak sarapan ke? Ada nasi lemak ni, semalam Afia kata dia nak makan sebab tu la Mak Jah masakan hari ni.”

“Nanti Mas kejutkan Afia dan Afiq, kita sarapan sama-sama ye Mak Jah. Mak Jah nak Mas tolong buat apa-apa tak?” tanya Mas sambil matanya memandang hidangan di hadapannya. Sedap. Dia berbisik sendiri.

“Tolong tengok je.....Dah siap dah semuanya.” Mak Jah tersenyum memandang Mas.

“Mas....biarlah dulu Afia dan Afiq tu tidur. Hari minggu ni kesian kan kalau kejutkan awal-awal. Kejap lagi la baru dikejutkan.” Langkah yang baru diatur ke bilik anaknya terhenti apabila Mak Jah menegurnya. Pasti anak-anaknya masih enak dibuai mimpi, pagi masih awal lagi, baru pukul 6.30 pagi. Mas mengeluh perlahan sambil tersenyum. Dia kembali ke dapur, melihat dan memerhatikan sahaja Mak Jah menyudahkan kerja-kerjanya.

“Kesian Mas.” Mak Jah mengomel sendiri. Dilihatnya Mas sudah jauh mengelamun. Pasti hanya jasadnya sahaja berada di dapur ini, tapi fikirannya entah di mana. Sudah lama dia tinggal bersama Mas, sejak arwah Ilham masih ada. Kisah susah senang keluarga ini sudah menjadi susah senangnya juga. Mas dan Ilham sudah dianggap seperti anak kandungnya, Afia dan Afiq sudah seperti cucunya sendiri. Kasih sayangnya pada mereka semakin hari semakin menebal. Dia berharap dapatlah dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya di sini sahaja. Dia sudah tidak punya sesiapa.

“Mak cik kenapa duduk dalam hujan ni, mari mak cik kita masuk ke rumah saya.” Perlahan tangannya dipimpin seorang lelaki muda yang sebaya anaknya. Ya......anak yang sudah membuangnya.

“Mas, tolong ambilkan tuala dan pakaian kering. Bawa mak cik ni masuk Mas.” Dipandang wajah di depannya. Sungguh saat itu dia amat kecewa bila bukan wajah anaknya yang dilihat.

“ Makcik, saya Ilham. Ni isteri saya Mas. Makcik ikut Mas, tukar pakaian yang kering, jangan takut....kami cuma tak nak makcik sakit sahaja.” Perlahan-lahan dia menganggukkan kepala dan mengikut langkah Mas yang sedang memimpinnya. Bermula dari hari itulah dia tinggal di sini, Mas dan Ilham tidak mahu dia kemana-mana lagi bila tahu dia sebatang kara. Bermula detik itulah juga dia tidak lagi mendengar khabar atau bertemu dengan anak kandungnya. Sudah hampir lima tahun dia bahagia tinggal di sini.

“Mas..............Mas....” Panggilan Mak Jah tidak diendahkannya. Mas masih hanyut dalam lamunannya.

“Mas....” tepukkan Mak Jah di bahu Mas segera mematikan angannya.

“Ada apa Mak Jah?”

“Mas tak sihat ke? Mak Jah tengok sekarang ni Mas suka sangat termenung. Kenapa?”

“Tak de la Mak Jah, mana ada Mas termenung, perasaan Mak Jah aje agaknya.” Seboleh mungkin Mas tidak mahu mengheret Mak Jah ke dalam masalahnya.

“Mak Jah tahu, bukan sehari dua Mak Jah kenal Mas. Sejak kahwin ni Mak Jah tengok perangai Mas dah lain sangat. Suka melamun. Sabarlah Mas. Semua ni pasti ada hikmahnya nanti.” Perlahan-lahan Mak Jah mengusap belakang Mas, harapnya sedikit beban Mas akan kurang. Dah hampr tiga bulan dia perasaan perubahan Mas, sejak Amran hadir dalam dunia mereka.

“Mas ok Mak Jah. Jangan risau. Mas kan kuat.” Sambil ketawa kecil Mas membalas kata-kata wanita di depannya.

“Mas, semalam Ikmal ada telefon. Dia kirim salam pada Mas. Katanya di telefon handphone Mas tak dapat.”

“Abang Ikmal sihat tak Mak Jah? Dah lama saya tak jumpa dia. Asyik cakap kat telefon je. Dia nak apa Mak Jah?”

Mak Jah tersenyum mendengar kata-kata Mas. Dia tahu hubungan antara Mas dan Ikmal agak rapat. Ikmal amat mengambil berat keadaan Mas dan anak-anak. Anak-anak Mas juga bagaikan seronok bila berada bersama Ikmal. Mungkin Afia dan Afiq rindukan belaian seorang bapa. Perlahan Mak Jah melepaskan keluhannya, hatinya hiba bila mengenangkan keperitan hidup yang sedang dilalui Mas.

“Mak Jah, Mas tanya ni. Abang Ikmal nak apa? Mak Jah ni....., sempat pulak dia berangan. Mak Jah ingatkan Pak Ayub ye?” Mas ketawa riuh melihat muka Mak Jah yang sudah memerah bila diusik.

Mak Jah mencebikkan mukanya. Perlahan satu cibutan mendarat di lengan Mas. Seronok hatinya bila melihat Mas sudah mula ketawa. “ Ikmal kata sekarang dia kat Sabah. Ada kerja kat sana. Katanya bulan depan dia balik. Dia kata dia rindukan Afia dan Afiq. Tapi kan......, Mak Jah rasa sebenarnya dia rindukan Mas la.”

Tawa Mas terhenti. Dipandangnya Mak Jah di depannya. Serentak itu ketawanya tercetus semula, malah lagi kuat dari tadi. “Mak Jah ni bila start jadi ahli nujum pula. Dah pandai pula tilik siapa rindu siapa!” Mas menutup mulut, cuba menahan tawanya. Lucu bila melihat Mak Jah menarik rajuknya.

“Mas tak rindukan Ikmal ke?” Mak Jah menyoal, Mas hanya mengelengkan kepala bersama sisa ketawanya.

“Kalau Mas tak rindukan Ikmal, Mas rindukan Amran agaknya.” Perlahan Mak Jah berbisik, tapi masih lagi dapat didengari oleh Mas.

“Mak Jah, Mas tak rindukan siapa-siapa. Tidak Ikmal tidak juga Amran.” Tenang Mas menjawab.

“Tapi....Amran kan suami Mas. Takkan Mas tak ingat langsung pada dia. Pelik la Mak Jah.” Mak Jah mengaru kepalanya yang tidak gatal. Pelik dengan tingkah laku Mas yang dirasakan berbeza dengan kata-katanya.

“Amran memang suami Mas. Syurga Mas Mak Jah. Tapi itu hanya atas nama sahaja, hakikatya kami masih macam ni. Kami ada hidup masing-masing. Tak payah la Mak Jah risau. Kita serahkan aje semuanya pada takdir. Kalau sudah ini takdir Mas, Mas redha.”

“Mas tak pernah jumpa Amran sejak hari kahwin tu lagi ke?” Perlahan Mak Jah cuba merisik. Tidak pernah Mas menyebut atau bercerita perihal Amran sejak hari pernikahan mereka. Selama hampir tiga bulan tidak pernah dia melihat bayang Amran bersama Mas, atau mendengar Amran bertanyakan khabar.

Perlahan Mas mengeleng kepalanya. Perlahan pula tangannya digengam Mak Jah. “ Sabarlah Mas. Mas masih ada anak-anak dan Mak Jah. Sabarlah.”

Mas mengangguk kepalanya perlahan-lahan. Riak wajahnya jelas menampakkan beban yang sedang ditanggungnya. “Mak Jah, Mas nak ke depan kejap. Nak ambil angin pagi sementara Afia dan Afiq belum bangun.”

“Mas, kalau jiran-jiran kita cakap apa-apa pun Mas buat tak tahu je. Jangan ambil hati.” Mas yang baru melangkah berpaling, senyuman terukir di bibirnya. Dia memang amat faham apa yang dimaksudkan. Sudah pasti Mak Jah risau jika umpatan dan cacian jiran-jirannya menambahkan kekusutan hidupnya. Menguris hati dan perasaannya.

“Ok Mak Jah. Jangan risau. Biarkanlah mereka. Telinga Mas ni dah kebal la Mak Jah. Okey.....tak yah risau. Mulut orang bukannya kita boleh tutup.”

Mak Jah mengeluh panjang memerhatikan langkah Mas yang semakin menjauhinya. Dia tersenyum sendiri. Baginya Mas memang seorang yang cekal. Tidak mudah mengalah. Mas mudah mesra, periang, suka ketawa dan tersenyum. Namun sekarang Mas bagaikan sudah lupa unuk ketawa, lupa untuk tersenyum. Mak Jah amat berharap, biarlah hari ni dan seterusnya Mas bahagia seperti tadi. Masih boleh ketawa, senyum dan mengusiknya. Seorang yang periang seperti Mas tidak sepatutnya berubah menjadi pendiam.

“Ikmal......” Senyum Mak Jah semakin panjang bila menyebut nama itu. Dia tahu Ikmal menyukai Mas. Mereka kelihatan bahagia bila bersama. Ikmal sama seperti arwah Ilham, pandai membuatkan Mas ketawa dan tersenyum. Ikmal bijak menyingkirkan segala kesedihan Mas. Mata tuanya amat mengerti, cinta Ikmal pada Mas tidak dapat dinafikan, cinta yang tidak pernah diucapkan pada Mas.Tapi itulah takdir tuhan, ajal maut dan jodoh pertemuan semua di tangan NYA. Tiada siapa yang boleh mengelak. Dan sejak Mas menjadi isteri Amran, Ikmal sudah jarang mengunjungi mereka. Mungkin Ikmal membawa diri, mengubati hatinya yang kecewa. 'Ya Allah, Kau bahagiakan lah anak-anak ini. Jika sudah ditakdirkan ini ketentuanMu, mudahkanlah jalan mereka.' Mak Jah memanjatkan doanya.

**********

Mas melabuhkan punggungnya di buai di halaman rumah. Terasa sedikit ketenangan. Hari minggu seperti ini, kawasan perumahan ini biasanya agak sunyi jika di awal pagi, mungkin ramai antara penduduknya masih lagi enak dibuai mimpi. Semerbak wangian bunga melor menerpa hidungnya, 'wangi.....' desis hatinya. Halamannya rumahnya memang sengaja ditanam pokok bunga melor itu, dia sukakan wangiannya, terasa segar.

Matanya menangkap sepasang burung yang bertengek di pagar rumah. Bahagianya burung tu. Kalaulah dia boleh jadi seperti burung itu alangkah seronoknya. Dia ingin terbang bebas, berpasangan, melupakan semua masalah dan dia ingin pergi jauh-jauh dari belenggu hidupnya sekarang. 'Pasti ada hikmahnya, jangan sedih Mas, jangan sekali-kali kau menyerah kalah, tempuhilah segalanya dengan tenang, kau mesti kuat,kuat dan kuat !!!.' Mas bermonolog sendiri, cuba meniupkan semangat yang hampir tenggelam di dasar lautan hatinya.

“Hai Mas....!! Pagi-pagi lagi dah termenung ni kenapa?”
Suara Kak Leha jirannya bagaikan mesra menyapa Mas. Pasti sekejap lagi suara itu bakal menjadi puting beliung. Siapa yang tak kenal Kak Leha, wartawan gosip yang paling popular kat taman ni.

“Saya bukan termenung kak, saja je duduk-duduk, nak ambil angin pagi. Kalau hari kerja tak sempat pulak.” Tanpa senyuman selamba Mas menjawab, malas sebenarnya mahu melayan.

“Akak ingatkan Mas tengah cuci mata, asyik pandang ke jalan tu je, manalah tahu ada yang berkenan di hati, nak dijadikan laki.” sinis sahaja kata-kata Kak Leha, boleh mencairkan tahi telinga, dan kalau tak sabar bakal ada adegan tarik-tarik rambut ni...!!!! Sabar Mas..... sabar. Senyum......

“ Akak dengar kau dah kahwin lepas kena tangkap basah hari tu, mana laki kau?? Takkan dah lari kot......??” Tersengih-sengih Kak Leha memandang Mas, puas hatinya. Dia tidak berapa sukakan Mas, kawan-kawan gosipnya selalu mengatakan Mas ni janda yang mesti dijauhi, janda yang suka mengambil kesempatan , apatah lagi nama Mas sentiasa meniti di bibir suami mereka.

Mas turun dari buai yang diduduki. Berjalan menghampiri Kak Leha yang sedang enak menyangkut dagu di pagar rumah mereka. Mungkin puas hati dapat menyakiti hatinya. Sambil tersenyum Mas berbisik perlahan ke telinga jirannya itu.

“Akak nak tahu ke?” Kak Leha angguk.

“Betul akak nak tahu, akak jangan cakap kat orang lain tau!!” sekali lagi Kak Leha mengangguk mendengar bisikan Mas.
“Laki saya dah lari la kak......sebab ni la saya dok intai mana-mana lelaki yang nak jadi suami saya ni. Kalau akak setuju la kan, boleh tak kalau saya masukkan nama suami akak dalam senarai calon suami saya. Saya suka sangat ni kalau akak jadi madu saya, akak kan radio bergerak kat sini, lepas ni mesti saya lagi popular. Boleh ye kak??? “ Mas tersenyum panjang.

“Kau......” Merah padam muka Kak Leha mendengar kata-kata Mas. Tak sangka Mas mengenakannya balik. Pantas sahaja dia melangkah meninggalkan Mas yang masih tersenyum memandangnya. Namun belum sempat dia menutup pintu, terdengar Mas melaungkan namanya.

“Kak Leha.........marah ke? Maaf la ye....saya gurau je tadi. Terima kasih la sebab akak dah kasi saya idea pagi-pagi ni.....setuju ye kak ,idea saya tadi....” serentak itu ketawa Mas sudah tidak dapat ditahan. Geli hatinya melihat Kak Leha yang marah-marah. Pasti tidak puas hati bila umpatannya berbalik pada diri sendiri.

“Kak Leha.....Kak Leha.....” Mas masih dengan ketawa mengekeknya. Entah kenapa dia rasa amat gembira hari ini. Kata-kata Kak Leha tadi tidak sedikitpun berbekas di hatinya. Memang dia akui, statusnya sebagai janda dulu dan statusnya yang berkahwin tanpa kehadiran suami sekarang sering menjadi bualan jiran-jirannya. Bahan umpatan yang sedap didengar, menjadi halwa telinga mereka semua.

“Mas.....Mas....kenapa ni!! Mas sembang dengan siapa tadi?” Mas masih dengan sisa ketawanya, soalan Mak Jah tidak dijawabnya. Dia hanya mengelengkan kepalanya sahaja.

“Budak ni....kenapa pulak asyik ketawa ni, Mak Jah tanya ni?”

“Tak de apa la Mak Jah, Mas geli hati ni. Baru je tadi Mas dengar siaran radio bergerak, tak sempat nak on air dah kena panah petir, terus masuk rumah. Agaknya radio tu dah terbakar Mak Jah.”

Mak Jah menarik nafas panjang, faham dengan apa yang dimaksudkan Mas. Hatinya lega bila memandang keadaan Mas sekarang, setidak-tidaknya dia tahu Mas tidak menjadikan suara-suara sumbang tu sebagai pelemah semangatnya. Dan tanpa dapat ditahan, dia turut sama ketawa bila dilihatnya Mas masih lagi seronok melayan gelaknya.


p/s : kawan-kawan, jangan lupa tinggalkan komen anda. sila - silakanlah. terima kasih.

1 comment:

hud said...

padan muka kak leha!!

mulut cam longkang!!