Tuesday, December 7, 2010

BUKAN PINTAKU 12


Riuh rendah bunyi gelak ketawa memenuhi ruangan rumah yang selama ini sunyi. Terpancar kebahagiaan di wajah kedua orang tuanya. Dari tadi tidak putus-putus gelagat Afia dan Afiq bagaikan sedang mengeletek hati mereka. Anak-anak itu bijak dan pandai membawa diri. Tahu di mana mereka berada dan amat petah bila menuturkan kata. Amran hanya memerhatikan dari jauh. Sesekali dia tersenyum senang bila terpandangkan aksi ibu bapanya melayan cucu-cucu mereka. Tanpa sedar sesalan mula menjentik tangkai hatinya. Terasa betapa ruginya dia membiarkan diri hanyut dalam kesedihan dan mengheret bersama orang tuanya.

Lamunan Amran mati bila terdengar deringan telefon rumahnya. Segera diangkat kerana telefon itu hanya berada di sebelahnya.

“Hello, assalamualaikum.” Kedengaran suara wanita memberi salam.

“Walaikummusalam. Siapa ni?”

“Ayah ye? Ni Mas. Maaf la ayah, Mas cuma nak tanyakan pasal Afia dan Afiq.” Amran menelan liur bila mendengar kata-kata Mas. Sudah pasti Mas ingatkan dia adalah ayahnya.

“Kau nak cakap ngan ayah ke? Dengan aku kau tak nak cakap?”

Amran sengaja mahu menguji Mas. Lagipun dia memang ingin mendengar suara isterinya itu. Walaupun dia memang mempunyai nombor telefon isterinya itu, tidak pula terlintas di hatinya untuk menghubungi Mas. Lagipun tiada apa yang perlu mereka cakapkan. Tapi malam ini dia betul-betul ingin berbual dengan Mas. Sekejap pun okeylah rasanya.

“Eh....ni bukan ayah ke? Habis tu siapa yang bercakap ni?” Mas mengerutkan dahinya. Dia kehilangan kata-kata. Tekaannya salah. Siapa lagi yang ada di rumah mertuanya itu? Amrankah?

“Siapa yang bercakap ni?” Sekali lagi Mas bertanya.

“Laki kau...!” Pendek jawapan Amran mengundang senyum di bibir Mas.

“Laki saya......maksud awak suami saya? Kejap,kejap. Saya nak cuba ingatkan, saya ada suami ke?? Awak kenal ke siapa suami saya tu?”

Kedengaran ketawa kecil di sebelah sana. Merah padam wajah Amran saat itu. Nasib baik Mas bukan di hadapannya. Kalau tidak sudah pasti rasa malunya bertambah-tambah. Tidak disangka kata-katanya yang ingin mengusik bagaikan membuka aib sendiri. Langsung dia tidak dapat menafikan kata-kata Mas. Walaupun nadanya bagaikan gurauan tapi dia tahu sindiran yang cuba disampaikan. Tahulah dia dari mana kepetahan Afia dan Afiq diwarisi.

“Hello.....awak? Ada lagi ke? Maaflah. Saya..........”

“Ada. Belum mati lagi.” Amran memintas kata-kata Mas.

“Awak.....maaf. Saya tak sengaja. Baguslah kalau awak belum mati lagi, terkejut jugak saya tadi kalau tiba-tiba je dah jadi janda.” Mas sudah tidak dapat menahan gelaknya. Dia ketawa besar tanpa dapat ditahan. Sekali lagi dia dapat mengenakan Amran. Padan muka!!

“Kau......dah minta maaf pun sempat lagi kau kenakan aku ye.” Amran bersuara serius namun bibirnya sudah mula mengukirkan senyum.

Amran turut sama ketawa bila mendengar ketawa Mas yang masih tiada tanda hendak berhenti. Senang hatinya mendengar suara riang itu.

“Jadi kau dah ingatlah aku ni laki kau ye?”

“Insyaallah. Selagi laki saya tu ingat saya ni bini dia.” Perlahan kedengaran suara Mas di telinganya.

Ketawa yang bersisa dari tadi juga sudah lenyap. Seketika mereka terdiam. Sedikit sebanyak kata-kata itu mengundang sebak di jiwa Mas. Meninggalkan kesan di hati Amran. Amran bagaikan tersedar di mana letak dirinya saat itu. Siapa Mas dalam hidupnya kini? Siapa dirinya pula dalam hidup Mas? Perlukah dia membetulkan langkahnya selama ini? Sumbangkah gerak tari yang sedang mereka hayunkan?

“Mas......saya minta maaf kalau saya dah banyak menyusahkan awak.” Teragak-agak Amran menuturkan permohonan maafnya. Tapi saat itu terasa sedikit resah di hatinya kian berkurangan.

“Awak tak buat salah pun, tak perlu minta maaf. Kalau ada pun dah lama saya maafkan awak.”

“Mas...........saya.....” Amran tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Mas terlebih dahulu memintas.

“Awak, dahlah. Saya telefon ni nak tanya pasal anak-anak saya. Saya takut mereka menyusahkan keluarga awak je kat sana. Kalau menyusahkan, biar saya ambil mereka malam ni.”

“Tak pe. Anak-anak saya tu okey je saya tengok. Sikit pun tak menyusahkan kami. Awak tak yah risau la. Atau awak rindukan mereka ni? Tak percayakan saya?”
'Anak-anak saya'. Kata-kata Amran kedengaran pelik di telinga Mas. Hairan. Sejak bila pula anak-anaknya diangkat menjadi anak-anak lelaki itu. Panggilan kau dan aku pun sudah Amran tukarkan pada saya dan awak. Sedang bermimpikah dia? Betulkah yang sedang bercakap dengannya adalah Amran? Atau Amran sedang cuba membuat lawak yang langsung tidak lucu bila didengar.

“Rindu, rindu sangat-sangat. Risau pun ada juga. Sebenarnya saya tak pernah berpisah dengan anak-anak saya tu.” Mas meluahkan rasa hatinya saat itu.

“Tak yah risau la. Esok umi dan ayah akan hantarkan mereka balik. Biarlah malam ni mereka tidur di sini. Saya janji saya akan jaga anak-anak saya tu. Awak nak cakap dengan Afia atau Afiq ke?” Sekali lagi ungkapan anak-anak saya meniti dari mulut Amran. Cukup lancar sekali.

“Afia...Afiq....sini sayang. Mama nak cakap.” Terdengar suara Amran memanggil. Cukup jelas menerpa gegendang telinga Mas.

“Hello....Mama. Afia ni. Mama kat mana?”

“Hello sayang. Mama kat rumah. Kesian mama tau. Sunyi Afia dan Afiq tak ada.”

“Alah....mama. Biarlah malam ni Afia dan Afiq tidur rumah papa. Esok papa cakap papa hantar kami balik. Mama janganlah sedih-sedih.”

“Papa...? Papa mana?” Mas kehairanan. Papa?

“Papa Am la mama. Malam ni Afia dan Afiq nak tidur dengan papa. Bolehkan mama?”

Mas mengerutkan dahinya. Biar betul anak aku ni. Takkan Amran biarkan Afia dan Afiq memanggilnya papa. Ya Allah.....lindungilah anak-anak aku. Mas berdoa dalam hatinya. Risau sungguh hatinya saat itu. Jika tidak memikirkan mertuanya yang merayu-rayu dan kata-kata Mak Jah yang memujuk tadi pasti tidak sekali-kali dia melepaskan anak-anaknya ke sana.

“Yelah....tapi Afia dan Afiq jangan nakal-nakal tau. Adik mana? Mama nak cakap dengan adik sekejap.”

Gangang telefon bertukar tangan. Kedengaran suara Afiq di sebelah sana. Mas tersenyum senang bila mendengar suara pelat anaknya itu.

“Hello....Afiq. Mama ni. Afiq dah makan sayang?”

“Dah mama. Tadi papa yang suapkan Afiq. Sedap mama. Papa bagi Afiq makan ayam goreng.” Walaupun pelat kata-kata Afiq jelas maksudnya pada Mas. Betulkah apa yang didengarnya? Amran suapkan anaknya makan? Aduh.... binggungnya, biar betul ni.

“Mama.....papa nak cakap ngan mama.” Suara Afiq kedengaran lagi.

Sekali lagi gangang telefon bertukar. Kali ini suara Amran kedengaran. Berselang seli dengan suara riang anak-anaknya.

“Mas. Awak jangan risau la. Jangan pula awak tak lena tidur malam ni. Biarkan Afia dan Afiq kat sini. Esok kami hantar pulang.”

“Okeylah. Terima kasih Am. Kirim salam pada umi dan ayah. Assalamualaikum.”

“Waalaikumusalam.” Jawapan salam Mas dijawab dengan hati yang berbunga. Senyuman panjang terukir di bibirnya. Senyuman yang hanya dia mengerti maksudnya.
****************

Amran bersandar di balkoni biliknya. Terasa sejuk angin malam mengelus lembut wajahnya. Matanya yang cuba dipejamkan dari tadi masih lagi segar bugar. Langsung tidak rasa mengantuk walaupun jam sudah menghampiri dua pagi. Waktu sebegitu baginya masih terlalu awal. Biasanya malam minggu sebegini dan waktu seperti ini dia masih lagi leka menghabiskan masanya di kelab-kelab malam. Minum-minum atau melepak bersama kawan-kawannya yang satu kepala dengannya. Lelaki atau perempuan. Tetapi malam ini, langkahnya bagaikan disekat untuk terus berada di rumah. Tanpa paksaan atau ajakan sesiapa. Nafasnya disedut sedalam-dalamnya dan dihembuskan perlahan. Keluhan panjang akhirnya meletus juga dari mulutnya.

Matanya kemudian beralih ke katilnya. Pandangannya jatuh pada Afia dan Afiq yang lena di situ. Hatinya bagaikan tenang melihat wajah-wajah polos yang sedang diulit mimpi itu. Mimpi indah barangkali. Mimpi indah yang sudah lama tidak berani untuk mendampingi dirinya. Hari ini dia tersedar bahawa dia sudah lama hidup dalam penjara ciptaannya sendiri. Penjara yang hanya dia seorang tahu di mana sempadan dan di mana kuncinya.

Hari ini dia mula tahu bahawa dia masih lagi dikelilingi insan-insan yang dapat membahagiakan dirinya. Kehadiran Afia dan Afiq yang langsung tidak disangkanya bagaikan merobohkan tembok penjara yang sudah bertahun dibinanya.
Entah kenapa dia senang melayan kerenah mereka, mengikut apa sahaja yang diminta dan dia sendiri dengan senang hati meminta Afia dan Afiq memanggilnya papa. Sungguh........... hatinya berbunga riang mendengar panggilan papa diulang berkali-kali dari mulut-mulut comel itu.

Amran tersenyum sendirian bila mengingatkan kejadian petang tadi. Entah bila masanya dia boleh terlena bersama-sama Afia dan Afiq. Siap boleh dipeluk anak-anak itu dan lena pula tidurnya. Terlalu nyenyak sehinggalah dia tersedar bila telinganya menangkap bunyi anak kecil menangis. Serta merta dia terjaga. Dilihatnya Afiq sudah bangun tetapi anak kecil itu menangis memanggil mama dan kakaknya yang masih lena. Tanpa sedar dia sudahpun menarik Afiq ke ribanya. Dipeluk erat anak itu, dipujuknya supaya diam. Perlahan dia bebisik ke telinga Afiq.

“Shhhh......diam sayang. Jangan nangis. Papa ada sini. Jangan takut.” Dielus lembut rambut Afiq, penuh rasa kasih dan sayang.

Tangisan Afiq serta merta terhenti. Dipandangnya wajah Amran yang sedang memeluknya. Dielus perlahan wajah Amran dengan kedua tangan kecilnya. Betapa indahnya perasaan Amran saat itu, tidak penah hatinya dibuai rasa seperti ini. Entah bila Afia juga sudah bangun dan hanya memandang adiknya yang berada dalam pelukan Amran. Terkebil-kebil mata anak-anak itu memandangnya. Hairan melihat dia barangkali.

“Ini papa. Panggil papa sayang.” Sekali lagi Amran memberitahu.

“Papa......betulkah ni papa Afia dan Afiq?” Petah Afia bertanya. Amran hanya mengangguk perlahan. Dirangkul kedua anak-anak itu rapat ke dadanya. Dipeluk seerat mungkin.

“Betul sayang. Ini papa Afia dan Afiq. Jangan takut. Papa ada kat sini. Sudah....jangan nangis lagi.”

“Tapi....mama kata papa Afia dan Afiq dah tak ada. Papa kami dah pergi jauh. Mama kata papa kami dah meninggal. Kami dah tak ada papa, kami cuma ada mama.”

Afia masih lagi bertanya. Bijaknya anak ini berkata-kata. Amran terkedu. Hatinya sebak tiba-tiba. Betapa naifnya anak-anak di hadapannya ini. Dalam usia yang sekecil ini, mereka bagaikan sudah memahami lumrah kehidupan.

“Ya sayang. Betul apa yang mama beritahu tu. Papa Afia dan Afiq dah pergi jauh. Tapi jangan sedih, sekarang ni Afia dan Afiq ada papa Am. Ini papa Am, sekarang papa adalah papa Afia dan Afiq, sampai bila-bila.” Amran menerangkan sambil tidak putus-putus dia cuba mengukirkan senyuman di bibir. Risau jika anak-anak ini takut bila melihat wajah seriusnya.

“Tak nak peluk papa ke?” Amran mendepakan tangannya.

“Papa....” serentak Afia dan Afiq menyebutnya. Dipeluk Amran sekuat hati mereka. Riang wajah anak-anak itu mengundang rasa sayang yang membuak di jiwa Amran. Beginikah rasanya?

Bergumpal-gumpal mereka bertiga di ruang tamu itu. Bergurau senda sambil ketawa mengekek. Gelak ketawa mereka akhirnya memecahkan kesunyian rumah teres dua tingkat itu. Perkenalan yang singkat tapi sudah mewujudkan keserasian. Wajah Amran yang selama ini sentiasa serius akhirnya mengukirkan senyuman yang tidak putus-putus. Wajah itu bagaikan berseri-seri.

Zaharah dah Hasyim yang sedang memandang dari jauh menitiskan air mata. Sedikitpun Amran tidak perasankan mereka yang sedang memandang. Syukur tidak terhingga. Semoga detik ini dapat mengembalikan Amran yang dulu kepada mereka. Sudah lama rasanya tidak melihat wajah gembira di wajah anak tunggal mereka itu. Setiap detik jasad itu bagaikan hidup tanpa jiwa.

3 comments:

widad said...

salam,tahniah ye beat cite ni.....srry ye baru jumpa blog ni,,,best cite ni sbb ada k√™lainan...kisah mas seorg ibu tunggak´l yg tabah menghadapi ujian dan tohmahan.amran tersungkur krn seorg wanita....sanggup merosakkan kehidupan sendiri dek kekecewaan namun kehadiran mas n anak bbuat dia sedar......hope be happay family ...jgn ada halangan ...linda @marlia.....sambing lg ye....very nice story...

Fill@ @naheR said...

best~~~ i like the story~~ pat sambung~~

IVORYGINGER said...

mmg best la ceta ni.
sambung lg yea. ;D