Wednesday, September 29, 2010

BUKAN PINTAKU 2

Dumm......!!!,Berdentum pintu keretanya dihempas kuat. Kalaulah kereta ni jenis kereta buruk agaknya dah lama kereta tu tinggal tayar je. Apa tidaknya, tuan punya kereta panas barang orangnya. Tiap kali marah ada sahaja benda yang jadi mangsa hentamannya. Bukan setakat pintu kereta je yang menjadi mangsa amarahnya hari ni, tapi semua stafnya di pejabat juga turut terkena tempias panas hatinya. Semua ni gara-gara Linda. Memang perempuan tak tahu malu!! Memang dasar perempuan murahan !!!Berani dia nak memgugut aku!!! Dari tadi berbakul- bakul sumpah seranah pada Linda berlagu dalam hatinya.

Langkah dihayun ke dalam rumah. Kepalanya ditoleh ke kiri kanan mencari kalau-kalau terlihat kelibat uminya di mana-mana. Dalam hati dia berdoa janganlah umi sedar dia sudah pulang. Dia ingin segera sampai ke biliknya. Dia tidak mahu uminya nampak dan perasan dia sedang marah. Kalau uminya tahu, pasti berbakul ceramah yang bakal disumbatkan ke telinganya. Bukan dia tidak suka akan nasihat uminya, tapi sekarang dia tidak bersedia mendengar bebelan percuma uminya itu.

“Cepat balik hari ni Am. Biasa kalau tak pukul dua tiga pagi takkan umi nampak muka Am. Kenapa awal pulak balik hari ni?? Am mimpi apa malam tadi??” satu sindiran sinis dari uminya. Tu baru mukadimah, belum termasuk hujah-hujahnya lagi. Macam mana uminya boleh perasan dia dah balik, tadi rasanya dia tak nampak uminya di depan rumah? Kepala yang tidak gatal digaru-garu. Dia tersengih menghadap uminya.

“Am rasa tak sihat la hari ni umi. Tu yang Am balik awal. Umi dari mana ni ? Masa Am sampai tadi Am tak nampak pun umi.”

“Umi kat dapur tadi. Mana nak perasankan umi, kalau sampai-sampai je kat rumah ni dah berdentum bunyi pintu kereta tu. Macam orang marah je Am? Kenapa.....? Nasib baik umi ni tak ada lemah jantung tau, kalau tidak dah lama rasanya umi ni mati terkejut.”

“Tak ada apa la umi. Mana ada Am marah, saja je
tadi....... nak test pintu kereta tu kuat ke tak!!!.” dia tersengih, cuba melindungi rasa amarahnya. Geli hati pula rasanya mendengar alasan rekaannya sendiri. Harap-harap umi percaya.

“Am naik dulu, nak mandi. Badan Am ni rasa penat sangat. Ayah mana umi? Tak nampak pun kereta dia kat luar tadi?”

“Ayah kamu keluar. Katanya ke masjid. Ada mesyuarat AJK masjid katanya tadi. Kamu nak minum Am, boleh umi buatkan?”

“Tak pe la umi. Am belum haus. Nanti kalau nak minum pandailah Am ambil sendiri. Am naik dulu ye umi,” dia terus melangkah, lagi lama dia di sini lagi banyaklah soalan uminya nanti. Lagi pun dia memang terlalu penat, lelah dengan pelbagai masalah yang seperti bertimpa-timpa sekarang ni. Masalah di pejabat dan masalah teman-teman wanitanya.

Pintu bilik dibuka. Matanya dihalakan ke segenap ruang bilik. Kemas dan teratur sekali susunan perabot biliknya. Kain baju yang berselerak pagi tadi sudah tiada. Ini semua pasti kerja uminya. Umi memang rajin mengemas, dia pula hanya tahu menyelerakkan sahaja, tapi umi tidak pernah menegurnya. Kesian umi. Walaupun umurnya sudah 37 tahun, umi masih melayan dia seperti anak manja. Ya....dia satu-satunya anak umi dan ayahnya. Dia anak tunggal Zaharah dan Hasyim.

Sebab itulah dia masih tinggal bersama kedua orang tuanya itu. Kasih sayang untuk orang tuanya tidak pernah kurang, dia menyayangi mereka lebih dari nyawanya sendiri. Segala apa yang diminta umi dan ayahnya mesti ditunaikannya, cuma satu sahaja yang masih belum mampu dilakukannya. Dia tahu mereka kecewa dengan sikapnya ini. Perangai buruknya yang suka keluar malam ditemani entah mana-mana perempuan dan kekadang pulang mabuk-mabuk amat sukar hendak dia tinggalkan. Tapi setakat itu sahaja yang dilakukan , tak pernah lagi dia terbabas untuk meniduri semua perempuan yang mendampinginya. Dia hanya mahukan teman beseronok, bukan teman untuk melepaskan nafsu. Aku masih waras!!! tapi itulah... bila agaknya baru nak berubah. Keluhan panjang diluahkan. Kesian umi dan ayahnya. Agak malang mempunyai anak seperti dia.

Tingkap biliknya dibuka. Terasa sedikit lega apabila dapat menghirup udara segar. Sungguh dia tidak menyangka. Linda berani datang ke pejabatnya. Mengamuk dan memaki hamun seperti orang histeria. Seperti orang hilang akal. Semuanya gara-gara cemburu buta!!! Cemburu yang tak kena tempat. Cemburu pada orang yang salah. Bukannya aku janji nak kahwin dengan dia pun, jadi kekasih aku jauh sekali. Selama ni Linda hanya dianggap sebagai kawan, tak pernah lebih atau kurang. Memang dasar perempuan perasan!!!! Bila masa pula Linda nampak aku berkepit dengan perempuan lain? Dia menyoal diri sendiri, tapi apa jawapannya.......

Dia cuba mengingati tapi gagal. Ahh.....mana mungkin aku nak ingat, bukan seorang dua perempuan yang keluar dengan aku. Seingatnya, semua perempuan yang dia dekati amat mudah mengikutnya apabila dipelawa menemaninya keluar. Nak kata dia ni kacak rasanya tidak pula. Orang yang mewah atau kaya pun pastilah bukan dia. Dia bukanlah jutawan. Berpangkat tinggi apatah lagi. Ibu bapanya pun bukanlah orang kaya. Ayahnya hanyalah seorang pesara kerajaan. Yang dia ada hanyalah sebuah syarikat yang dikongsikan bersama Musa. Itupun bukanlah syarikat besar yang menjalankan urusniaga berjuta-juta. Syarikatnya dan Musa tidaklah terlalu gah tapi cukuplah untuk mereka menampung hidup sambil memberikan punca rezeki pada staf-stafnya sekarang.

Kenapa ye......semua perempuan tu senang sekali diajak keluar denganku. Agaknya memang semua perempuan macam tu kot....maklumlah hidup di bandar. Ramai sangat perempuan yang mudah mempercayai kata-kata manis lelaki hidung belang. Tapi.........lelaki hidung belang ke aku ni ?? Aku tak pernah merosakkan perempuan-perempuan tu. Kepala yang tidak gatal digarunya lagi. Dia melangkah ke katilnya. Kepalanya terasa berat.

Badan direbahkan ke katil. Selesa rasanya dapat berbaring atas tilam empuk ni. Nafasnya dihela perlahan. Butang baju kemejanya dibuka sedikit, memberikan ruang yang lebih selesa untuk dia berbaring. Fikirannya kembali pada kejadian di pejabat tengahari tadi. Amat memalukan bila semuanya diperhatikan oleh stafnya. Nasib baik ada Musa yang sempat meleraikan kekecohan tu. Kalau tidak pasti makin parah keadaannya tadi. Memang dia seperti lupa diri tadi, hampir sahaja dia menampar pipi gebu Linda. Linda yang benar-benar menyusahkannya.

“ Kau jaga Am, aku tak akan lepaskan kau. Kau nak atau tidak aku akan pastikan kau jadi milik aku. Kau akan datang melutut merayu pada aku. Ini Linda!!! Apa yang aku nak aku mesti dapat. Dan aku tak suka kau keluar dengan betina lain.”

“ Hey!!” suara Amran mula meninggi. “Kenapa pula aku tak boleh keluar dengan perempuan lain?? Kau siapa nak halang aku dan bila pulak aku janji nak kahwin dengan kau ni? Kau jangan nak buat lawak kat sini.”

“ Aku tak kira, kau dah usung aku ke sana sini, lepas tu kau kata aku ni cuma kawan kau. Memang tak masuk akal. Perempuan lain boleh kau bodohkan. Ini Linda, tak pernah ada orang menolak kemahuan aku.”
“ Kalau kau pun nak tahu, ini Amran!!! Tak mungkin aku nak ambil perempuan macam kau untuk jadi bini aku. Baik kau berambus sekarang. Aku tak nak tengok muka kau lagi. Berambus.......”
“ Dasar jantan tak guna.” Tanpa diduga Linda menerpa ke arahnya. Dia yang tidak bersedia terus menjadi mangsa amukan Linda yang sudah seperti orang gila. Memukul dada dan pipinya bersama luahan kata-kata kesat yang sudah tidak jelas maksudnya. Linda sudah gila.......

Saat itu syaitan juga sudah mula merasuknya. Tangannya diangkat untuk membalas, tapi belum sempat singgah ke pipi Linda, terasa tangannya ditahan. Badannya terdorong ke belakang. Linda jatuh terjelepok ke lantai. Muncul Musa yang entah dari mana datangnya. Musa menariknya menjauhi Linda yang sudah terduduk didepannya. Bersama esak tangisnya yang sudah mendayukan lagu sumbang.

“ Kenapa ni Amran, Linda!!! Korang ni dah gila ke??? Bergaduh macam budak-budak.....kau nak masuk lokap ke Am. Kau ingat bila kau pukul si Linda ni masalah boleh selesai ??” Musa mengeleng-gelengkan kepalanya. Cuba menebak apa sebenarnya yang sedang berlaku. Tidak pernah dia lihat Amran berperangai seperti tadi. Biasanya Amran tidak mudah mengamuk atau marah-marah. Dia penyabar orangnya.

Amran mengurut dada. Cuba menenangkan diri. Langsung dia tak sedar apa yang dilakukannya. Syukur, Musa muncul di kala dia hilang kewarasan tadi. Kalaulah sempat tangannya mendarat di badan Linda pasti masalah ini menjadi semakin rumit. Kedua tangannya dihalakan ke kepalanya. Menguakkan sedikit rambutnya ke belakang, terasa sedikit ketenangan menjengah otaknya. Otaknya yang penuh dengan pelbagai persoalan.

“Sudahlah Linda. You baliklah dulu. Tak elok bertindak macam ni. You orang yang berpelajaran, takkan you nak jatuhkan maruah you sendiri kat sini. Baliklah....” Musa akhirnya bersuara memujuk Linda.

“I akan balik Musa. Tapi ingat Amran, apa yang aku katakan tadi. Aku akan buktikan.” Linda meluahkan kembali ugutannya sebelum melangkah keluar. Ugutan yang tak pasti hanya kerana amarah atau sebagai peingatan untuk dia berhati-hati. Keluar bersama dendam yang pasti dibawanya bersama.
Musa menoleh ke arah Amran. Jelas sekali di firasatnya Amran masih dalam kebinggungan. Masih bersisa dengan amarahnya. Amran mesti ditenangkan. Bukan sehari dua dia dan Amran berkawan. Sudah lama, sejak mereka belajar sama-sama di universiti lagi sehinggalah mereka berkongsi membuka syarikat sendiri. Dia dan Amran sama, tidak suka berkerja makan gaji, dan kerana itulah dia dan Amran berada di sini sekarang.
Setahunya, Amran bukanlah orang yang suka mencari gaduh, apatah lagi membuat janji kosong. Apa yang diungkapan Amran itulah yang pasti, bukannya hanya untuk menyedapkan hati. Hati Amran sudah dimiliki walaupun hanya Amran yang merasakannya. Dan kerana itu jugalah Amran berubah menjadi seperti ini, menjadi lelaki yang sudah pandai mabuk-mabuk dan menganggap wanita hanyalah sekadar teman untuk menghiburkan hatinya, mengisi kekosongan jiwanya. Sekadar untuk dijadikan teman berbual. Sebab itulah dia amat yakin tak mungkin Amran pernah mengajak Linda berkahwin. Tapi dia tahu ramai antara wanita yang didampingi Amran memasang angan-angan untuk menjadi isteri Amran.

“Amran, sabarlah,” Musa menepuk-nepuk bahu kawannya itu. Ditariknya Amran ke sofa, cuba menenangkan Amran. “Apa yang sedang berlaku ni? Aku tak pernah tengok kau macam ni Am, kenapa?”

Membisu. Hanya kepalanya sahaja yang digeleng perlahan. Binggung dan malu pada kawannya sendiri. Malu pada tindakan yang tidak disengajakannya. “ Entahlah Musa, aku pun tak tahu, tiba-tiba je Linda muncul kat sini.”

“Apa yang dia nak daripada kau Am? Kau dan Linda kawan lama aku tapi ada ke apa-apa yang aku tak tahu?”

“Entahlah..... Macam yang kau tahu, aku dan Linda memang selalu keluar bersama. Tapi aku tak pernah berjanji apa-apa dengan dia. Aku hanya anggap dia kawan baik aku, sama macam kau Musa.”

“Mungkin Linda salah faham.Kau sepatutnya terangkan pada dia sebelum semuanya ni terjadi.Tak pe la Am, biarlah dia sejuk dulu, nanti kau cuba berbincang dengan dia.”

“Tengok lah nanti.Kau tahu kan, walaupun aku ni selalu keluar dengan ramai perempuan tapi aku tak mungkin akan jatuh cinta dengan mereka.” Amran meraup mukanya.Dia binggung.

“Sudahlah Am. Aku tahu kau masih mengharapkan cinta Marlia. Kau kena sedar Am, Marlia dah lama tinggalkan kau,tak sepatutnya kau terus menyeksa diri kau. Kalau Marlia cintakan kau dia takkan tinggalkan kau kerana lelaki lain. Sedar la Am. Bukak hati kau untuk terima cinta wanita lain, Linda mungkin.” Musa mengeluh perlahan. Sudah jenuh dia menasihati Amran. Namun, begitu jugalah Amran. Tetap hanyut dalam cinta yang menyakitkannya sendiri. Kesian.........

“ Aku yakin Marlia akan kembali pada aku. Aku tak salahkan dia, mungkin dia keliru masa tu. Aku pasti Marlia akan sedar yang aku sangat cintakannya. Dia pasti kembali Musa.”

Musa mati akal. Entahlah apa lagi yang perlu dilakukan untuk menyedarkan temannya itu. Mata dan akal Amran telah buta, buta untuk menilai cinta Marlia yang palsu. Sudah lama rasanya Amran menyeksa dirinya untuk cinta palsu Marlia. Sudah hampir enam tahun. Tidak jemukah Amran? Sudah matikah hati dan perasaan Amran? Dia bangun dan menghampiri Amran, menepuk-nepuk bahu kawannya itu. Hanya itu yang termampu dilakukan sekarang. Apalah dayanya jika hanya dia yang inginkan perubahan sedangkan Amran langsung tidak mahu mencuba.

“Dahlah Am, aku rasa baik kau balik. Cuba tenangkan hati dan perasaan kau ni. Mana tahu Allah berikan jalan pada kau nanti. Aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kau Am.”

Musa berlalu meninggalkan Amran yang belum bersedia menerima kenyataan. Kenyataan yang benar, tapi cuba dinafikan.

“Musa, thanks. Aku akan cuba.......”

“Okey. No problem. And satu lagi, cuba kurangkan perangai kau yang suka keluar malam dan mabuk-mabuk tu.” Musa berpaling dan terus melangkah keluar. Harap-harap Amran berubah. Itulah doanya.

Amran tersenyum mendengar sindiran Musa. Dia tidak pernah ambil hati walaupun kadang-kadang kata-kata Musa agak keterlaluan. Baginya Musa lebih daripada seorang sahabat. Dia bangun meninggalkan sofa yang diduduki sedari tadi. Berjalan menuju meja kerjanya. Meja dikemas lebih kurang, begnya di ambil dan langkah diatur meninggalkan pejabatnya. Dia mahu segera pulang, dan kerana itulah dia berada di bilik tidurnya sekarang.

Badannya digolekkan ke kiri ke kanan. Cuba mencari posisi yang paling selesa. Badannya terasa sedikit melekit, tapi dia tidak terniat untuk membersihkan dirinya sekarang. Tangannya diletakkan ke dahi. Mata yang terkebil-kebil sedari tadi terasa semakin memberat dan akhirnya dia terus terlelap. Dia ingin tidur, ingin merehatkan badannya dan harapannya apabila bangun nanti biarlah semua masalahnya telah pergi. Pergi jauh meninggalkannya dan jangan kembali lagi......   

1 comment:

Anonymous said...

wah...makin berteka teki. siapa pulak Amran ni...