Friday, December 3, 2010

Bukan Pintaku 11



Amran memandu perlahan memasuki perkarangan rumahnya. Sunyi. Begitulah keadaannya setiap hari. Kereta ayahnya tiada di garaj, ke masjid barangkali. Semenjak bersara ayahnya itu sentiasa menghabiskan masa di masjid, pergi waktu zohor dan akan pulang selepas asar, pergi waktu maghrib selepas isyak barulah kelibat ayahnya ada di rumah. Dikerling jam di tangannya. Baru pukul satu setengah, namun badannya bagaikan terlalu letih. Penat sangat.

Gril pintu rumahnya yang berkunci dibuka. Dia memang selalu membawa kunci rumah, tidaklah perlu menyusahkan umi dan ayahnya untuk membukakan pintu jika dia pulang. Hatinya di jentik rasa hairan. Televisyen di ruang tamu terbuka tapi kelibat uminya tidak kelihatan. Tidak pernah pula uminya berkelakuan begini, ke mana uminya? Hatinya resah, terdetik perkara buruk di fikirannya.

Dia menghampiri ruang tamu, berhajat untuk menutup televisyen yang terpasang tanpa penonton. Langkahnya terhenti bila terpandangkan dua kanak-kanak yang nyenyak tidur di ruang tamu. Begitu polos wajah mereka, agaknya televisyen itu dibuka untuk mereka tonton. Sudahnya televisyen yang menonton mereka. Amran tersenyum memandang wajah-wajah comel itu, seronok pula mendengar dengkuran halus daripada mulut-mulut kecil di hadapannya.

Amran menjenguk ke dapur mencari uminya. Dilihat wanita itu cukup leka memotong sayur di tangannya, langsung tidak menyedari kehadirannya di situ.

“Assalamualaikum.......” Amran berbisik perlahan di telinga uminya.

“Ya Allah, budak ni. Terperanjat umi Am.” Uminya dipeluk, rindu rasanya pada ibu yang tidak pernah letih melayan kerenahnya.
“Maaf umi, Am tak sengaja. Terkejut ke?”

“Maunya tidak, yang kamu ni tiba-tiba je terpacul kat rumah ni kenapa? Bila kamu sampai?”

“Dah lama Am sampai. Umi tu hah yang leka sangat buat kerja, nasib baik Am yang masuk. Kalau pencuri tak ke parah.”

“Am nak minum tak? Boleh umi ambilkan.”

“Tak pe, Am ambil sendiri. Umi siapkan je kerja umi tu.”

Amran melangkah ke peti ais. Diambil sebotol air kosong dan sebiji gelas. Dia duduk di meja makan menghadap uminya. Dituang air ke dalam gelas dan diteguk hanya dengan sekali nafas. Hilang rasa hausnya sedikit.

“Anak siapa yang tertidur kat depan tu umi?”

“Oh.....itu kan cucu-cucu umi.Yang lelaki tu Afiq, yang perempuan tu pula Afia. Penat sangat la tu, asyik main je dari tadi.”
Amran mengerutkan dahinya. Cucu? Kalau cucu umi maknanya anak-anak dia la. 'Eh......bila pula dia ada anak?' Sejak bila pula umi pandai buat lawak ni.

“Umi ni Am tanya betul-betul umi main-main pula. Bila masa pula umi ada cucu ni? Bila pula Am ni ada anak?”

Uminya dipandang. Wajah tua itu hanya mengukirkan senyuman sinis sambil mengelengkan kepala. Uminya mengeluh perlahan dan bangkit ke sinki mencuci tangan. Amran mengarukan kepalanya yang tidak gatal. Kepalanya yang sakit dari tadi semakin sakit melihat gelagat uminya.

“Umi.....” Amran memanggil uminya. Tidak suka bila uminya seperti sengaja membiarkan dia tertanya-tanya.

“Am ni betul-betul lupa atau Am sengaja buat-buat tak tahu? Sengaja tak nak ambil tahu dan lupakan tanggungjawab Am.”

“Apa maksud umi? Am tak faham? Apa pula kaitannya Am dengan budak-budak tu?”

“Am......itu kan anak-anak Am. Cucu-cucu umi.”

“Anak-anak Am??” Semakin sakit kepala Amran mendengar kata-kata uminya.

“Ye. Anak-anak Am. Am dah kahwin dengan mama mereka, jadi anak-anak dia anak-anak Am la juga.”

“Maksud umi mereka tu anak-anak Mas?” Amran hanya melihat anggukan uminya yang sudah kembali duduk di depannya. Anggukan yang mengiakan kata-katanya.

“Am, Afia dan Afiq tu tanggungjawab Am sekarang. Am jangan lupa tu, memelihara dan menjaga anak-anak yatim ni besar ganjarannya . Umi harap Am dapat terima Mas dan anak-anaknya. Dah hampir lapan bulan kamu kahwin, jangan sia-siakan perkahwinan ni. Sayang kan....” Amran hanya diam.

Zaharah mengusap lembut tangan anaknya. Sedih hatinya bila mengenangkan kehidupan anak yang pernah dikandungnya ini. Kehidupan yang hanya diselubungi kesedihan dan penantian yang sia-sia. Amran bagaikan hanyut di dunia ciptaannya sendiri. Tenggelam dalam cintanya pada Marlia. Dunia Amran yang sentiasa berwarna warni menjadi kelam saat Marlia wujud dalam keluarga mereka.

“Am, umi yakin Mas adalah isteri yang baik. Bantulah dan terimalah dia kerana umi tahu Am juga adalah suami yang terbaik untuk dia. Lupakanlah semua kisah sedih Am ni, jangan dikenang lagi nak. Cubalah bina hidup baru. Umi dan ayah nak tengok Am bahagia, bukannya hidup dalam kesedihan macam ni.”

“Umi.....Am...”

“Umi tak paksa Am, Am fikirkanlah. Jangan lepaskan apa yang sudah ada depan mata.”

Amran menganggukkan kepalanya. Mulutnya bagaikan dikunci, kata-kata uminya hanya didengar. Sudah berpuluh kali rasanya nasihat ini berlagu sumbang di telinganya. Dan entah kenapa irama lagu nasihat uminya hari ini bagaikan merdu dan amat menenangkan jiwanya. Bagaikan memberikan jalan dan cahaya dalam hatinya.

“Lupa pula umi, Am tak kerja ke hari ni? Kenapa balik awal?”

“Kerja tapi setengah hari je.”

“Kenapa? Am tak sihat ke?”

“Tak la umi, Am rasa penat sangat. Badan pun rasa sakit-sakit je. Ingat nak rehat kat rumah je, sambung esok hari minggu.”

“Oh.....yelah. Bagus la tu. Pergilah berehat, Am nampak penat sangat ni. Umi nak siapkan kerja umi dulu, nanti bolehlah makan sama-sama.”

“Ok bos......” Amran hanya ketawa bila melihat uminya yang bercekak pinggang. Seronok dia melihat wajah gembira wanita yang sudah bersusah payah membesarkannya ini.


***********

Langkah kaki Amran yang baru memijak anak tangga ke biliknya terhenti. Jelas di telinganya rengekan anak kecil dari ruang tamu rumahnya itu. Segera dia menghampiri kanak-kanak yang sudah menjadi anak-anaknya sejak lapan bulan lalu. Risau bila bunyi rengekan itu sudah bertukar kepada tangisan kecil.

Sebaik sampai dilihatnya kanak-kanak lelaki yang nyenyak tidur tadi bagaikan sedang menangis dengan mata terpejam. Tangannya pula terangkat-angkat ke udara.Tanpa diminta Amran segera duduk, perlahan dia menepuk-nepuk belakang Afiq. Ya....itulah nama yang diberitahu oleh uminya tadi. Tanpa sedar dia bagaikan sedang mendodoikan anak kecil itu. Penuh kasih sayang.

Afiq yang merengek tadi sudah kembali terlena. Amran tersenyum melihat wajah anak-anak di depannya. Terasa satu perasaan aneh mengetuk-ngetuk hatinya. Bagaikan tertumpah kasih sayangnya pada anak-anak yang baru sahaja didekatinya sekarang. Rambut anak-anak diusap perlahan. Tanpa sedar dia mengucup dahi mereka. Hatinya bagaikan sudah terikat di situ, kasih sayangnya memekar tanpa diundang. Senyuman tanpa paksaan terukir di bibirnya. Bahagianya dirasakan saat itu, berada di antara dua anaknya kini.

Amran membaringkan badannya di antara Afia dan Afiq. Terasa malas pula untuk dia naik ke biliknya. Dia baring menelentang dengan kedua-dua tangannya diletakkan di bawah kepala. Matanya memandang kipas yang ligat berputar di siling rumahnya. Seronok pula rasanya baring bila diapit oleh anak-anaknya, anak-anak segera!! “Tidur ye anak-anak papa, papa nak berangan kejap.” Amran akhirnya ketawa kecil, lucu dengan omelannya sendiri.

Otaknya diperah untuk cuba mengingati wajah Mas. Wajah yang kali terakhir dilihatnya hampir dua bulan lalu. Wajah wanita yang sudah sah bergelar isterinya sejak lapan bulan lepas. Pertemuan yang tidak disangkanya semasa menghadiri majlis makan di rumah Mr. Goh. Wajah yang malu-malu tapi cukup berani pada pandangan matanya.

Fikirannya menerawang pada pertemuan mereka malam itu. Dia tersenyum. Masih terbayang-bayang betapa beraninya Mas ketika berdepan dengannya tempoh hari. Amran mengusap hidung dan mulutnya sambil tersenyum. Sehingga hari ini masih terasa hangatnya nafas Mas di wajahnya itu. Masih terngiang-ngiang suara bisikan menyindir Mas di telinga. Sungguh, terasa betapa terkejutnya dia saat itu. Pucat wajahnya bagaikan tidak berdarah. Terasa seperti dia berada di awang-awangan. Di dalam dunia yang sangat indah, tapi penuh debaran.

Amran mengusap tangannya. Terasa kelembutan tangan Mas yang bersalam dan mengucup tangannya. Kucupan salam kali ketiga daripada seorang isteri malam itu. Ya...kucupan pertama bila selesai akad nikah mereka yang dilakukan tanpa sebarang perasaan, kucupan kedua saat Mas meminta izin darinya dan kucupan ketiga yang bagaikan terus melekat di hatinya sehingga hari ini. Terasa betapa dirinya dihormati sebagai seorang suami. Berbunga-bunga hatinya bila membayangkan aksi Mas malam itu.

Bermula malam itu, tidur Amran hanya ditemani mimpi-mimpi indah. Wajah Mas sentiasa menari-nari di matanya. Sudah jatuh cintakah dia? Sudah terpikatkah dia pada isteri sendiri. Apakah rindu dan bayangan ini petanda dia sudah terjerat dalam cinta yang tidak diundangnya. Tidak mungkin! Mana mungkin dia jatuh cinta pada Mas, cintanya hanya untuk Marlia. Marlia dan tidak pada wanita lain atau Mas sekalipun. Dia tidak boleh mengkhianati cinta yang dipertahankannya selama ini. Tidak...dan tidak. Cintanya milik Marlia.

Amran meraup wajahnya. Kepalanya yang kembali terasa sakit dipicit perlahan. Entah kenapa dia rasa bersalah bila memikirkan apa yang telah dilakukannya sekarang. Betapa teganya dia menyeksa seorang isteri yang telah dinikahinya kerana kesilapannya sendiri. Menyeksa seorang isteri yang tidak berdosa, isteri yang dibiarkan menjalani hidupnya sendiri. Rasa sesal di hatinya bertimpa-timpa bila memandang wajah tenang anak-anak di sebelahnya. Berdosanya dia kerana langsung tidak menjalankan tanggungjawabnya. Perlahan-lahan hatinya mula membenarkan semua kata nasihat uminya tadi. Namun akal dan fikiran pantas menidakkan kata hatinya.

Tanpa sedar Amran lena dalam sesalan dan hati yang keliru. Lena bersama Afia dan Afiq di sisinya. Tidak tahu jalan mana yang mahu dipilih. Mahu mengikut kata hati atau mengikut logik akal.

************

“Zah....Zah....cepat.” Nyaring terdengar suara Hasyim memanggil isterinya.

“Ada apa bang? Kenapa ni? Balik-balik je terpekik-pekik.”

“Zah, mari.” Hasyim menarik tangan isterinya ke ruang tamu. Tergesa-gesa. Bagaikan mengejar sesuatu. Tidak sabar untuk menunjukkan kepada isteri apa yang telah dilihatnya tadi.

“Kenapa bang? Saya kan nak masak ni.”

“Tu...cuba awak tengok.” Zaharah memandang ke arah ruang tmu yang ditunjukkan suaminya. Seketika dia bagaikan tidak percaya apa yang sedang dilihat matanya. Betulkah ini ataupun dia hanya bermimpi.

“Bang. Betul ke tu Amran? Kenapa pula dia tidur kat ruang tamu ni?” Zaharah menutup mengosok matanya. Amrankah itu yang dilihatnya?

“Zah, kita tak mimpi la. Betul la tu Amran. Budak -budak tu Afia dan Afiq. Abang tak tahu nak cakap apa sekarang ni. Abang rasa bersyukur sangat-sangat.” Hasyim menadah tangannya. Mengucapkan syukur sepenuh hatinya.

Tidak terkata suami isteri itu. Mata mereka tetap leka memerhatikan Amran yang tidur pulas bersama Afia dan Afiq. Kedua-dua anak itu cukup lena di pangkuan Amran kiri dan kanan, begitu juga Amran yang lagaknya tidak ubah seperti seorang bapa yang penyayang. Memeluk kedua anak di pangkuannya seerat mungkin. Begitu nyenyak mereka tidur. Sesekali terdengar dengkuran halus. Tidak sedar air mata kegembiraan menitis di pipi Zaharah. Sungguh, sejuk hatinya dengan aksi di hadapannya.

“Zah, abang harap ini permulaan yang baik untuk anak kita.”

“Ya bang, Zah pun harap begitu. Syukur sangat rasanya. Kita doakanlah kasih sayang Afia dan Afiq dapat mengikat kasih sayang Amran dan Mas ye bang.”

“Yalah. Dahlah. Jom kita ke dapur. Biarkan mereka tidur. Nanti kalau Am tahu kita perhatikan dia, malu pula dia nanti.” Hasyim melangkah ke dapur. Zaharah hanya mengikut langkah suaminya.

Nampaknya tidak sia-sialah apa yang mereka lakukan hari ini. Berbaloilah pujuk rayu mereka yang meminta Mas membenarkan Afia dan Afiq bermalam di rumah mereka malam ini. Pujukan yang akhirnya terpaksa Mas akur. Mereka tahu, berat hati Mas untuk membenarkan. Apatah lagi memikirkan penerimaan Amran terhadap mereka sekeluarga. Tapi jika inilah keadaanya, sungguh mereka amat bersyukur. Terasa hilang beban yang tertanggung selama ini. Semoga kebahagian bakal menjadi milik Amran dan Mas. Milik mereka sekeluarga juga.

No comments: