Thursday, November 18, 2010

BUKAN PINTAKU 9




“Mama.....mama......ada orang datang!!” Kedengaran suara Afia memekik-mekik di halaman rumah.

Mas memandang Mak Jah sambil mengerutkan keningnya. “ Siapa ye yang datang Mak Jah?”

“Mungkin mertua Mas dah sampai agaknya. Cubalah Mas pergi tengok. Tinggalkan semua ni, biar Mak Jah yang selesaikan.” Mas hanya mengangguk. Dicuci tangannya yang agak kotor. Maklum saja, bukannya selalu dia memasak. Selama ini Mak Jah yang banyak membantu, dia hanya ke dapur hari minggu, itupun hanya kadang-kadang.

“Mama...cepatlah. Ada orang datang tu.” Afia sudah tercegat di sebelahnya.

“Siapa yang datang Afia? Afia kenal tak?” Afia mengelengkan kepalanya.

“Afia tak kenal. Tapi dia kata dia atuk ngan nenek.” Afia menjawab sambil menarik tangan Mas mengikutinya.

Sebaik sampai di halaman rumah, kelihatan seorang lelaki dan wanita yang sebaya ibu dan ayahnya, 'ayah dan umi Amran agaknya.' Mas berbisik.

“Assalamuailaikum. Ini umi dan ayah Amran kan?” Mas bertanya sambil mempelawa mereka masuk.

“Walaikummusallam.....” pasangan di depannya menjawab serentak sambil tersenyum. Mengangguk untuk mengiakan pertanyaan Mas tadi.

Mas menyalami kedua mertuanya. “Jemput masuk umi, ayah. Afia, Afiq sini salam atuk dan nenek.”
Afia dan Afiq menghampiri, agak malu-malu tapi salam masih dihulurkan. “Ini Afiq ye....mari sini atuk nak dukung.” Hasyim cuba bermesra dengan anak-anak Mas, cucu-cucu mereka.

“Afia...mari sini dekat nenek. Ni ada nenek belikan coklat untuk cucu-cucu nenek ni. Ni untuk Afia dan ini untuk Afiq.” Zaharah menghulurkan coklat kepada Afia dan Afiq. Mas hanya memandang anak-anaknya. Jelas kelihatan anak-anaknya yang bagaikan teragak-agak mendekati Zaharah.

“Afia....Afiq, ambilah. Kan nenek dah kasi tu. Tak baik buat macam tu. Kesian atuk dan nenek kan.” Mas memujuk anaknya. Tidak mahu mereka terus berada dalam keadaan yang dingin.

Hasyim dan Zaharah hanya tersenyum mendengar kata-kata Mas. Sejuk rasa hati mereka mendengar pujukan seorang ibu kepada anaknya. Kalaulah Amran dan Marlia masih bersama sudah lama agaknya mereka juga mempunyai cucu seperti Afia dan Afiq. Mengisi kekosongan rumah mereka yang setiap hari sunyi. Tapi sekarang Allah memakbulkan doa mereka, walaupun bukan daripada zuriat Amran mereka masih lagi dapat merasa keseronokan mempunyai cucu. Ya....cucu segera agaknya. Sejak Amran menikahi Mas, mereka sudah menganggap anak-anak Mas sebagai cucu kandung mereka sendiri.

“Mas apa khabar?” Zaharah memulakan bicara. Perlahan di mengusap belakang Mas yang diam di sebelahnya. Kasihnya seorang ibu tertumpah di situ.

“Alhamdulillah umi, ayah. Umi dan ayah macam mana, sihat?” Zaharah dan Hasyim tersenyum. Mendengar gelaran umi dan ayah keluar dari mulut menantu mereka, rasa senang di hati.

“Kami sihat. Maaf la Mas, umi dan ayah ni tiba-tiba je datang. Mungkin Mas rasa tak selesa.” Zaharah meneruskan bicaranya. Hasyim hanya menganggukkan kepalanya.

“Ayah dan umi ni sebenarnya dah lama nak datang. Tapi tu la....kami ni rasa bersalah sangat. Malu sangat pada Mas. Kami tak sangka Amran sanggup buat Mas macam ni.” Mas hanya diam, tidak tahu di mana mahu memulakan bicara. Dia hanya memandang ayah mertuanya.

“Mas.....umi dan ayah sudah anggap Mas sebagai anak kami sendiri, kami sayangkan Mas sama macam kami sayangkan Amran. Umi dan ayah minta maaf bagi pihak Amran. Kami harap sangat Mas dapat maafkan kami, maafkan Amran.” Zaharah mengenggam tangan Mas, sakit hatinya mengenangkan apa yang telah dibuat Amran.

“Tak pe la umi, ayah. Mas tak kisah pun, Mas tak pernah ambil hati. Kalau ada salah pun dah lama Mas maafkan. Takkan Mas nak berdendam dengan mertua Mas, berdendam dengan suami sendiri.” Aaaahhhh.....Mas bagaikan tidak percaya dengan apa yang dituturkanya. Memang dia tidak berdendam dengan mertuanya, tapi bila mengingatkan kelakuan Amran malam tadi, bertambah sakit hatinya.

“ Baguslah kalau Mas dah kata macam tu. Kami ni bukan orang lain lagi sekarang, kita dah jadi sekeluarga. Mas adalah anak kami, dan anak-anak Mas sudah jadi cucu-cucu kami.” Hasyim memeluk Afia dan Afiq di sebelahnya. Terasa betapa kasihnya dia kepada anak-anak itu.

“Abang Amran apa khabar? Dia sihat ke?” Mas cuba merisik khabar suaminya. Suami yang hampir empat bulan mengahwininya tapi baru malam tadi bersua muka. Itupun pertemuan tanpa dirancang, bagaikan dua orang asing yang bertemu. Tanpa bertegur sapa tanpa berbalas senyum.

“Amran sihat. Amran langsung tak jumpa Mas ke lepas hari nikah dulu?” Mas hanya menggelengkan kepala. Uminya dipandang. Tidak tahu apa yang perlu dijawab. Dia sendiri bagaikan tidak pernah memikirkan perkara itu, ada atau tiada Amran dia dan anak-anak tetap begitu. Tiada yang berubah. Semuanya masih sama.

“Sabarlah........umi dan ayah harap Mas dapat memberikan peluang pada Amran. Dia mungkin keliru sekarang, tapi kami percaya satu hari nanti dia pasti dapat menerima Mas. Mas tolong kami ye....!”

“Tolong apa umi, ayah. Mas tak faham....apa yang perlu Mas tolong.”
“Mas....kami ni merayu sangat pada Mas, tolonglah terima Amran. Tolong bawa Amran balik ke pangkal jalan, kami sudah tak sanggup nak tengok dia sesat dengan dunia ciptaannya tu. Amran anak yang baik Mas, dan kami yakin Mas mampu mengubah dia. Tolong kami bimbing dia pulang ke pangkal jalan.”

“Mas tak faham umi, ayah....apa sebenarnya yang jadi pada Abang Amran?”

“Mas.....panjang kisahnya, nanti kalau ada masa umi akan ceritakan pada Mas. Apa yang kami sedih sangat....Amran sekarang ni dah banyak berubah. Dia jadi pemabuk, selalu keluar malam dan umi rasa dah lama dia tinggalkan solatnya. Kami harap sangat Mas dapat terima dia seadanya, bimbing dia.”

“Betul cakap umi tu Mas, itulah yang kami harapkan. Mungkin bunyinya pelik, terbalik tapi kami tahu Mas dapat tolong kami.” Hasyim menyampuk kata-kata isterinya setelah diam sedari tadi.

“Tapi....Mas bukanlah sempurna umi, ayah. Mas sendiri masih perlukan bimbingan, tak mungkin Mas dapat ubah Abang Amran.” Mas memandang mertuanya. Entah kenapa beria-ia mereka berdua merayunya, menceritakan buruk perangai anak mereka sendiri. Kalau ibu bapanya sendiri tidak dapat mengubah Amran mana mungkin dia mampu melakukannya. Mengubah orang yang langsung tidak dia kenal, langsung tidak pernah dia dekati. Mustahil.

“Tak pe la....kita sama-sama usaha. Perlahan-lahan. Tapi kami harap apa pun jadi, Mas jangan tinggalkan Amran, Mas harapan kami.” Uminya terus merayu.

Mas mengaru kepalanya yang tidak gatal. Pening...... musibah apa pula ni!!! Tapi bila melihat wajah mertuanya yang penuh mengharap, Mas tanpa sedar menganggukan kepalanya. Antara yakin dengan tidak dia terjerat untuk mengiakan sahaja kata-kata mereka. Takkan dia mahu membangkang kata-kata mertuanya. Dia masih tahu adab susila, hormati sesiapa sahaja jika mereka hormati kita. Mertuanya datang dengan cara baik....jadi tidak salah rasanya jika dia menerimanya dengan baik juga.

*************

Masliana memandang gelagat mertuanya yang masih leka bermain dengan Afia dan Afiq. Riuh rendah suara mereka di halaman. Seronok nampaknya. Dari tadi suka benar mertuanya melayan kerenah anak-anaknya. Masa makan tadi pun bukan main lagi Afia dan Afiq mengada-ngada, makan siap bersuap. Serasi benar nampaknya mereka.

“Mas menungkan apa tu?” Mak Jah duduk di sebelah Masliana. “Mak Jah nampak suka benar Afia dan Afiq pada mertua Mas tu, seronok pula Mak Jah tengok, ceria aje wajah budak-budak tu.”

Masliana hanya tersenyum mendengar komen Mak Jah. Memang tidak dinafikan apa yang dilihatnya sekarang sama sahaja seperti apa yang dikata Mak Jah.

“Mak Jah rasa patut ke anak-anak Mas rapat dengan mereka tu.”

“Kenapa pula tak patut? Mas, kalau mereka sudi terima Mas dan anak-anak Mas, Mak Jah rasa tak ada apa yang tak patutnya. Mak Jah rasa mereka tu ikhlas terima Mas sebagai menantu mereka, anak-anak Mas sebagai cucu mereka.”

“Tapi anak mereka tidak pernah terima Mas. Mas tak mahu nanti Amran anggap Mas menggunakan ibu bapanya pula.” Mas meluahkan apa yang dirasanya sedari tadi. Bagaikan tidak percaya apa yang sedang berlaku di depannya, apa yang telah didengar daripada mulut mertuanya tadi.

Mak Jah mengeluh perlahan. Dia faham, Mas masih susah untuk menerima apa yang berlaku, tambah-tambah lagi Amran sendiri tidak pernah dilihatnya cuba merapatkan diri mereka. Namun, hati tuanya faham apa yang sedang dilakukan oleh mertua Mas. Untuk merapatkan Mas dan Amran, salah seorang perlu mengalah.

“Mak Jah rasa Mas patut beri Amran peluang. Cuba kenali dia sebelum Mas buat apa-apa keputusan. Dia suami Mas sekarang, baik buruk Mas patut terima dia. Mas mesti redha, ini sudah Allah tentukan pada Mas.”

“Tengoklah nanti Mak Jah. Mas tak tahu nak buat apa sekarang. Biarkan aje masa yang tentukan. Mas ikut je apa yang nak jadi. Tak payah la Mas nak fikirkan apa yang tak ada kat depan mata.” Kata-kata Mas mengundang tawa Mak Jah.

“Macam orang yang putus asa je Mak Jah dengar. Betul ke ni Mas yang Mak Jah kenal?”

Mas diam. Tidak mahu melayan usikan Mak Jah. Matanya hanya leka memandang keriangan anaknya dan mertuanya . Hatinya masih berdolak dalih, perlukah dia mengikut semua permintaan mertuanya . Bolehkah dia mengubah Amran jika untuk mendekatinya pun dia belum tentu mampu . Amran yang dekat dalam ikatan perkahwinanya tapi jauh dalam hati masing-masing.

P/S : JANGAN LUPA TINGGALKAN KOMEN KAWAN-KAWAN. THANKS.

No comments: