Thursday, December 30, 2010

Bukan Pintaku 13



Musa memandang Amran yang sedang memandu di sebelahnya. Wajah tegang itu kadang-kadang berkerut seribu seolah-olah memikirkan masalah yang amat berat. Dia cuba untuk memahami masalah kawannya itu, cuba untuk menenangkan. Ingin diajak Amran berborak rasanya ini bukanlah masa yang sesuai. Selagi Amran tidak membuka mulut untuk bercerita, dia tidak akan memaksa. Itu bukan caranya dan dia tahu Amran juga tidak suka jika ada orang yang cuba menyibuk tentangnya. Tunggu sahajalah mulut itu berbicara sendiri.

Dia yang baru melangkah untuk keluar tadi terpinga-pinga bila tiba-tiba sahaja Amran menariknya ke kereta. Tanpa sempat bertanya dia hanya mengikut. Yang sempat dilihat hanyalah kelibat Linda yang bagaikan sedang mengamuk dan wajah Amran yang masam mencuka.

Sekali lagi wajah tegang Amran dikerling. Terdengar keluhan panjang bergema di dalam kereta itu diikuti hentakan tangan Amran ke stereng kereta. Tindakan Amran yang jelas sekali menyebabkan Musa terkejut besar. Perlahan dia mengusap dadanya, kemudian perlahan juga dia mengusap dan menepuk-nepuk bahu Amran yang masih terus memandu.

“Musa..............sorry.” Perlahan pula suara Amran kedengaran.

“Takpe, kalau itu boleh buatkan kau rasa tenang aku tak kisah, tapi hati-hati. Kau tengah memandu ni, aku tak nak pulak bini aku jadi janda nanti.” Bahu Amran masih ditepuknya perlahan. Hanya itu yang mampu dilakukan sekarang, jangan pula Amran meneruskan amukannya dan membahayakan diri mereka.

Amran tergelak kecil mendengar kata-kata kawannya itu. Gelak yang nampak sangat sengaja dibuat-buat.
“Aku tak tahu kenapa Linda masih lagi terkejar-kejarkan aku. Aku naik rimas tahu tak.”

Akhirnya tercetus juga cerita sebenar dari mulut Amran. Musa hanya tersenyum kecil. Susah juga bila jadi lelaki idaman malaya ni rupanya. Perempuan tergedik-gedik keliling pinggang, apatah lagi jika si lelaki ligat melayan.

“Apa pula yang dia buat pada kau kali ni Am?”

“Kau tahu dia tak jemu-jemu telefon aku, bila aku tak layan dia berani pula telefon ke rumah mak bapak aku. Siap terpacak tunggu aku kat depan rumah. Menganggu betul kau tahu tak?”

“Apa dia nak?”

“Masih benda yang sama. Sama seperti yang aku dan dia gaduhkan kat pejabat kita dulu.”

Musa mengeluh perlahan. “Patutlah aku selalu nampak dia kat ofis kita, aku ingatkan kau dengan dia dah berbaik.”

“Itu lagi satu hal, aku naik malu kat staf kita kat pejabat tu. Dah puas dihalau tapi langsung tak faham bahasa nampaknya.”

“Alah Am, kau buat tak tahu sudahlah. Aku rasa lama-lama nanti dia mesti berhenti kejar kau. Biarkan saja dia, jangan kau pula yang melayan sudahlah.”

Amran mendengus perlahan. Fikirannya buntu. Entah apa cara lagi yang perlu dilalukan untuk mengelakkan diri. Kalau boleh dia hilangkan diri, sudah lama dia lakukan. Biar hilang jejaknya. Hilang terus nama dan figuranya dalam otak gila Linda itu.
“Sudahlah Am, sabarlah. Sekarang ni kita nak ke mana?”

“Kau lapar tak?” Musa hanya mengangguk tanda mengiakan soalan Amran. Sudah tengahari. Perutnya juga sudah mula menyanyi lagu keroncong.

“Ok.....aku belanja kau makan. Musa, sorry ek.” Amran tersenyum, sedar akan kesilapan diri yang sudah menyusahkan orang lain.



*************

Mas memicit-micit kepalanya yang pening. Badannya pula terasa seram sejuk. Kesejukan alat penghawa dingin di dalam keretanya menambahkan rasa sejuk seluruh badannya. Mungkin ini tanda awal dia mahu demam agaknya, Mas mengomel sambil meneruskan pemanduannya. Dia ingin cepat sampai ke rumah.

Keretanya dipandu sedikit laju. Takut jika rasa demamnya ini semakin menjadi-jadi. Risau jika kepalanya semakin sakit dan menyukarkan dia untuk memandu.Dia sudah pun memaklumkan pada Puan Zahlia dia ingin meminta half day sahaja hari ini. Tidak larat lagi rasanya untuk masuk ke pejabat. Perbincangan dengan pelanggannya tadi juga cuba diselesaikan secepat mungkin. Nasib baik pelanggannya tadi tidak banyak soal dan tidak banyak kerenah, mudah sedikit kerjanya hari ini.

Jam di tangannya dikerling. Sudah hampir tengahari rupanya. Cepat sungguh masa berlalu. Meninggalkan sesiapa sahaja yang mudah terleka. Mas mengeluh perlahan, masih cuba memfokuskan pada pemanduannya.

Tiba-tiba sebuah motosikal memotong dan terus mencelah masuk di depannya. Brek keretanya ditekan kuat. Terus berhenti tapi saat itu juga badannya terdorong ke hadapan. Dentuman kuat kedengaran. Badannya tiba-tiba mengiggil, kepala yang berdenyut tadi semakin menyakitkan. Entah apa yang telah terjadi, otaknya bagaikan sukar untuk berfikir. Ditekupkan wajahnya di stereng kereta, kenangan lalu menambahkan rasa takutnya saat itu.

Amran melangkah keluar dari kereta. Wajahnya menyinga. Sudahlah hatinya yang sakit tadi belum reda, kemalangan ini pula makin membuatkan dia panas hati. Diterajangnya kereta Proton Iswara yang telah dilanggarnya tadi. Memang kemalangan itu tidak teruk, tapi panas hatinya ini mesti diluahkan.

Musa yang melihat cepat-cepat menenangkan Amran. Bukan salah pemandu kereta Iswara ini, mereka nampak apa yang terjadi tadi. Dan Amran yang mengikut dari jarak dekat tidak sempat mengelak.

Musa menjenguk ke tempat pemandu. Kelihatan bahu wanita yang sedang menekupkan wajahnya itu terhenjut-henjut. Dia mengeluh lega, setidak-tidaknya dia tahu wanita itu masih lagi sedarkan diri.

Ketukan berkali-kali di cemin keretanya tidak dihiraukan Mas. Badannya mengigil ketakutan. Sedikitpun tidak dihiraukan bunyi bising di luar, kepalanya masih ditekupkan.

Amran yang melihat semakin panas hati. Nampaknya cara Musa itu tidak mendatangkan sebarang hasil. Tanpa berfikir panjang, sekali lagi diterajangnya kereta itu diikuti dengan ketukan yang lebih kuat. Bertalu-talu. Perlahan dia melihat wanita itu mengangkat muka memandangnya. Air mata membasahi wajah itu. Pandangan mereka bertembung.

“Mas.............” kedengaran suara terkejut Musa di sebelahnya.

Pintu kereta segera dibuka dari dalam. Mas meluru keluar. Tanpa disangka dia terus memeluk Amran di hadapannya. Dihamburkan segala tangisan di dada sasa itu. Terasa segala ketakutannya tadi hilang serta merta. Amran membalas pelukan Mas bila merasa tangan itu semakin erat memeluknya. Dapat dirasakan badan Mas yang mengigil ketakutan di dalam dakapannya.

Tiba-tiba Amran merasakan pelukan yang erat tadi semakin longgar. Badan Mas yang mengigil tadi perlahan terkulai lemah dalam dakapanya. Mas pengsan. Musa yang melihat panik. Amran apatah lagi. Dipangkunya badan Mas di ribanya. Berkali-kali digoncangkan badan itu tapi tidak bereaksi.

“Am, bawak Mas masuk ke kereta kau.”

Dalam panik Amran hanya mengikut kata Musa. Dicempung Mas ke keretanya. Musa membawakan sebotol air mineral dan dihulurkan pada Amran. Namun sedikit pun Mas tidak menunjukkan tanda hendak sedar walaupun sudah puas Amran menyapu wajah itu dengan air.

“Musa. Badan dia panas la. Aku rasa dia demam ni.” Amran semakin gelabah. Badan Mas terlalu panas dirasakan.

“Aku rasa baik kau bawa Mas ke hospital. Kereta dia biar aku uruskan. Lagipun rosaknya tak teruk tu. Apa-apa hal call aku nanti.”

Amran hanya mengiakan. Tanpa menunggu lama dia terus memecutkan keretanya mencari klinik yang berdekatan. Sesekali matanya melekat pada wajah Mas yang pucat lesi. Diam tidak berkutik. 'Mas.......tolong la sedar. Jangan buat saya risau. Ya Allah, selamatkan isteriku.' Berkali-kali Amran memanjatkan doanya. Doa yang tulus dari hatinya, untuk seorang isteri yang tidak pernah diendahkannya.


**************
Mas membuka matanya perlahan-lahan. Dipandang sekeliling. Matanya terpaku pada wajah Amran yang sedang memandu. Dia membetulkan duduknya yang dirasa tidak selesa.

“Mas, awak dah sedar? Awak okey tak?”

“Kenapa dengan saya? Kita nak ke mana ni?” Mas memicit kepalnya yang terasa berdenyut-denyut.

“Awak pengsan tadi, kita ke klinik ye.”

“Eh....tak payah lah. Saya demam sikit je. Mungkin saya terkejut sangat tadi, tu yang pengsan tu. Boleh awak hantar saya balik je?”

Amran hanya mengangguk. Kalau itu yang Mas mahukan dia malas untuk memaksa. Matanya melirik ke arah Mas yang sedang memeluk tubuh, dia tahu Mas demam. Wajah itu memerah menahan sakit. Tangannya meraba jaketnya di tempat duduk belakang. Dihulurkan jaket itu kepada Mas.

“Kenapa? Nak buat apa jaket ni?” Mas hairan melihat Amran yang tiba-tiba menghulurkan jaket kepadanya.

“Awak sejuk kan? Ambil ni, pakai.” Disuakan jaket itu sekali lagi. Teragak-agak Mas menyambutnya.

“Kereta saya macam mana Am?”

“Musa akan uruskan. Kereta tu tak teruk sangat rosaknya. Nanti dah siap saya hantarkan.”

“Am, terima kasih. Saya minta maaf, saya dah banyak menyusahkan awak nampaknya.”

Amran hanya mengangguk. “Rumah awak kat mana ni?” Teragak-agak dia bertanya. Memang dia tidak pernah mengambil tahu di mana isterinya itu tinggal. Selama ini hanya umi dan ayahnya sahaja yang selalu mengunjungi Mas dan anak-anak. Dia, jauh sekali.

“Taman Molek.” Perlahan Mas bersuara. Sedikit terkilan bila sehingga saat ini Amran masih tidak tahu di mana rumahnya. Jelas sekali dia bukanlah sesiapa di sisi Amran.

Suasana di dalam kereta itu sunyi sepi. Tiada lagi perbualan antara mereka. Mas hanya memejamkan matanya. Cuba menghilangkan rasa sakit di kepalanya. Dia tahu dia demam, tapi dia tidak sanggup menyusahkan Amran untuk menghantarkannya ke klinik. Dia hanya perlukan rehat, nanti telan sahaja panadol.
Kemalangan tadi kembali terlayang di mindanya. Sungguh, saat itu dia amat takut. Lebih-lebih lagi mengenangkan apa yang telah dia alami dulu. Sehingga kini dia masih terasa trauma, apatah lagi jika melihat kemalangan yang teruk. Sejak kejadian dulu dia mengambil masa yang lama untuk menghilangkan rasa takutnya, dia langsung tidak dapat memandu. Setiap kali memegang stereng, dia pasti gementar.

Waktu itu Ikmal dan Suria yang banyak membantunya. Memberikan semangat untuk dia kembali hidup seperti biasa. Tanpa mengenal jemu mereka cuba membuang rasa takut dalam dirinya. Kata mereka, dia perlu kuat, perlu terus memandu kerana dia perlu bekerja. Anak-anak hanya ada dia. Ketiadaan Ilham bukan bermaksud dia perlu kehilangan semuanya. Ilham tetap di hatinya, di hati mereka, tapi anak-anak adalah tanda cinta Ilham padanya. Amanah Allah yang perlu dia lindungi. Tanda cintanya yang perlu dia sayangi.

Tanpa sedar air mata membasahi pipinya. Amran yang perasan hanya memandang dengan tanda tanya. Kenapa hari ini wanita yang sentiasa tabah dimatanya mudah sekali menitiskan air mata. Pasti ada sesuatu yang tidak dia ketahui. Dan rasa ingin tahu semakin menebal bila melihat air mata di pipi Mas semakin laju mengalir. Kerana diakah air mata itu?

“Mas, saya minta maaf kalau saya dah buat salah.”

Mas mengesat air matanya dengan hujung baju. Perlahan dia mengelengkan kepalanya. “Awak tak buat salah apa pun, kenapa nak minta maaf ?”
“Kalau bukan kerana saya dah buat salah, kenapa awak menangis? Saya tak sengaja berkasar dengan awak di tempat kemalangan tadi. Maaf Mas.”

“ Bukan sebab awak la saya menangis. Jangan risau la Am.” Mas cuba mengukirkan senyum. Amran mengeluh lega.

“Jadi kenapa? Kalau awak tak kisah saya nak juga tahu.
Tadi awak nampak takut sangat, kenapa Mas?”

“Betul awak nak tahu?” Amran hanya mengangguk.

Mas menarik nafas panjang. Dihembuskan perlahan-lahan. Nampaknya dia perlu ceritakan kepada Amran, tidak mahu Amran salah sangka melihat dia yang ketakutan tadi. Dan tidak mahu Amran menyangka dia sengaja memeluk lelaki itu tadi.

“Dulu saya pernah terlibat dalam kemalangan. Kemalangan maut. Suami saya meninggal dalam kemalangan tu. Saya yang berada di sebelahnya hanya dapat memandang dia yang kesakitan. Saya tidak berdaya menolong kerana saya juga tercedera, saya hanya mampu mengenggam tangannya waktu itu.”

Amran memperlahankan keretanya. Cerita yang baru didengar itu tidak disangka. Dilihat Mas menyeka perlahan air matanya yang masih laju menitis. Perlahan Amran mencapai tangan Mas di sebelahnya, digengam erat tangan itu.

“Masa tu saya tidak putus-putus berdoa semoga Allah selamatkan suami saya. Tapi siapa saya untuk menghalang takdirNya. Gengaman tangan kami semakin lama semakin longgar, tangannya yang hangat semakin dingin. Saat itu saya sedar saya akan kehilangannya. Selepas itu saya sudah tidak sedarkan diri. Bila sedar saya di hospital, tapi suami saya sudah tiada. Dia sudah tinggalkan saya Am, selama-lamanya.”

Makin menjadi-jadi tangisan Mas, memaksa Amran memberhentikan keretanya ketepi. Perlahan dia membawa Mas ke dalam dakapannya. Dipeluk erat. Terasa kehangatan badan Mas di badannya. Diusap kepala Mas dengan lembut seperti memujuk anak-anak kecil, dan tanpa sedar dikucup perlahan ubun-ubun isterinya.

“Sabarlah. Sudah tu, jangan nangis lagi. Nanti demam awak makin melarat pula. Badan awak panas sangat ni, kita pergi klinik ye.”

Mas menolak perlahan Amran yang sedang memeluknya. Kepalanya digelengkan. “Saya nak balik. Nanti saya makan panadol, rehat. Tolong hantarkan saya balik Am.”

“Okeylah.”

Amran meneruskan pemanduannya. Suasana kembali sunyi, Mas sudah terlena. Wajah lesu itu bagaikan menarik-narik mata Amran untuk terus memandangnya. Jejari Mas masih erat di gengamannya sehinggalah mereka selamat sampai.

7 comments:

IVORYGINGER said...

woo dah ada pkembangan yg baik mpknya. hope lps ni bahagia akan trs mnyinari hidup diorg la. ;D
sambung lg yea. ;D

Seorg wanita... said...

Touching bacer part Mas citer pasal kemalangan yg memisahkan dia dgn arwah suaminya... mengalir air mata membacanya...

Mudah2an Amran akan berubah selepasa ni...

Anonymous said...

bila nak sambung ni.... ceritanya dah semakin menarik.

Anonymous said...

please next n3...;)
cik ainul lme lg ke nk tggu smbgannya?

ummu_khadijah said...

bila nk sambung....

hud said...

bila nak sambung? nak lagi..best ni..

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)