Saturday, November 6, 2010

BUKAN PINTAKU 8



Tergesa-gesa Mas melangkah meninggalkan pejabatnya. Terlalu asyik melayan kerjanya, dia tidak sedar waktu sudah menghampiri malam. Pasti mulut Afia sudah muncung menunggu kepulangannya. Sambil melangkah dia cuba menelefon rumahnya, mahu meminta maaf dan memberitahu dia akan sampai sekejap lagi.

“Hello......Afia ye. Sorry sayang, mama lambat sikit. Kejap lagi mama sampai.” Dia terus meminta maaf sebaik sahaja mendengar panggilannya disambut.

“Hello......Mas. Ni Mak Jah la. Mas kat mana ni?”
“Mas dah nak balik ni, kejap lagi sampai. Anak-anak mana?”

“Ada, dari tadi lagi kami tunggu Mas ni, Afia tu dah panjang muncungnya. Dah boleh disimpul tu Mas.”

“Maaf Mak Jah, kejap lagi saya sampai.” Mas mematikan panggilan. Cepat-cepat dia menghidupkan enjin kereta dan memecut meninggalkan ruangan letak kereta itu. Dia perlu cepat sampai ke rumah. Entah kenapa dia terleka tadi, hampir terlupa semalam dia sudah berjanji dengan anak-anaknya untuk membawa mereka makan di luar. Dia tidak pernah tidak menepati masa, itulah yang selalu diajar pada anak-anaknya. Tapi hari ini, dia pula yang bagaikan lupa ajarannya sendiri.“Dah macam ketam ajar anak berjalan la pulak aku ni.” Mas mengomel sendiri.

Dia meneruskan pemanduannya, berhati-hati. Esok dia tidak berkerja, sebab itulah dia ingin membawa anak-anak keluar shopping. Tambahan pula sudah banyak barang keperluan dapur yang kurang. Esok juga dia akan menerima tetamu. Tetamu yang langsung tidak disangka bakal mengunjunginya. Siapa pun tetamunya, layanan yang terbaik mesti diberikan. Walau apa pun yang berlaku, tetamu mesti dirai, dihormati. Itu prinsipnya. Itu pesanan dan ajaran Ilham padanya. Ilham yang banyak membimbingnya.

Sungguh.....dia sungguh terkejut bila menerima panggilan telefon semalam. Panggilan telefon daripada orang yang sudah menjadi sebahagian daripada keluarganya. Ya...dia hampir terlupa akan hakikat itu. Panggilan daripada umi Amran. Amran, lelaki yang sudah hampir empat bulan menjadi suami halimunanya. Umi dan ayah Amran yang kini juga bergelar mertuanya. Entah kenapa tiada angin atau ribut, umi dan ayah Amran ingin bertandang ke rumahnya esok.

Binggung. Kenapa?? Khabar apa pula yang ingin dibawa mereka. Tapi semalam....suara umi dan ayah Amran ok je. Macam mesra. Tak pula dengar macam mereka nak marahkan aku. 'Ah....kacau. ' Mas mendengus sendiri. Cuba mencari jawapan yang dia sendiri tidak tahu di mana soalannya.

“Jangan-jangan Amran nak ceraikan aku tak.....??” Mas menjerit perlahan. Entah dari mana datangnya bisikan syaitan yang tiba-tiba melintas di kepalanya. “Ya Allah...bantulah aku, janganlah kau robohkan perkahwinan ini, walaupun tanpa penyatuan aku amat berharap ia akan berkekalan ya Allah.” Sungguh itu doanya, itu harapannya. Entah kenapa, mengapa dan apa pun sebabnya dia tidak sanggup hubungan ini diputuskan.

“Tok....tokk.....” Ketukan di cermin kereta mengejutkan Mas dari khayalannya. Entah bila tanpa sedar dia sudah berada di hadapan rumahnya. Perlahan dia mengurut dadanya. Jauh sungguh dia melamun, nasib baik dia selamat sampai ke rumah, kalaulah apa-apa jadi tadi pasti parah. Memandu sambil berangan samalah seperti memandu sambil mabuk. Kepalanya digelengkan perlahan, menyesali kelekaannya tadi.

“Afia dah siap? Maaf la mama lewat. Mama janji lain kali mama tak buat lagi.” Dipandang anak didepannya. Wajah yang tadinya mencuka kembali mengukirkan senyum.

“Ok... lain kali mama tak boleh mungkir janji lagi. Kali ni Afia maafkan mama.” Satu ciuman melekat di pipi Mas. Inilah kerenah anak-anak yang selalu menghiburkan hatinya, membuang segala rasa penat lelahnya.

“Mama janji. Cepat panggil nenek dan Afiq, kita pergi sekarang. Nanti lambat pula..........”

Belum sempat Mas menghabiskan katanya, kelibat Mak Jah dan Afiq sudah muncul di depan rumah. Jelas keseronokan di mata anak-anaknya itu. “Cepat Mak Jah, kunci pintu. Kita pergi sekarang.”



*******************

“Mama, Afia nak makan ayam KFC.”

“Afiq pun nak ayam KFC mama.” Rengekan Afiq yang masih pelat itu mencetuskan ketawa mereka.
“Ok...kita makan. Semua dah penat kan. Lepas makan kita balik. Rehat. Setuju....” Mas berkata sambil memandang anak-anaknya.

“Setuju......” Afia dan Afiq menjawab serentak. Ditariknya tangan Mas kuat, tidak sabar untuk menikmati makanan kegemaran mereka.

Senyuman Mas melebar. Senang hati bila melihat anak-anaknya yang keseronokan. Berlari dan meloncat ke sana sini. Badannya yang agak penat bagaikan tidak dirasainya. Penat apabila habis sahaja kerja dia terpaksa bergegas membawa mereka membeli belah. Tapi jika kegembiraan ini sebagai balasannya, dia rela.

Mereka sudah berada di dalam restoran makanan segera. Afia dan Afiq sudah pun bertenggek di meja pilihan mereka. Hanya Mas dan Mak Jah sahaja yang masih lagi terkedek-kedek berjalan, membawa segala beban barangan di tangan.

“Mama......cepat. Duduk sini.” Kuat laungan anak-anaknya tanpa menghiraukan pandangan pelanggan lain. Budak-budak.....biarkanlah.

Sampai sahaja di meja, Mas duduk di kerusi. Melepaskan lelahnya seketika. Tanpa dia perasaan, sepasang mata sedang merenungnya saat itu. Sepasang mata yang sudah lama tidak bersua pandang dengannya.Ralit sahaja mata itu memandangnya.......bagaikan sedang menonton satu persembahan drama secara live. Tanpa pengarah dan tanpa pelakon profesianal.

“Mas........” Mak Jah menyiku Mas di sebelahnya.

“Kenapa Mak Jah.” Dipandangnya Mak Jah di sebelahnya. Nampak seperti ada yang tak kena. Nampak hantu ke?

“Mas....lelaki yang kat meja depan kita tu asyik pandang Mas je. Mak Jah rasa macam pernah nampak, tapi tak pasti la pula. Orang jahat tak Mas?” Bagaikan berbisik Mak Jah memberitahu.

Mas memandang ke arah yang dikatakan Mak Jah. Saat itu, bagaikan hendak gugur jantungnya. Kecilnya Johor Bharu ni, kat sini pulak nak bertembung!!!! Mas mendengus perlahan.

“Mak Jah, itu kan Amran. Mak Jah tunggu sini, Mas nak pesan makanan.” Terlopong mulut Mak Jah bila mendengar kata-kata Mas. Mas pula bagaikan tiada apa yang berlaku terus bangun, melintasi meja Amran untuk memesan makanan. Sekilas sempat juga dia mengerling wanita cantik yang sedang berkepit di samping Amran. Sakit matanya melihat aksi gedik wanita itu, tapi sakit lagi hatinya melihat Amran yang hanya tersenyum membiarkan.

Selesai memesan makan, Mas kembali ke mejanya. Melayan kerenah Afia dan Afiq. Mas perasan, Amran masih lagi memandangnya. Biarkan....anggap sahaja mereka tidak mengenali. Tiba-tiba sahaja handphone berbunyi. Dikerling sekilas nama pemanggilnya sebelum menjawab. 'Ikmal.'

“Hello....Assalamualaikum Mas..” Lembut alunan suara di sebelah sana.

“Walaikummusallam.....” Mas tersenyum manis. Tanpa disedari matanya bertemu pandangan Amran di depannya. Serentak itu senyuman manisnya terus mati, menjadi basi....masam!!!.

“Boleh abang jumpa Mas sekarang?”

“Boleh......tapi Mas kat luar ni, kenapa. Ada hal penting ke?”

“ Abang tahu Mas kat luar. Saja je abang nak jumpa, kan dah lama abang tak jumpa Afia dan Afiq, Mas pun.”

“Abang kat mana ni.........” tanpa sempat mendengar jawapan Ikmal Mas dikejutkan oleh jeritan Afia dan Afiq.

“Uncle Ikmal......” Serentak anak-anaknya berlari. Memeluk Ikmal yang entah bila sudah berada di belakang mereka.

“Duduk Ikmal,” pelawa Mak Jah sambil bangun. Mengosongkan kerusi di sebelah Mas untuk Ikmal. Dia kemudiannya kembali duduk di sebelah Afia dan Afiq.

“Terima kasih. Mas....kenapa tengok abang macam tu. Muka abang ni nampak macam pocong ke?” Mengekek kedengaran ketawa riuh Mak Jah, Afiq dan Afia. Ikmal hanya tersenyum memandang wanita di sebelahnya. Rindunya dia pada wajah ini. Terasa bagaikan ingin sahaja dipeluknya jasad ini, mencurahkan semua kasih sayangnya, tapi..... tak mungkin.

“Apa abang buat kat sini? Kata Mak Jah abang kat Sabah. Bila abang balik?”

“Betul la tu, abang ada kerja sikit kat sana, Mak Jah yang cakap ye......Agaknya kalau Mak Jah tak cakapkan, Mas pun tak ingin nak ambil tahu kan? Siapa la abang ni pada Mas ? Ada tak ada sama aje agaknya.” Sinis kata-kata Ikmal tapi masih dalam senyuman. Mas menarik muncung. Mak Jah sudah senyum sampai ke telinga, faham apa yang tersirat dalam hati anak muda di depannya.

“Abang ni, Mas tanya betul-betul dia main-main pulak.” Rajuk Mas sambil menarik muka , mengundang tawa anak-anaknya.

“Mama, mama merajuk dengan uncle Ikmal eh........eiiii tak malu la mama.” Afia menyampuk dengan mulut yang penuh ayam goreng kegemarannya. Mas mencebik....geram bila semua bagaikan sedang menyindirnya.

“Dah la tu,jangan diusik mama. Ikmal bila sampai, buat apa kat sini?” Mak Jah mencelah, mengulangi soalan Mas tadi.

“Baru sampai pagi tadi. Saya jumpa kawan tadi, tak sangka pula boleh jumpa Mas dan anak-anak kat sini. Saya langkah kanan kot Mak Jah.” Senyum lagi, Ikmal memang murah dengan senyuman. Katanya senyum itu sedekah.

“Afia, Afiq...tak rindu uncle ke? Sedapnya.....boleh uncle makan sama-sama tak?”

“Rindu uncle........, sayang uncle........mama pun rindu uncle juga.” Betapa petahnya Afia dan Afiq menjawab. Ikmal segera memandang Mas, terkejut dan tidak menyangka itu yang akan dijawab Afia dan Afiq. Ketawa kecil Ikmal akhirnya kedengaran. Mematikan lamunan Mas yang asyik memandang Ikmal sedari tadi. Ya...dia bagaikan terleka, hatinya senang dan gembira melihat Ikmal di depan matanya. Antara percaya atau tidak dia bagaikan merindui senyum dan gelak ketawa lelaki ini. Mas hampir tidak sedar dan bagaikan terlupa pada Amran yang masih lagi memandang tingkahnya.


**********


Amran yang memandang drama di depannya sudah panas punggung. Sakit hatinya melihat kehadiran pelakon tambahan di depannya. Entah siapa dan dari mana pula datangnya pelakon yang amat menyakitkan hatinya, hampir membutakan matanya. Siapa lelaki di sebelah Mas? Kenapa mesra sahaja nampaknya mereka anak beranak. Mas pula tidak lekang senyuman di bibirnya. Bagaikan gembira sahaja bila bersama lelaki itu. Anak-anaknya pula bagaikan rapat sangat. Sakit hatinya bila mendengar anak-anak mengatakan rindu dan sayang pada lelaki itu. “Aku yang tercongok kat depan dia ni bagaikan tak wujud,” Amran mendengus melepaskan rasa tidak puas hatinya.

Amran mengepal penumbuknya. Geram. Sakit hati. Entah kenapa dia langsung tidak suka memandang drama di depannya. Walaupun mereka bukanlah insan yang beraja di hatinya, dia tetap tidak suka apa yang dilihatnya sekarang. Kalau sebelum lelaki itu muncul dia boleh bersikap selamba entah kenapa hanya kerana wujudnya lelaki di sebelah Mas, hatinya bagaikan bara yang disiram minyak, kembali menyala dan seperti ingin meletup. Dia sendiri pelik, kenapa perlu perasaan ini hadir?

“Am.....you ni kenapa? Dari tadi I nampak you diam je. Tak suka keluar dengan I ke?” Teguran Miza bagaikan menyedarkan Amran dari amarahnya. Tanpa menjawab dia menarik tangan Miza meninggalkan restoran itu. Dia tidak mahu terus menunggu menonton lakonan yang menyakitkan hatinya. Moodnya untuk berseronok hari itu hilang. Miza terus dihantar pulang dan dia pula terdampar di tepian selat tebrau ini. Cuba menyejukkan hatinya yang hampir hancur meletup.

Masih terbayang di matanya raut wajah Mas tadi. Wajah yang langsung tidak menunjukkan rasa terkejut atau bersalah. Mas seolah-olah langsung tidak mengenalinya. Langsung tidak cuba untuk menunjukkan rasa tidak selesa walaupun terpaksa duduk berdepan dengannya. Malah Mas masih boleh berlagak selamba, tersenyum dan ketawa senang tanpa menghiraukan dia yang memandangnya. Aksi Miza yang sedang mengodanya pun dibiarkan sahaja, dia sengaja ingin menduga Mas. Dia mahu melihat sejauh mana Mas sanggup berlakon di depannya.

Namun akhirnya dia sendiri yang kalah dalam lakonan yang baru diarahnya. Ternyata Mas sedikit pun tidak menghiraukannya. Mas memandangnya tapi tanpa sebarang riak, tidak tahu suka atau tidak. Mas tersenyum padanya tapi senyuman itu sama sahaja seperti yang diberikan pada Miza di sebelahnya. Sudahnya lakonannya berakhir juga bila lelaki yang tidak dikenalinya muncul di samping Mas. Lakonannya mula hambar, dia yang ingin menduga tapi dia yang diduga. Sungguh....saat itu dia merasa tercabar.

“Masliana......” Amran menarik nafas panjang, dihembusnya kembali perlahan-lahan. Dia mengelengkan kepalanya dan akhirnya tersenyum. Kenapa dengan aku ni? Kenapa mesti aku rasa marah? Aku cemburu ke? Bukankah aku yang mahukan jalan hidup seperti ini. Aku yang meletakkan syarat pada Mas. Nampaknya Mas betul-betul mengikut cadangannya, menepati janji mereka.

“Kita berkahwin, tapi saya nak kita teruskan hidup kita seperti sekarang. Awak dengan kehidupan awak dan saya dengan kehidupan saya. Saya belum bersedia untuk hidup sebumbung dengan awak. Untuk menjadi suami apatah lagi mencintai wanita lain. Cinta saya bukan untuk awak.” Kata-kata yang diucapkan pada Mas dulu segera berlegar di mindanya.

“ Ah.......biarkanlah.” Amran meraup mukanya, mengelus perlahan rambutnya ke belakang. Bayu selat tebrau yang sesekali menghembus lembut wajahnya bagaikan membawa pergi resah hatinya tika itu. Jam tangannya dikerling. “Masih awal.” Dipandangnya sekeliling. Beberapa pasangan remaja kelihatan sedang asyik melayan cinta, tanpa segan silu pada orang sekeliling. Amran mengeluh perlahan, sedikit rasa kesal melihat adegan di sekelilingnya. Akhirnya dia melangkah ke kereta, memandu perlahan tanpa arah meninggalkan tepian selat tebrau itu.

***********
“Aaiii..... Am. Awal kau balik hari ni?” teguran ayahnya hanya dibiarkan. Dia malas mahu menerangkan apa-apa. Sejak bertemu Mas di pusat beli belah tadi dia sudah malas untuk menghabiskan malamnya seperti selalu, semuanya dirasakan hambar. Sudahnya tanpa dipaksa dia sudah pun berada di rumahnya, menghadap umi dan ayahnya.

“Kamu ni kenapa Am? Biasanya malam minggu macam ni tak pernah kamu lekat kat rumah. Kamu tak sihat ke?” uminya pula bertanya bila menyedari Amran yang hanya diam. Dipandangnya Amran yang bersandar lesu di sofa, lagaknya seperti sedang melepaskan lelah yang panjang.

“Tak de apa-apa la ayah, umi. Saja je hari ni nak balik awal. Rasa malas pulak nak keluar, penat.”
“Hah! Bagus la kalau macam tu, tahu juga kamu penat!!!. Cukup-cukup la tu Amran, sampai bila kau nak jadi macam ni.Tak de gunanya.” Amran memandang ayahnya, dia mencebik dan tersenyum.

“Jadi macam ni apa ayah? Am bukannya buat salah.” Perlahan Amran membalas kata-kata ayahnya. Tanpa perasaan.

“Tak buat salah kata kamu. Jadi pemabuk, kaki perempuan, lepak kat kelab-kelab malam tu kamu kata tak salah. Kamu sedar tak Am, kamu bukan budak-budak lagi. Umur kamu tu dah 38. Kamu dah kahwin, dah patut ada anak. Cukup la Am, insafla.” Hasyim memandang tepat Amran di depannya. Sakit hati dan kesal bila anak tunggalnya ini berubah mengikut nafsu syaitan. Anak yang pada awalnya amat patuh pada ajaran Islam akhirnya kecundang hanya kerana seorang perempuan.

Amran hanya memandang ayahnya. Sudah beratus kali dia mendengar nasihat ayahnya itu. Nasihat yang tidak langsung dapat mengubah perangainya sekarang. Tapi inilah kali pertama telinganya mendengar rungutan ayahnya “kamu dah kahwin”. Ya dia sudah kahwin, dia sudah mengalas gelaran seorang suami, dia sudah punya isteri dan pasti dia mesti memikul tanggungjawab. Tanggungjawab yang tidak pernah dia ambil pusing, 'dah berapa lama aku jadi suami orang ye', Amran mencongak dalam hati. Dia hampir lupa untuk menghitung. Malas nak ambil pusing.

“Kamu ada jumpa isteri kamu Am?” Pertanyaan ayahnya mengembalikan Amran ke alam sedar.

“Jumpa isteri.....siapa?” Tanpa sebarang riak soalan ayahnya dijawab dengan soalan.

“Hai....berapa orang isteri yang kamu ada? Umi rasa Masliana sorang je menantu kami, isteri kamu. Takkan dah lupa pulak siapa isteri kamu?”
Amran hanya tersenyum. Entah apa yang perlu dijawab. Dia tidak suka menipu apatah lagi mengada-adakan cerita.Malah, dia sendiri hampir lupa pada statusnya beberapa bulan ini. Dia akui, sejak hari akad nikahnya dulu baru hari ini dia berjumpa semula dengan Mas. Itupun secara tidak sengaja. Pertemuan yang tidak pernah dia jangkakan. Pertemuan yang tanpa sedar mencetuskan pelbagai emosi dalam dirinya.

“Kami ni tak suka memaksa kamu Am, kami hanya mahukan yang terbaik untuk kamu. Sampai bila kamu nak buat Mas macam ni, walau apa pun dia tetap isteri kamu yang sah.”Hasyim mengeluh perlahan. Degilnya Amran bagaikan susah hendak dibentuk. Anaknya itu tidak pernah melawan dan membantah tapi tidak juga mudah mengikut. Perbuatan Amran pada Masliana bagaikan menjerat dirinya, rasa bersalah kerana memaksa pernikahan ini.

“Kesian Mas Amran.......tak baik kamu buat dia macam ni. Bawaklah dia tinggal bersama kamu, itu caranya orang laki bini. Bukan seperti yang kamu buat sekarang.”

“Betul cakap umi kamu tu Am, bawa dia tinggal dengan kamu. Kalau terus macam ni, sampai bila pun kamu dan dia tak kan rapat. Suami isteri apa kalau tinggal rumah asing-asing, buat hal sendiri.”

Amran diam. Tidak tahu apa yang ingin dikata. Inilah kali pertama dirinya diasak oleh persoalan ini. Kata nasihat ayah dan uminya hanya didengar sekali lalu. Tidak sedikit pun berbekas di hatinya. Malas dia mahu mengulas lanjut. Biarkan....dah penat nanti pasti umi dan ayahnya diam. Kalau Mas sendiri tidak bersungut, dia apatah lagi. Tidak perlu dia memeningkan kepala. Lagi pun jelas pada pengamatannya tadi Mas tetap gembira, dengan atau tanpa kehadirannya.

“Am naik dulu ye umi, ayah. Nak mandi, mengantuk la pulak.” Amran segera berlalu meninggalkan ayah dan uminya.

“Amran. Esok ayah dan umi nak ke rumah Mas. Kamu nak ikut tak?”

Kakinya yang baru memijak anak tangga pertama terhenti. Digaru kepalanya yang tidak gatal. Salah dengar ke?
Ayah cakap apa tadi?”

“Esok kami nak ke rumah Mas, kalau kamu tak ke mana-mana ikutlah kami sekali.”

“Pergi rumah Mas, buat apa?” Bagaikan orang binggung Amran memandang orang tuanya.

“Kami nak jumpa menantu kami. Kamu ikut kan nanti?” Suara uminya kedengaran tegas. Soalan yang lebih kepada arahan.

“Maaf la umi, ayah. Rasanya tak boleh. Am rasa tak perlu. Kalau umi dan ayah nak pergi, Am tak halang, terpulanglah. Am naik dulu.” Tanpa menunggu lebih lama dia segera menyambung langkah. Malas lagi mahu mendengar nama Mas yang asyik meniti di bibir orang tuanya malam ini.

Zaharah dan Hasyim hanya memandang kelibat Amran yang sudah lesap di bilik. Mereka mengeluh perlahan. Tidak tahu cara apa lagi yang perlu dibuat untuk menyedarkan Amran. Terkilan pula rasanya jika pernikahan yang telah dibina ini berkecai tanpa sempat bersatu. Sesuatu perlu dilakukan, hubungan Amran dan Mas mesti dirapatkan, mereka mesti disatukan. Dan esok adalah langkah pertama yang telah diatur. Penentuan untuk langkah seterusnya dilaksanakan. Pasti boleh...........Zaharah dan Hasyim saling memandang...... akhirnya mereka ketawa senang. Tidak sabar untuk menunggu terbitnya mentari esok.

p/s : jangan lupa tinggalkan komen anda. terima kasih.

1 comment:

sofi said...

sedap jugak cerita ni. tahniah!