Showing posts with label Aku Nak Mengarut. Show all posts
Showing posts with label Aku Nak Mengarut. Show all posts

Saturday, October 2, 2010

Zaman Anak Kita........Zaman Kita??


Kisah anak-anakku...

Sesuatu yang amat membimbangkan saya. Cara anak-anak saya membesar sudah jauh berbeza daripada zaman saya membesar....diharap kawan-kawan dapat memberikan pendapat apa yang perlu saya lakukan?


Dari saya kecil sehingga sekarang, saya amat takut sekali bila mak atau ayah saya membulatkan (mencelik mata besar-besar), itu tandanya mereka sedang marah.Jika saya sedang berkelakuan tidak senonoh pada masa itu, pasti saya akan terus jadi baik...
Bila saya celikkan mata tanpa berkelip, anak saya akan bertanya. "Ibu sakit mata ke??? Kenapa celik macam tu???" Apa patut saya buat??


"Ibu, tak best la naik kereta ibu ni pergi sekolah,belilah kereta macam tu....tu..?"
Masa tu rasa nak menangis pun ada.Saya katakan pada mereka, "masa ibu sekolah dulu ibu cuma jalan kaki tak kira panas atau hujan. Bila naik sekolah menengah baru ibu merasa naik basikal, itupun basikal buruk sahaja yang mampu atuk beli. Along ni umur 6 tahun je dah empat biji basikal 'baru' yang ibu beli along rosakkan." Dengan selamba anak saya jawab, "itu zaman ibu, bukan zaman saya."


Anak sulung saya baru sekolah tadika. Setiap minggu mesti saya perlu belikan alat tulis baru. Kalau hari Isnin pensil warna 24 batang, hari jumaat pasti cuma tinggal 3 atau 4 batang. Kasut sekolah, koyak sedikit sahaja sudah minta baru, Beg sekolah sahaja sudah lebih 12 biji. Yang tidak koyak sengaja digunting supaya dibeli baru.
Zaman saya, alat tulis baru hanya dibeli di awal tahun, Pensil pun sampai betul-betul kontot baru ditukar. Pensil warna sampai dah pudar warnanya masih cukup bilangannya. Kasut yang dah koyak, sampai terjulur keluar kaki pun masih belum diganti. Beg yang koyak dijahit atau ditampal, sampai dah sesuai jadi kain buruk pun itulah yang saya pakai. "Alahai anakku.......hargailah apa yang kamu ada."


Sekarang saya sudah sediakan komputer untuk anak. Dengan harapan anak-anak kenal IT dari kecil. Kata anak saya, "komputer yang ibu beli ni lembap la"....dan kerana geram pernah saya ternampak dia menghempaskan mouse dan menghentam monitor.
Nasihat saya pada anak. "Syukurlah, kamu belum masuk sekolah rendah sudah boleh menggunakan komputer sendiri, ibu dulu pertama kali pegang komputer bila masuk universiti. Itupun hanya pinjam pada kawan atau guna yang komputer universiti." Sudahnya anak saya hanya mencebik....


Tiga hari lepas saya membawa anak-anak ke KFC. Hari ini anak kedua saya (3 tahun) beritahu saya, " ibu dah lama saya ni tak makan ayam KFC...."
Saya hanya mampu gelengkan kepala. Masa saya dulu nak makan ayam sebulan sekali pun susah. Paling sedap pun kami hanya makan ikan selayang kecil yang direbus, dihangatkan berulang kali dan kemudiannya digoreng. Susahnya hidup kami saat itu.


Saya amat takut, jika anak-anak saya lupa asal usul mereka. Tidak tahu bersyukur dan menganggap apa sahaja senang diperolehi. Hilang rasa hormat pada orang tua dan menjadi seorang yang malas berusaha kerana semua sudah ada depan mereka.


Apa perlu saya lakukan, kadang-kadang terfikir salahkah didikan saya atau zaman yang memang sudah berubah??