Tuesday, October 19, 2010

BUKAN PINTAKU 5



Kerusi ditarik pelahan. Tidak mahu menerbitkan bunyi bising pada pengunjung restoran lain. Dengan perlahan juga punggungnya dilabuhkan. Matanya memandang sekilas ke pintu restoran, janganlah pula dia sampai sekarang. Aku perlukan masa untuk menenangkan diri sendiri. Desisnya perlahan. Dia masih terkejut. Tidak sangka Amran akan menelefonnya. Seingatnya tidak pernah dia berikan nombor telefon pada Amran, macam mana Amran tahu nombor telefonnya???

Apa yang Amran mahu sebenarnya?? Nak marahkan aku ke, tapi bukan aku yang salah. Takkan lah....Setiap kali terserempak di mahkamah pun Amran tidak pernah menegurnya. Memandang apatah lagi. Seingatnya hanya ibu bapa Amran sahaja yang beriya-iya bersembang dengan Suria. Ya...Surialah yang selalu menemankannya ke mahkamah. Tapi kenapa pula dia bertegas nak jumpa aku di sini. Rasanya kes mereka ditangkap dan dituduh berkhalwat dulu sudah selesai. Pelik!! Apa lagi yang tak kena. Tudungnya dibetulkan...terasa seram sejuk pula badannya. Doa dipanjatkannya, janganlah dia dimalukan di sini pula. Cukuplah aib yang sedang ditanggungnya sekarang ini.

Pintu masuk restoran dipandang lagi. Bayangan Amran masih belum muncul. Lupakah lelaki itu pada janji yang dibuat semalam. Janji untuk mereka bertemu di sini.
“Aku nak jumpa kau esok. Ada hal yang perlu aku bincangkan dengan kau. Kau datang seorang, tak payah bawa teman, aku tak nak ada orang lain dalam perbincangan kita. Hal ni antara aku dengan kau. Nanti aku sms kau tempatnya dan pukul berapa. Jangan lambat, aku tak suka menunggu.” Masih berlagu-lagu kata-kata Amran semalam di telinganya. Tidak ubah seperti arahan yang diberikan bosnya. Tanpa perlukan persetujuan, arahan mesti diikuti.

“Dah lama kau sampai?” bagaikan panah teguran itu seperti menembusi jantungnya. Sungguh!! Dia terkejut, tidak sedar bila masanya Amran sudah duduk di depannya.

“ Baru je.” Walaupun hanya dua patah perkatan yang pendek tapi terasa sukar untuk dilontarkan keluar dari mulutnya. Mas tidak berani memandang Amran, matanya hanya memandang meja. Seperti cantik sahaja permukaan meja itu pada matanya hari ini.

“Aku tak suka orang tak pandang aku bila bercakap.” Serta merta Mas mengangkat mukanya. Memandang tepat ke mata Amran. Bagaikan satu kuasa aneh datang kepadanya. Tiba-tiba dia jadi berani.

“Kenapa Encik Amran nak jumpa saya?”

“Nanti aku cakapkan. Kau dah order makanan?” Mas hanya mengeleng.

“ Kau nak makan apa??” Amran bertanya sambil tangannya melambai pelayan restoran ke arah mereka.

“ Saya tak lapar. Minum sahaja. Kopi.”

“ Betul kau tak nak makan? Adik, berikan abang nasi goreng kampung satu dan air kopi dua. Itu je.”

“ Apa yang Encik Amran nak bincangkan dengan saya. Rasanya hal kita dah tak ada apa-apa. Dah selesai kan?” Mas bersuara apabila melihat Amran seolah sengaja melengah-lengahkan masa. Dia sudah tidak betah untuk berada di sini, terasa seperti sesak nafasnya. Panas punggungnya.

“ Aku tahu. Bukan masalah itu yang aku nak bincangkan. Ini semua pasal orang tua kita. Orang tua aku dan orang tua kau.” Akhirnya Amran bersuara.

Mas mengerukan keningnya. Apa kaitannya orang tua mereka dalam perbincangan ni. “Apa maksud Encik Amran, saya tak faham ?”

“Orang tua kita nak kita kahwin. Takkan kau tak tahu, atau kau buat-buat tak tahu??? Umi dan ayah aku dah hantar rombongan untuk meminang kau, dan orang tua kau pun dah terima.” Sinis kata-kata yang terlontar daripada mulut Amran.

“Tapi saya betul-betul tak tahu Encik Amran. Siang tadi mak saya ada telefon, beritahu mereka akan datang ke sini jumaat depan. Tak ada pula di cakap pasal ni!!” terasa gugur jantung Mas. Kalau la dia ada lemah jantung, rasanya pasti saat ini dia sudah tidak bernyawa. Khabar apakah yang diterimanya?? Tapi... tak mungkin Amran berbohong. Takkan Amran ingin memerangkap dirinya sendiri sekali lagi.

“Mereka nak kahwinkan kita Jumaat nanti. Umi dan ayah aku kata mereka dah siapkan semuanya. Tidak boleh dibantah atau dibangkang. Dan persetujuan kita pun mereka tak perlukan. Aku akan dianggap anak derhaka kalau membantah mereka, dan jangan anggap mereka ibu bapa aku lagi kalau aku cuba membatalkan pernikahan ini.” Amran menguak rambutnya. Jelas sekali dia sudah mati akal. Apa yang perlu dilakukan sekarang. Dia hanya ada umi dan ayahnya .

“Encik Amran. Saya betul-betul minta maaf. Saya tak tahu langsung pasal ni. Bagi saya masa, saya akan cuba bincangkan dengan ibu ayah saya nanti. Harap-harap semua ni tak akan berlaku.” Mas bersuara. Cuba menenangkan Amran dan hatinya sendiri. Sungguh tidak disangka, ibu dan ayah tergamak membuat keputusan ini tanpa meminta pendapatnya.
Mungkin ibu dan ayahnya malu. Malu apabila dia ditangkap basah bersama Amran. Tapi itu bukan salahnya. Sudah berulang kali dia terangkan kepada mereka. Mungkin mereka terdesak, dan pinangan ini diterima tanpa banyak soal. Hidup di kampung, tidak seperti di bandar. Kejadiaan ini pastinya meninggalkan kesan mengaibkan. Sudahlah dirinya janda, ditangkap basah pula, pastilah amat memalukan keluarganya. Pasti sudah kecoh mulut-mulut tempayan menjaja ceritanya ke sana sini. Menceritakan keaibannya tanpa mengetahui kebenarannya. Kesian ibu dan ayahnya, menjadi mangsa akibat kesalahan yang tidak dilakukannya. Dia mungkin jauh dari mereka untuk sama-sama merasai penghinan orang kampung. Sungguh memalukan. Sungguh, dia binggung saat ini.

Amran menyandarkan badannya ke kerusi. Merenung Mas yang agak gelisah di tempatnya. Mungkin betul wanita ini tidak tahu apa yang dirancangkan oleh orang tua mereka. Hatinya berbisik. Kalaulah dia dapat memutarkan masa, pasti keadaan ini tidak berlaku. Pasti dia tidak akan melangkah masuk ke bilik itu. Sedar akan kesilapan dirinya sendiri Amran mengeluh panjang.


“ Aku harap kau dapat bincangkan hal ni dengan orang tua kau. Kita tak boleh berkahwin, kau tak kenal aku dan aku pun tak kenal kau. Ini semua hanya satu salah faham. Aku harap kau bantu aku supaya tidak berlaku lagi satu kesilapan. Kahwin itu jalan mati.” Mas mengangguk mendengar kata-kata Amran. Kenapalah masalah suka sangat mendampinginya. Dia buntu.

“ Keluarga aku mahu aku bertanggungjawap pada kau. Aku tahu aku salah, tapi takkan sampai kena kahwin.” Amran mengulangi lagi kekesalannya.

“Tak pelu bertanggungjawab Encik Amran. Saya tak kisah apa pun kata orang, kita tak buat salah. Cukup la kalau hanya kita yang tahu apa sebenarnya berlaku. Tapi saya pelik, kenapa mereka nak kita kahwin pula??”

Amran hanya menjongketkan bahunya. Malas untuk bersuara.

“Encik Amran, macam mana keluarga Encik Amran boleh cari keluarga saya?”

“ Suria. Aku rasa itu kawan kau kan?” Amran memberitahu sambil menghirup kopi yang sudah semakin sejuk. Nasi yang dipesan tadi tidak dijamahnya. Seleranya hilang tiba-tiba.

“Suria........” Mas mengeluh perlahan.

“ Minumlah air tu. Rasanya dah sejuk tu.” Pelawa Amran bila dilihatnya Mas langsung tidak menyentuh kopi di depannya. Kesian wanita ini, kerana kesilapannya dia sudah menyusahkan orang lain. Tapi dia tidak sengaja. Sangkanya bilik itu sudah kosong. Dia hanya ingin bersembunyi daripada Linda. Tidak ada niat lain pun di hatinya masa itu. Ya...semuanya kerana Linda.

**************
“Amran. Ayah tak peduli. Ayah nak kau kahwin dengan Masliana. Ayah nak kau bertanggungjawab. Bantu dia buang aib yang telah kau buat.” Kata-kata ayahnya tiga hari lepas bagaikan mengetuk-ngetuk gegendang telinganya. Menyiat-nyiat hati dan perasaannya.

“ Saya rasa tak perlu ayah. Dia sendiri pun tidak pernah cakap apa-apa pada saya. Menyuruh saya bertanggungjawab jauh sekali. Kami tak bersalah pun.” Amran bersuara menunjukkan tanda protes pada arahan ayahnya.

“ Kalau kamu tak bersalah pun, kamu ingat orang akan percaya. Kamu tu lelaki tak apa la kalau kamu tak kisah, tapi Masliana tu perempuan. Kesian dia Am, teruk dia diumpat, dihina orang. Takkan kau langsung tak rasa besalah?”

“ Mana ayah dan umi tahu, dah pandai pula dia mengadu pada ayah dan umi. Pandai pula dia mereka cerita nampaknya.”

“Kau jangan nak menuduk Am, Mas tak pernah cakap apa-apa pada kami. Umi perempuan Am, umi tahu apa yang dia rasa dan hadapi sekarang. Dia budak baik Am, umi yakin tu.” Uminya yang sejak tadi hanya mendengar bersuara. Sakit hati mendengar tuduhan anaknya sendiri. Sejak kali pertama melihat Masliana, dia sudah tahu baik buruk gadis itu.

“Kamu mahu atau tidak ini keputusan kami. Kami dah uruskan segalanya. Ibu bapa Mas pun dah bersetuju. Hari Jumaat ni kamu mesti kawin.” Tegas ayahnya bersuara.

“ Tapi ayah, saya..............”

“ Tak de tapi-tapi, kamu ikut cakap kami atau jangan anggap kami ibu bapa kamu lagi kalau kamu membantah.” Tanpa sempat memberikan alasan, ayahnya memberikan kata putus. Amran mengeluh keras. Uminya dipandang, mengharap sedikit sokongan. Sia-sia, ternyata kedua orang tuanya telah nekad. Mulutnya pula seperti diikat untuk terus meluahkan kata-kata.

“Masliana........” Amran memicit tengkuknya perlahan. Dia betul-betul tertekan. Matanya melirik kelendar dia atas meja. Bagaikan tidak percaya, esok dia akan berkahwin. Mengahwini wanita yang langsung tidak dikenalinya. Sungguh, dia tidak mampu menolak permintaan umi dan ayahnya.

Ketukan yang kuat di mejanya mematikan lamunan Amran. Entah sejak bila Musa berada di depannya.

“ Kau pandang apa Am. Aku dari tadi tersengih kat depan kau ni pun macam tak wujud je nampaknya.”

“ Kau ni dari mana? Tiba-tiba je terpacul kat bilik aku. Dah tak reti nak ketuk pintu minta izin ke??” sakit hatinya bila melihat Musa yang tersengih memandangnya.

“Hai........sejak bila pula nak kena minta izin ni. Selalu aku main masuk je, tak pulak kau bising. Kau ni kena sampuk ke Am?” perasaan hairan menjentik hati Musa, memang begitu tingkahnya sebelum ini. Tidak pernah pula temannya ini menegur.

Amran tidak menjawab. Dia bangun dari kerusinya. Berjalan menuju sofa di sudut pejabatnya tanpa menjawab soalan Musa.

“ Kau kenapa Am? Kau ada masalah ke?” hairan. Kenapa pelik benar Amran hari ni. Besar sangatkah masalah Amran. Musa berbisik sendiri.

“ Masliana................” Amran bersuara, meninggalkan tanda tanya di hati Musa.

“ Masliana? Siapa Masliana? Apa dia dah buat pada kau? Masliana ni perempuan yang keluar dengan kau minggu lepas ke?” Musa cuba mengagak. Gara-gara terserempak dengan Amran bersama perempuan itulah dia bergaduh dengan isterinya. Isterinya tidak pernah suka dia berkawan dengan Amran. Kata isterinya Amran playboy, kaki botol.

Tanpa memandang Musa, Amran hanya mengelengkannya kepalanya. Hanya keluhan panjang yang jelas kedengaran

“Kalau bukan perempuan tu, siapa pula Masliana ni?”

“ Musa. Esok kau temankan aku!” tanpa memberikan jawapan, Amran berharap Musa tidak akan menolak permintaanya.

“Temankan kau. Kemana?”

“ Esok, lepas asar aku akan kahwin.”

“ Kau..............kahwin!!! Kau jangan main-main Am. Kut ye pun nak bergurau, agak-agak la.” Ketawa Musa kedengaran. Musa percaya, Amran sedang bergurau dengannya. Dipandangnya Amran. Cuba mencari kebenaran kata-kata temannya tadi.

“ Esok aku akan kahwin dengan Masliana. Aku nak kau temankan aku nanti.” Tanpa beriak, kata-kata Amran membuatkan Musa tercengang. Benarkah apa yang sedang didengarnya ini, sedang bermimpikah dia sekarang.

“ Amran. Siapa Masliana? Kenapa pula tiba-tiba kau kena kahwin dengan dia? Kau tak bergurau kan Am.”

Amran memicit-micit kepalanya . Dia menarik nafas panjang dan dihembuskan semula perlahan-lahan. Cuba mecari sedikit ketenangan untuk dirinya saat ini. “Kau rasa aku sedang bergurau ke?”

“ Tak la.................cerita pada aku, apa yang sedang aku dengar ni.”

“ Kau ingat kan kes tangkap basah aku dulu.”

Musa hanya menganggukkan kepalanya. Mana mungkin dia lupa, dia antara orang pertama berada di situ selain ibu bapa Amran. “ Kau kena kahwin dengan perempuan tu ke? Dia paksa kau?”

“Tidak. Dia tidak pernah cakap dan minta apa-apa pun. Paksa aku bertanggungjawab pun tidak. Semua ni tak ada kaitan dengan dia.” Yakin sekali Amran menerangkan. Memang dia pasti, semua ini bukan angkara Masliana.

Dia sendiri hairan, bagaimana Masliana masih boleh tersenyum selepas semua ini berlaku. Tidakkah dia merasa aib apabila dicekup bersama lelaki yang bukan muhrimnya. Masliana kelihatan tenang, tiada kemarahan yang dihamburkan padannya. Yang bersalah adalah dia, tapi tidak sekalipun Masliana menambahkan rasa bersalahnya. “Saya redha........” itu sahaja jawapan Masliana bila dia mempersoalkan.

“Kalau dah itu katanya, kenapa pula kau perlu kahwin?”

“Orang tua kami. Mereka tak mahu kes tu terus meninggalkan aib pada semua orang. Keluarga dia dan keluarga aku. Kami tiada pilihan. Kahwin, atau aku dan dia hilang keluarga.”

“ Kau dah jumpa Masliana. Cuba berbincang dengan dia. Mungkin dia ada cara penyelesaiannya.”

“ Sudah tidak ada jalan lain Musa. Mahu atau tidak kami tetap akan kahwin esok. Aku dah jumpa dia tadi, kami dah setuju, pernikahan ini akan diteruskan. “

“Sabarlah Am. Kalau sudah itu keputusan kau, aku doakan kau bahagia. Mungkin ini satu permulaan yang baik untuk kau.”

“Entahlah.........” Perlahan Amran bersuara. Akan bahagiakah dia?


********************

“Encik Amran. Apa yang perlu kita buat. Sudah puas saya memujuk keluarga saya, semuanya tetap tidak mahu terima.” Satu-satu Mas menuturkan kata-katanya. Jelas di wajahnya kerisauan yang cuba disembunyikan.

“Apa kata mereka ?” lembut sekali Amran menyoal.

“ Sama seperti apa yang ibu bapa Encik Amran cakap.” Mas menarik nafas perlahan, cuba mencari kekuatan untuk terus bersuara. “Saya minta maaf Encik Amran, saya tak sanggup kehilangan mereka. Saya tiada siapa-siapa lagi, hanya anak-anak dan mereka yang saya ada. Apa akan jadi pada saya dan anak-anak kalau keluarga membuang saya.” Masih bernada sama cuma sedikit sebak dia meneruskan.

“Anak-anak? Maksud awak?” terkejut mendengar penjelasan wanita di depannya kini. Tidak ada pula ayah dan uminya bercerita tentang anak-anak Mas.

“ Saya hanya ada anak-anak saya. Afia dan Afiq.”

“ Maksudnya awak pernah berkahwin? Bapa mereka? Maksud saya suami awak mana?” perlahan Amran bertanya.

Tanpa sedar air mata yang ditahan mengalir ke pipinya. Mas memalingkan mukanya, tidak mahu Amran perasaan keadaannya ketika itu. “Anak-anak hanya ada saya. Suami saya dah tak ada Encik Amran. Tuhan lebih sayangkan dia.”

Entah kenapa rasa sayu menyelinap ke hatinya. Semakin dipandang wajah itu, hatinya semakin sukar ditafsir. Apatah lagi bila melihat air mata yang cuba disembunyikan tetap terbit di tubir mata. Rasa menyesal kembali bermukim di hatinya. Kalaulah dia berada di tempat Mas, pasti sudah lama dia tewas.

“Maafkan saya. Saya tak berniat untuk menyulitkan keadaan awak.” Amran cuba menjaga nada suaranya. Kalau di petemuan mereka yang pertama dulu, dia suka beraku dan berkau, sekarang dia lebih selesa berawak dan bersaya sahaja. Tapi dia perasan, Mas masih selesa memanggilnya Encik Amran.

“Boleh saya cadangkan sesuatu? Itupun kalau awak nak terima. Kalau awak nak menolak pun saya faham.”

“Cadangan apa Encik Amran?”

“Saya rasa kita teruskan sahaja cadangan keluarga kita, kita kahwin.” Sedikit gementar Amran cuba bersuara. Antara yakin dengan tidak dia melontarkan kata-katanya tadi.

Mas mengangkat mukanya. Memandang tepat lelaki di depannya. Bagaikan tidak percaya apa yang didengarnya tadi. Dia tidak mampu bersuara, hanya matanya sahaja cuba mencari kebenaran di dalam panahan mata Amran. Sedang berguraukah lelaki ini? Atau sudah hilang ingatan, bukankah dia sendiri yang menegaskan dulu tidak mungkin mereka akan berkahwin.

“Saya tidak bergurau. Saya serius, tapi.........”

“Tapi apa Encik Amran?” Tanpa sempat Amran meneruskan kata-katanya, Mas terlebih dahulu memintas.

“Saya mahukan sedikit pengertian daripada awak. Selepas itu terserah pada awak mahu menerima cadangan saya atau tidak.”

“Maksud Encik Amran apa........?” bagaikan orang binggung Mas bertanya. Kata-kata Amran bagaikan sedang menguji kesabarannya.Amran dirasakan sedang berteka teki.

“Kita berkahwin, tapi saya nak kita teruskan hidup kita seperti sekarang. Awak dengan kehidupan awak dan saya dengan kehidupan saya. Saya belum bersedia untuk hidup sebumbung dengan awak. Untuk menjadi suami apatah lagi mencintai wanita lain. Cinta saya bukan untuk awak.” Yakin sekali Amran berkata-kata.

“Kalau begitu kenapa Encik Amran nak teruskan perkahwinan ni? Saya tak mahu menyusahkan Encik Amran nanti.”

“Awak tak menyusahkan saya. Saya cuma mahu bantu diri sendiri dan awak. Bantu awak dari aib manusia kerana saya dan bantu kita untuk terus memiliki keluarga seperti sekarang. Awak tidak mahu kehilangan mereka bukan, saya pun sama.” tegas Amran mempertahankan pendapatnya.

“ Encik Amran yakin ke?” Amran hanya mengangguk.

“ Tak menyesal ?” Amran mengangguk lagi.

Masliana megeluh panjang. Dia menegakkan badannya. Bersandar ke kerusi dan memandang Amran yang sedikit menundukkan wajahnya.

“ Saya setuju.” Bagaikan panahan petir kata-kata Masliana menusuk ke telinga Amran.Hampir dia tidak percaya, itu jawapan Masliana. Betulkah apa yang didengarnya.

“ Saya setuju. Mungkin betul, aib saya boleh dihindarkan dengan perkahwinan ini. Dan saya faham apa yang Encik Amran mahu. Terpulang pada Encik Amran. Jangan jadikan saya beban walaupun kita suami isteri nanti. Saya tak perlukan Encik Amran bertanggungjawab, kita teruskan hidup kita seperti sekarang.” Sebagaimana Amran yakin apa yang dituturkannya, begitulah juga Mas pasti apa yang dilafazkannya. Mas tersenyum, dia redha jika ini yang telah ditetapkan untuknya.

“ Terima kasih Mas.” Amran turut tersenyum. Terasa semua masalah selesai sekarang. Lega kerana Mas seolah memahami kehendaknya. Lega kerana Mas mahu menurut cadangannya.

“Sama-sama Encik Amran. Saya dah lama kat sini, saya minta diri dulu. Assalamuailaikum.” Hanya anggukan yang mampu Amran berikan, matanya mengikuti langkah Mas yang semakin jauh meninggalkannya. Dia tersenyum sendiri. Tidak menyangka begitu mudah kata sepakat dicapai. Begitu mudah Masliana bersetuju dengan apa yang dicadangkannya.

***************

Masliana membetulkan tudung di kepalanya. Perlahan-lahan pintu keretanya dibuka. Dia memandang sekeliling. Sunyi, yang kelihatan hanyalah seorang lelaki dan wanita tidak jauh dari tempat dia berdiri. Dia memberikan senyuman apabila menyedari pasangan itu memandangnya.

Masliana mengatur langkah perlahan-lahan dan berhati-hati. Hembusan angin yang bertiup membawa bersama haruman kemboja yang memang banyak terdapat di situ. Haruman yang membuatkan hatinya dihambat pilu tiba-tiba. Perasaan itulah yang dirasai setiap kali dia berkunjung ke sini, tetapi hari ini tanpa diundang perasaan itu dirasakan semakin kuat.

“Assalamualaikum abang, Mas datang lagi hari ni.” Mas merenung pusara di hadapannya. Doa dipohon agar Allah memberikan keberkatan kepada Ilham. Tanpa diundang air matanya menitis lagi. Hatinya sebak, sedunya sudah tidak dapat ditahan. Perlahan-lahan dengan suara yang tengelam timbul dia cuba menghabiskan bacaan surah Yassin di tangannya. Kesedihannya bertambah apabila mengingatkan petemuan dengan Amran tadi. Perbincangan yang bakal mengubah apa yang sedang dilaluinya sekarang.

“Abang, Mas akan berkahwin esok. Maafkan Mas bang, Mas tak kuat untuk menghalang.” Bisikannya terhenti, dia menarik nafas perlahan.
“Abang, Mas takkan lupakan abang, cinta Mas pada abang tak pernah pudar. Cinta abang sudah Mas pahatkan di hati Mas bang. Maafkan Mas...., maaf... Mas terpaksa bang. Aib ini berat sangat untuk Mas tanggung bang.Maafkan Mas. “
Pipinya yang sudah lecun disapu perlahan. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya.

Dia memandang sekeliling dan kemudian kembali merenung pusara di depannya. Dirinya merasa tenang di sini. Berada di sini dirasakan Ilham amat rapat dengannya. Walaupun sudah hampir dua tahun Ilham meninggalkannya, dia tidak pernah jemu ke sini. Jika berkesempatan, anak-anak juga akan dibawanya bersama.Dia mahu anak-anak sedar siapa mereka, tidak perlu ditanya dan diulang kemana perginya ayah mereka.

Teringat pertemuannya tadi, hatinya resah. Betulkah apa yang dia lakukan? Begitu senang dia memberikan persetujuan tadi. Baru sekarang dia sedar, mampukah dia mengharungi satu lagi muslihat hidup. “Kau tak boleh mengelak Mas, undur atau maju musibahnya tetap ada, kau mesti hadapi, kau mesti kuat,” hatinya bermonolog sendiri.

Tepukkan perlahan di bahunya mematikan lamunan Mas. Perlahan dia mendongakkan kepalanya, pandangan bertembung dengan pasangan yang dilihatnya tadi. “Assalamualaikum. Hari dah nak malam ni, tak elok kalau anak terus berseorangan di sini.”

“Walaikummusalam,” Mas menjawab perlahan. Bagaikan baru tersedar dia memandang sekeliling. Sudah hampir malam rupanya!! Sudah lama agaknya dia termenung di sini. Tanpa dipaksa, dia memberikan senyuman pada pasangan itu sambil mengangguk perlahan.

“Kalau begitu, marilah. Kami pun dah nak balik ni.” Sekali lagi bahu Mas ditepuk perlahan, “kami jalan dulu.”

“Mas balik bang, nanti Mas datang lagi, bawa anak-anak kita. Assalamualaikum bang.” Dengan hati yang berat di bangun dan mengatur langkah menuju keretanya. Langkahnya yang lemah dan sangsi untuk menghadapi hari mendatangnya. Hari-hari yang belum pasti akan kesudahannya. Tegakah dia untuk mengahwini Amran esok? Sanggupkah dia ? Ya Allah bantulah aku, tunjukkanlah aku jalanMu, doa Mas bersama deraian air matanya.


No comments: