Sunday, October 31, 2010

LUKAKU MASIH BERDARAH


“Amira......jangan main jauh-jauh. Nanti mama tak nampak, susah.” Sambil melambai anaknya suaranya turut nyaring memekik. Tidak dihiraukan manusia sekeliling yang asyik memandangnya. Azlin melajukan langkahnya. Mengejar Amira yang sudah jauh meninggalkan dia yang masih terkial-kial berjalan.

“Cepat la mama, Mira nak main pasir kat sana. Nak buat istana pasir ni. Mama ni lambat la....cepat la mama......”

“Mira pergi dulu, nanti mama datang. Jangan main dekat sangat dengan air, bahaya. Mama tunggu kat sini. “

“Ok.......mama.” Belum sempat dijawab Amira sudah berlari. Keseronokan jelas di wajah anak yang baru berusia 5 tahun itu. Anak yang dilahirkan dan dibesarkan sendirian tanpa kehadiran dan pengetahuan seorang suami.

Azlin melabuhkan punggungnya di atas pasir, matanya masih leka mengawasi setiap pergerakan Amira. Hanya Amira yang dia ada ,tanda cinta dia dan Badrul. Badrul lelaki yang amat dicintainya dan lelaki yang telah menyebabkan dia terdampar di sini. Di negeri yang agak asing pada dirinya, jauh dari keluarga dan Badrul sendiri. Masih jelas di ingatannya betapa perit kehidupan yang dilalui semasa mula sampai di sini. Nasib baik ada Suraya yang banyak membantunya. Suraya anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang, yang dikenali semasa mereka sama-sama berkerja kilang dulu. Perkenalan singkat yang akhirnya menjadi rapat sehingga sekarang.

Badrul..........?? ahhhhhh, usah ditanya. Sehingga sekarang tiada khabar yang didengar. Malah nama dan wajah itu semakin lama semakin kabur di ingatannya. Bukan dia membenci, tapi hakikatnya dia sudah tidak mampu untuk mengingati. Biarlah semuanya berlalu, tiada gunanya jika dia terus menyeksa diri, mengingati lelaki yang belum tentu mengingatinya. Itu lebih baik daripada dia terusan hanyut, cintanya juga sudah dibuang jauh ke dasar laut cina selatan ini. Tak mungkin dapat dicari lagi.

***********

“Su, balik kerja nanti aku nak ke Plaza Angsana.”

“Nak buat apa pergi sana? Aku ingat nak ambil OT la malam ni. Nak cari duit lebih sikit....nanti tak le tengah-tengah bulan asyik pinjam duit kau je. Nanti kau jugak yang asyik membebel kat aku.” Tidak sedikit pun Suraya memandang Azlin. Tangan Suraya masih lagi lincah menyudahkan kerjanya. Kerja kilang, semuanya mesti cepat.

“Tak pe la kalau kau tak boleh ikut, aku pergi sorang je. Lagipun aku cuma nak beli kain pasang, nak buat baju kurung.” Azlin terus berlalu. Dia sudah merancang, van kilang yang selalu mereka naiki memang akan melintasi Plaza Angsana, jadi dia tidak perlu naik teksi. Tumpang je van kilang tu, jimat duit. Sambil tersenyum-senyum dia kembali ke tempat kerjanya. Entah dari mana mulanya, semenjak dua menjak ni dia berminat nak menjadi tukang jahit. Sedikit duit gajinya dihabiskan untuk membeli peralatan menjahit dan dia sanggup mengikuti kelas jahitan setiap hujung minggu. 'Tak pe.....mana tahu satu hari nanti aku boleh jadi tukang jahit terkenal, takkan asyik nak jadi minah kilang je.' Azlin memasang angan-angannya.

Seronok hatinya bukan kepalang. Sambil berjalan dia asyik membelek beg kertas di tangannya. Sedar tak sedar lima pasang kain dibelinya tadi. Nasib baik duit yang dibawa cukup, yang berbaki hanyalah duit tambang bas sahaja. Dia tersenyum sendiri, melangkah pantas menuju ke hentian bas untuk pulang ke rumah sewanya. Badannya sudah terasa penat, “hentian bas ni jauh la pulak.” Azlin mengomel di dalam hatinya. Sambil berjalan mulutnya juga tidak berhenti membebel.

Tiba-tiba bunyi kuat brek kereta mengejutkannya. Sedar-sedar sahaja dia sudah terbaring di atas jalan raya. Dia cuba bangun, sakit.........darah merah sudah mula mengalir di tapak tangannya. Dia cuba berdiri......sakit juga dan dia jatuh semula.

“Cik, saya minta maaf. Saya tak sengaja.” Wajah lelaki yang panik di depannya di pandang. Entah kenapa air matanya bagaikan empangan pecah, mengalir membasahi pipinya. Kesakitan yang semakin terasa cuba ditahan. Dia cuba berdiri sekali lagi.....gagal.

“Cik, saya tolong. Kita pergi klinik.” Tanpa diduga badannya dicempung. Beberapa saat sahaja di sudah berada di dalam kereta lelaki tadi.

“Encik....barang yang saya beli tadi tercicir. Boleh tolong carikan dulu tak?” Azlin bersuara sambil menahan sakit. Kain yang dibelinya entah terpelanting ke mana semasa dia jatuh tadi.
Lelaki itu terus berlalu dan kemudiannya datang semula membawa beg kertas di tangannya.

“Yang ni ke?” Azlin hanya mengangguk.

“Ok....kita ke klinik sekarang.” Azlin mengangguk lagi, kesakitan yang dirasa bagaikan telah mengunci mulutnya, hanya air mata yang masih tidak malu-malu menunjukkan diri. Dia hanya memandang lelaki di sebelahnya memandu, perlahan....... “Boleh pula bawa kereta pelahan, tadi macam pelesit.” Azlin berbisik.

“Apa awak cakap? Tak jelas, perlahan sangat.” Azlin tersentak. Tidak menyangka omelannya dapat ditangkap telinga lelaki ini. Namun tanpa sedar dia hanya mengelengkan kepalanya. Takut untuk meneruskan kata-kata. Dalam hatinya hanya memanjatkan doa, semoga lelaki ini bukanlah orang jahat. Tidak sanggup dia membayangkan kemungkinan buruk yang sedang berlegar di otaknya sekarang.

***************

“Azlin, mari saya hantar awak balik.” Lelaki di depannya bersuara sambil menjinjit plastik ubat di tangan. Nasib baik kecederaannya tidak serius, hanya kakinya yang terseliuh dan luka-luka kecil. Seminggu doktor yang merawatnya memberi cuti. Nasib baik kakinya tidak patah, kalau tidak pasti akibatnya lebih buruk.

Azlin cuba berdiri, boleh. Dia tersenyum lega. Dia cuba hendak melangkah, parah.......... kakinya terasa amat sakit. Tanpa sedar, mukanya berkerut menahan bisa di kakinya. Dia mencuba lagi..........tapi entah kenapa kali ini jeritan kecil yang melantun keluar dari mulutnya. Secepat kilat ditekup mulutnya dengan tangan, malu. Ditarik nafasnya dalam-dalam sambil memejamkan matanya, cuba mengatasi rasa sakit di kakinya. Baru sahaja dia ingin melepaskan nafas panjangnya terasa badannya bagaikan terapung. Matanya terbuka luas, tanpa mendapat izinnya sekali lagi lelaki ini berani-berani mencepung badannya.

“Kalau awak nak patah kaki pula lepas ni, cubalah meronta. Biar kita sama-sama jatuh.” Tanpa riak lelaki itu berkata, rontaannya serta merta terhenti. Mulutnya sudah terkunci.

“Azlin, rumah awak kat mana?” Dipandang gadis yang masih menunduk disebelahnya. Mungkin gadis ini malu padanya, atau mungkin juga takut.

“Ok......saya minta maaf. Minta maaf sebab tak sengaja terlanggar awak dan minta maaf sebab saya memang sengaja dukung awak tadi.”

“Hah..........” Terlopong mulut Azlin. Malunya bukan kepalang, didukung oleh lelaki yang bukan muhrimnya. Gila.

“Saya minta maaf ok, tapi kalau saya tak dukung awak tadi agaknya sampai sekarang kita belum boleh balik.” Satu senyuman nakal tersungging di bibirnya.

“Rumah awak kat mana, saya nak hantar awak ni. Oh ye.....saya Badrul.” Badrul menghulurkan tangannya.

“Maaf tangan saya sakit. Awak jalan dulu, nanti saya tunjukkan.” Tanpa memandang Badrul Azlin menjawab. Mana mungkin dia menyambut salam lelaki yang bukan muhrimnya, dia masih tahu yang mana halal dan yang mana haram. Hidup di bandar besar ini bukanlah tiket untuk dia melupakan ajaran Islam.

*****************
Perkenalan yang tidak disengajakan akhirnya mencetuskan rasa cinta yang tidak pernah diundang. Cinta yang tanpa dipaksa hadir dalam diri dua insan yang berbeza. Berbeza cara hidup dan berbeza latar belakang keluargan. Berbeza segala-galanya. Bagaikan langit dengan bumi.

Azlin hanya seorang lepasan STPM yang berkerja kilang, anak yatim piatu yang hanya membesar bersama neneknya, tapi sekarang sudah menjadi sebatang kara selepas neneknya meninggal dunia dua tahun lalu.

Badrul seorang lepasan universiti luar negara, berjawatan tinggi, membesar di dalam keluarga yang besar dan kaya. Keluarga yang amat mementingkan pangkat dan keturunan, status dan darjat.

Sebesar mana dugaan, segunung bantahan dan selautan ancaman bagaikan tidak dapat merobohkan cinta di hati Badrul untuk Azlin. Perkahwinan mereka tetap berlangsung walaupun tanpa kehadiran keluarga atau sanak saudara Badrul.

“Sayang, abang janji. Walau apa pun yang terjadi abang tak akan sia-siakan sayang. Cinta abang hanya untuk sayang sahaja.” Cukup yakin Badrul meluahkan perasaannya saat itu.

“Lin janji, hanya abang yang Lin cintai, sehingga hayat Lin.” Azlin memandang wajah suaminya, terasa seluruh jiwa raganya sudah menjadi milik Badrul. Di dalam hati, dia cuma mampu berdoa, biarlah mahligai yang baru dibina ini berkekalan sehingga akhir hayatnya.

************

“Abang!!! Bangunlah . Dah subuh ni, kata nak pergi awal ke pejabat.” Azlin cuba mengejutkan Badrul. Itulah rutin hariannya . Badrul yang semakin manja dan mengada-ngada walaupun sudah hampir empat tahun mereka melayar bahtera perkahwinan. Sungguh, dia amat bersyukur dapat menjadi suri di hati Badrul.

“Alah.....sayang. Kejap lagi la. Abang mengantuk ni.” Badrul merengek bagaikan anak kecil. Tanpa sedar dia sudah pun merangkul Azlin ke dalam pelukannya.

“Abang!!!Bangun......” Teriakan Azlin menyedarkan Badrul dari mimpinya. Sepantas kilat dia sudah pun terduduk, terpandang Azlin yang tersenyum manis di depannya.

“Padan muka, lain kali jangan cuba nak buat helah. Cepat......” Badrul ditarik ke bilik air.
“Lin keluar dulu, siapkan sarapan .”

Badrul tersenyum senang memandang lenggok Azlin yang sudah menghilang. Dia segera membersihkan diri, waktu subuh sudah berada di penghujungnya, dia perlu cepat. Sebaik pintu bilik air dibuka, senyumannya semakin melebar. Di pandangnya pakaian sembahyang dan sejadah yang sudah siap dibentang. Di birai katil pula sudah tersedia pakaiannya untuk ke pejabat. “Azlin....” hatinya cukup senang. Walau pun sudah empat kali meraikan ulang tahun perkahwinan mereka, Azlin masih melayannya seperti hari pertama mereka diijab kabulkan. Tidak pernah berkurangan, cukup lengkap pada pandangan matanya, malah cukup sempurna.

“Abang. Tengahari nanti Lin nak keluar. Nak beli alat jahitan Lin, dah banyak yang habis.”

“Lin nak abang temankan ke?? Kalau hari ni abang tak free, banyak kerja nak kena siapkan. Pergi esok tak boleh ke?”

“Tak pe la. Lin boleh pergi sorang. Nanti Lin naik teksi je. Boleh la bang.........susah la kalau barang tak cukup, banyak lagi tempahan yang tak siap tu.” Suara manja Azlin menyenangkan hati Badrul. Kesian pula untuk menghalang kehendak isterinya, hobi isterinya yang suka menjahit itu bagaikan sudah sebati dengan dirinya.

“Okey lah.....Tapi hati-hati. Jangan lupa call abang nanti.” Satu ciuman singgah di pipi isterinya. Tangannya dikucup Azlin dan akhirnya kucupan sayang seorang isteri singgah di kedua pipinya.

*********

Azlin meneliti telefon bimbitnya. “Sudah pukul dua petang.” Dia mengeluh perlahan. Kakinya sudah lengguh. Sudah hampir dua jam dia keluar masuk ke deretan kedai di pusat beli belah ini , tapi entah kenapa hari ini semua yang dia lihat bagaikan tidak menepati citarasanya.

“Bosannya.....kalau ada kawan kan bagus.” Azlin melepaskan lelahnya. Barulah dia sedar, dia tidak mempunyai ramai kawan. Satu-satunya kawan yang rapat dengannya hanyalah Suraya. Sudah hampir dua tahun mereka tidak bertemu, hanyalah telefon yang masih menghubungkan mereka. Sejak dia berhenti kerja dan berkahwin, Suraya juga turut berhenti dan akhirnya pulang ke Kelantan. Dari khabar yang diterimanya, Suraya sudah berkahwin. Sudah punya dua anak. “Anak.....” Alangkah bahagianya kalau dia juga punya anak. Entah di mana silapnya, sehingga sekarang rezeki masih tidak menyebelahinya. Dia dan Badrul sihat, itu kata pakar yang merawat mereka. “ Kesian Badrul..........ya Allah kurniakanlah zuriat untuk kami ya Allah.” Azlin memanjatkan doanya , hanya itu sahaja yang dapat menenangkan hatinya.

“Mama.....adik nak makan ais krim.” Rengekan anak kecil di depannya menyedarkan Azlin dari lamunanya. Matanya mengekori langkah anak kecil itu dan ibunya yang semakin jauh meninggalkannya. Tanpa sedar senyuman panjang terukir di bibirnya. “Badrul..................” Senyumannya mati, jantungnya bagaikan terhenti . Kakinya terasa mengigil. Badannya seram sejuk. Azlin memejamkan matanya, mimpikah dia?? Dibuka perlahan dengan harapan bayangan Badrul sudah lenyap pada pandangannya . Tubir matanya mula rasa panas, drama apakah yang sedang Badrul lakonkan sekarang . Berjalan dan berpelukan mesra bersama wanita lain di tempat ini. Bukankah tadi suaminya itu mengatakan dia sibuk sepanjang hari, tiada masa untuk menemankannya. Sudah lupakan Badrul siapa isterinya dan siapa pula wanita itu. Air matanya diseka perlahan.

Dengan tangan yang terketar-ketar, Azlin mendail nombor telefon Badrul. Sedaya upaya dia cuba menahan suaranya, tidak mahu timbul syak di hati suami yang dicintainya. Sungguh....hanya Badrul yang dicintainya, melebihi dirinya sendiri.

“Hello........abang.” Saat panggilannya dijawab semakin laju air matanya mengalir.

“Hello sayang. Sayang kat mana ni? Dah beli ke apa yang sayang nak tadi ? Maaflah abang tak dapat temankan.” Badrul......sungguh pandai kau berkata-kata, sungguh..... kata-katamu bagaikan seorang pencinta agung.

“Dah....abang kat mana?”

“Abang kat pejabat, sibuk sangat ni. Sayang.....malam ni mungkin abang balik lewat. Tak payah tunggu abang ye.” Ahh...!!!! Badrul. Sudah berapa kali agaknya isterimu ini ditipu. Teganya kau Badrul, dalam diam kau sudah mula dan pandai mengkhianati cinta kita. Air mata......jangan kau cuba-cuba mengalir . Kuatkanlah hatimu Azlin.

“Ye lah bang. Jangan lewat sangat.....nanti abang sakit.” Inilah pesanan ikhlas dari isterimu Badrul.......

“Okey sayang......I love you.” Badrul.........jangan kau bermain dengan kata-kata itu kalau kau tidak tahu menghargainya. Ingin sahaja dia menjerit pada Badrul saat itu. Tapi siapalah dia, dan air matanya memang tidak tahu diajar, masih tidak malu untuk mengalir di pipinya.

**************
“Hhmmm......wanginya. Abang kan tak kerja hari ni, nak ke mana pakai handsome – handsome ni.” Azlin mencium leher suaminya. Kolar baju Badrul dibetulkan.

“Abang nak keluar , jumpa kawan. Mungkin malam baru abang balik.” Badrul memeluk isterinya . Membiarkan sahaja tangan Azlin yang sedang menyikat dan merapikan rambutnya. Bersama Azlin dia rasa dimanja dan disayangi, habis sahaja dia mandi isterinya itu sudah siap menunggu untuk mengeringkan rambutnya, meyikatkan rambutnya. Malah sejak berkahwin isterinya yang akan memotong kukunya sehinggalah mencukur janggut dan misainya. Stoking pun sering kali dipakaikan isterinya. Azlin cukup sempurna , tidak nampak di mana cacat celanya. Sungguh.....dia amat mencintai dan menyayangi Azlin. Walaupun mereka masih tidak dikurniakan zuriat, cinta dan kasihnya tidak pernah berkurangan.

“Dah siap....” Suara manja Azlin menyedarkan Badrul. Dia bagaikan khayal memandang Azlin yang masih dalam pelukkannya. Dikucup bibir indah isterinya, namun bagaikan kilat Azlin memalingkan wajahnya. Badrul tersentak....inilah kali pertama isterinya mengelak. Kenapa??

“Abang ni nak jumpa kawan atau nak jumpa isteri muda .” Azlin meleraikan pelukan Badrul. Takut jika tahap kesabarannya berada di angka sifar, sebelum kewarasannya hilang lebih baik dia mengelak.

Wajah Badrul pucat tidak berdarah. Kata-kata isterinya bagaikan batu besar yang menghempap dirinya. Walaupun nadanya bagaikan bergurau, kata-kata yang didengar itu bagaikan menyentap tangkai hatinya. Beginikah rasanya bila membuat salah ?? Inikah natijahnya bila dia tega menduakan cinta dan kasih sayangnya. Menyayangi dan mencintai wanita lain selain daripada Azlin. Tiba-tiba dia rasa amat bersalah, sudah banyak pembohongan yang dia lakukan. Mengkhianati kepercayaan Azlin kepadanya. Mendustai setiap perlakuannya malah langsung tidak dapat dibayangkan betapa remuknya hati Azlin jika mengetahui dia sudah dimadukan.

Badrul terduduk di birai katil. Jelas di ingatannya saat dia jatuh cinta lagi, jatuh cinta untuk kali kedua. Dia mencintai Sarina. Walaupun sudah berkali-kali dia cuba menepis perasaaan itu, dia tidak mampu. Demi membuktikan rasa cintanya, dia telah mengahwini Sarina , ya.......Sarina yang pandai mengodanya . Sarina yang bijak memuaskan nafsunya. Sarina yang ternyata lebih pandai bergaya dan lebih moden . Sarina yang selalu meringankan bebannya di pejabat. Sarina yang telah lama mendambakan cintanya , dan godaaan Sarina berakhir bila Badrul setuju memperisterinya. Sarina menantu yang saat ini dibanggakan keluarganya. Menantu yang diharap dapat menyambung zuriat keluarga mereka.

Cintanya pada Sarina tidak pernah memudarkan rasa cintanya pada Azlin. Azlin bagaikan nyawanya. Azlin segala-galanya .Tidak dapat dibayangkan bagaimana hidupnya jika Azlin tiada di sisi.

***************

Azlin hanya memandang kereta suaminya yang semakin menjauh. Membawa bersama cinta dan kasih sayangnya yang tidak pernah padam. Cinta yang telah merobek dan menghancurkan hatinya. Air matanya mengalir lagi....... ”ahhhhh.....air mata ni memang tidak tahu malu”. Diseka perlahan pipinya.

Langkah yang lemah diatur ke bilik tidur mereka . Azlin memandang sekeliling, di sinilah semua cinta dan kasih sayangnya dibajai. Diambil gambar perkahwinan mereka, dipeluk erat ke dadanya. Tangisan sebak mula memenuhi ruang hatinya. Perlahan dia mengusapi perutnya, tanda cinta Badrul sedang membesar di rahimnya. Tanda cinta yang langsung tidak dikhabarkan kepada suaminya. Badrul tidak perlu tahu semua ini.

Badrul.....teganya kau menipu diri ini, teganya kau menduakan kasihmu. Maaf Badrul, aku wanita yang kedekut. Aku tak sanggup untuk berkongsi kasih walau apa pun sebabnya . Maaf.......aku tak akan biarkan kau memilih, biarkan sahaja aku pilihkan untukmu suamiku.

Azlin mengerling jam di dinding. Masih ada lagi 2 jam sebelum dia meninggalkan rumah ini, meninggalkan Badrul dan cintanya di sini. Dia sudah nekad , apa pun yang terjadi dia perlu keluar daripada hati dan hidup Badrul. Badrul bukan lagi miliknya . Badrul sudah jadi milik Sarina , ya.....Badrul sudah jadi milik Sarina hampir setahun. Sungguh pandai Badrul menipu dirinya.

“Pak cik., ikut kereta hitam yang kat depan tu ye. Jangan dekat sangat....saya tak nak mereka nampak saya.” Pemandu teksi itu hanya mengangguk , mengikut sahaja apa yang di arahkan oleh penumpangnya setelah hampir tiga jam menunggu di kawasan pejabat ini. Hari ini Azlin nekad, dia mesti mengetahui hal sebenarnya. Sudah hampir enam bulan dia tertanya-tanya, apakah hubungan Badrul dan wanita yang ditemuinya di pusat beli belah dulu. Menunggu Badrul untuk bersuara tanpa dipaksa tapi semuanya sia-sia. Badrul terus-terusan melakonkan wataknya dengan cukup sempurna.

Saat Badrul dan wanita yang dilihatnya dulu beriringan memasuki rumah banglo di depannya Azlin pasti telahannya betul. Firasat hatinya terbukti benar apabila esoknya dia dapat merisik khabar daripada jiran Badrul dan Sarina bahawa mereka adalah suami isteri yang sah . Sudah hampir setahun mereka berkahwin. Sungguh....hancur luluh hatinya saat itu.
Azlin menjinjit beg pakaiannya yang telah siap dikemaskan semalam. Dipandang sekali lagi sekeliling bilik tidur mereka. “Selamat tinggal........” dia berbisik perlahan. Diletakkan sekeping surat di atas katil mereka , hanya itu yang mampu diutuskan pada Badrul. Warkah perpisahan yang tidak mampu diucapkan dengan kata-katanya .

**********

Sebaik enjin kereta dimatikan, Badrul merasa cukup aneh. Kenapa rumahnya gelap , dan kenapa tiada Azlin yang selalu membukakan pintu rumah untuknya. Dikerling jam di tangannya. “Baru pukul sepuluh malam, takkan sudah tidur !!” Perlahan dia membuka kunci pintu rumahnya. Gelap...........

Dia menjengah ke dapur yang kelihatan terang. Kelibat isterinya masih tiada. Dibuka tudung saji di depannya, perlahan dia menelan liur melihat masakan isterinya. “Mungkin Lin kat bilik , tertidur agaknya. Mesti tunggu nak makan sama ni.” Badrul mengomel sambil mencuit sedikit hidangan di depannya.

Langkah terus dihayun ke bilik tidur mereka. Terasa rindunya membuak pada Azlin walaupun baru sehari ditinggalkan. “Kosong.....kat bilik air agaknya.” Pintu bilik air ditolak perlahan, niatnya hendak mengejutkan isterinya itu. Saat yakin isterinya tiada di situ, hatinya berdebar kuat. Ke mana Azlin ?? Perlahan dia duduk di birai katil mereka. Terpandang sepasang baju tidurnya yang terlipat rapi di atas katil. Dia tersenyum..........Azlin tidak pernah lupakan tugasnya. Namun rasa hairan menjentik tangkai hatinya bila ternampak sepucuk surat yang diselitkan pada baju tidur itu. Ditarik perlahan warkah biru itu dengan perasaan yang berdebar, dibaca perlahan.


Abang,
Maafkan Lin jika apa yang Lin akan katakan ini amat menyakitkan hati abang. Maafkan Lin kerana buat kali ini semua yang Lin lakukan tanpa meminta izin abang terlebih dahulu. Maafkan Lin abang.

Abang,
Halalkan makan minum Lin selama ini. Maafkan Lin jika selama kita menjadi suami isteri layanan Lin pada abang masih tidak cukup sempurna. Abang.....maafkan Lin kerana Lin tidak dapat memenuhi janji Lin pada abang. Lin tidak mampu berkorban untuk kebahagiaan abang , Lin tak berdaya bang . Maafkan Lin .


Abang mintalah apa sahaja, Lin sanggup melakukannya untuk abang. Jika abang meminta nyawa Lin sekalipun Lin sanggup berikan, kerana hanya abang yang bertahkta di hati Lin. Abang syurga Lin. Hanya abang yang Lin cintai. Abang yang Lin kasihi sehingga akhir hayat Lin.

Abang,
Lin tidak pernah marahkan abang. Abang memang berhak lakukan apa sahaja . Siapalah Lin untuk membantah, tapi maaf bang Lin juga tidak mampu untuk menurut. Lin hanyalah seorang wanita yang miskin dan kedekut . Kedekut kerana Lin tidak mampu untuk berkongsi orang yang Lin cintai dengan wanita lain . Lin tidak dapat menahan rasa sedih, terkilan dan sakit hati bila membayangkan suami yang Lin cintai memadu kasih dengan wanita lain . Maafkan Lin .

Abang,
Selamat pengantin baru. Maaf kerana agak lewat untuk Lin ucapkan saat ini, kerana usia perkahwinan abang dan Sarina sudah hampir setahun. Lin minta maaf kerana tanpa sengaja Lin sudah mengorek rahsia yang abang sembunyikan . Sungguh.....Sarina wanita yang amat bertuah dan abang adalah seorang suami yang amat sempurna . Cukup sempurna untuk terus berada di samping Lin yang serba kekurangan . Abang.....semoga abang terus berbahagia bersama Sarina, Lin akan selalu mendoakan kebahagian abang.

Abang,
Maafkan Lin. Izinkanlah setiap langkah Lin untuk keluar dari mahligai kita ini. Biarlah Lin mengundurkan diri . Lin tidak sanggup melihat abang terusan mencipta pelbagai alasan untuk menduakan Lin. Lin tahu, abang pasti tidak dapat memilih jika Lin memberikan pilihan, jadi hanya jalan ini yang terbaik untuk kita . Lin memilih untuk keluar dari hidup abang. Terpulanglah pada abang apa yang akan abang lakukan seterusnya . Apa pun keputusan abang Lin terima dengan redha. Maafkan Lin. Selamat tinggal sayang.


Isterimu, Azlin .

***********


Badrul leka memerhatikan aksi pengunjung Pasar Siti Khadijah . Dari tadi dia masih buntu. Tidak tahu apa yang ingin dibelinya di sini . Sudah dua hari dia berada di Kota Bharu, hajatnya ingin menghabiskan cuti seminggunya di sini.Tapi agenda utamanya adalah menjejaki isterinya Azlin. Hampir enam tahun dia cuba mencari dan hasilnya sia-sia . Sungguh.....saat dia kehilangan Azlin dulu dia buntu, di mana hendak dijejaki isterinya . Azlin tidak mempunyai saudara mara ataupun kawan yang ramai. Sudah jenuh dia mencari, hampir ke seluruh negeri di Malaysia ni, tapi semuanya tidak berhasil. Dia nekad, apa pun yang terjadi dia harus terus berusaha.

“Hey mek Lin....sayur demo tinggal doh ni.” Suara penjual di belakangnya membuatkan Badrul terkejut . Badrul memalingkan mukanya, kelihatan seorang wanita bertudung berpatah semula ke gerai di belakangnya. “Azlin........”

“Maaf la kak Yah, tak perasan tadi .” Ya....memang ini Azlin, aku kenal suaranya , wajahnya makin cantik, sudah ayu bertudung .

“Demo ni khayal ko ore jauh ni .” Ketawa kecil wanita itu bagaikan mengembalikan semua semangat Badrul yang hilang. Dia yakin, wanita ini adalah isteri yang dicarinya selama enam tahun ini.

“Tak de la kak Yah. Saya balik dulu. Tengahari dah ni .” Wanita itu terus berlalu. Badrul bagaikan baru tersedar terus mengejar wanita yang sudah agak jauh meninggalkannya. Dia tidak mahu kehilangan Azlin sekali lagi.

“ Azlin......tunggu .” Mendengar suaranya dipanggil, Azlin mematikan langkahnya. Dia berpaling semula , tanpa disangka seorang lelaki sudah memeluk erat badannya. Dalam rasa terkejut, dia cuba menolak lelaki di depannya itu.

“Lin.....Azlin....ni abang. Badrul suami Lin .” Azlin terkejut separuh mati. Barulah dia terasa kecilnya dunia ni, sudah enam tahun dia menghilang, kenapa hari ini perlu bertemu.

“ Abang......” Pantas Azlin menyalami tangan Badrul. Perlahan tangan itu dikucupnya. Tanpa sedar dia mengalirkan air mata yang sudah lama tidak menemaninya.
“Lin nak ke mana ni?” Tangan Azlin yang menyalaminya masih digengam erat.

“Nak balik, abang buat apa kat sini?” Azlin memerhati sekeliling, mana tahu jika Sarina juga berada di samping Badrul saat ini. Dia tidak mahu menimbulkan kekecohan.

“Abang cari Lin sayang. Enam tahun....alhamdulilah, akhirnya abang jumpa Lin kat sini. Abang hantarkan Lin boleh? Lin datang dengan apa tadi?”

Azlin hanya mengangguk. Tiada guna dia menolak. Dia dan Badrul mesti berbincang. Dia tidak sanggup untuk melarikan diri lagi. Cukuplah hanya sekali ini. Dia perlukan kepastian dari Badrul, di mana titik penamat hubungan mereka.

“Lin tinggal kat sini ke?” Badrul memandang rumah di hadapannya. Sebuah rumah kampung yang tidak besar tapi cukup terjaga rapi. Sayu hatinya bila mengenangkan bagaimana Azlin menjalani hidupnya selama ini.

“Abang. Sebelum kita masuk Lin nak tanya boleh?” Badrul hanya tersenyum dan akhirnya mengangguk.

“Lin masih isteri abang yang sah ke?” Azlin hanya menundukkan wajahnya. Membiarkan sahaja Badrul menggengam jari jemarinya.

“Lin. Pandang abang. Lin adalah isteri abang yang sah dari dulu sampai bila-bila pun. Abang takkan pernah lepaskan Lin dari abang. Percayalah.”

Azlin hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata Badrul. “Kalau begitu jemputlah masuk, tapi rumah ni cuma rumah kampung. Takut abang tak selesa pula. Maklum la, abang orang bandar tak macam Lin orang kampung.”

“Lin. Cuti abang masih ada lima hari lagi. Boleh tak lima hari ni abang tinggal kat sini?”

“Abang, nanti apa pula kata Sarina. Lin tak nak dia salah sangka pula nanti.”

“Lin. Abang dan Sarina sudah lama berpisah. Kami tak sehaluan. Abang ke sini semata-mata nak mencari Lin, bukan sebab Sarina atau siapa-siapa pun. Kalau lin tak percaya abang akan terangkan semuanya.”

“Tak perlu terangkan bang. Tak perlu diungkit perkara yang lepas. Abang boleh tinggal di sini, tapi Lin ada satu permintaan. Harap abang akan setuju.”

“Lin nak minta apa sayang?”

“Lin akan cakapkan bila hari terakhir abang kat sini nanti, tapi abang mesti berjanji untuk tunaikannya. Kalau abang mengelak mungkin inilah kali terakhir kita jumpa.”

“Abang janji, abang akan tunaikannya. Demi Allah sayang, abang akan tunaikannya.”

Senyuman manis terukir di bibir Azlin. Perlahan dia mengusap wajah Badrul di hadapannya. Wajah yang sudah agak tidak terurus. Badrul hanya membiarkan.......terasa betapa rindunya dia pada belaian tangan isterinya itu. Terasa semua masalahnya saat itu lenyap tidak berbekas.
“Abang dah tua kan? Dah tak ada orang yang nak tolong bersihkan jambang dan misai abang ni. Abang rindukan Lin. Rindu sangat-sangat.” Azlin menyeka air mata di pipi Badrul namun segera Badrul memegang tangannya dan mengucupnya berulang kali. Tanpa sedar Azli sudah pun memeluk erat Badrul dihadapannya. Melepaskan rindu dendam mereka selama ini.

********

Sudah hampir tiga hari Badrul menghabiskan masanya bersama Azlin. Selama itulah Azlin melayannya sama seperti dulu, malah dirasakan layanan Azlin bagaikan terlalu istimewa. Wajahnya yang berjambang sudah kembali bersih. Kata Azlin dia masih kacak walaupun sudah meningkat usia. Dalam umurnya yang sudah menjangkau empat puluh tiga tahun dia masih belum mempunyai anak. “Ah bukan rezeki aku agaknya.”

“Apa yang abang menungkan? Jauh nampaknya fikiran abang tu melayang.” Azlin melabuhkan punggungnya di sebelah Badrul. Kepalanya direbahkan ke riba Badrul , membiarkan Badrul membelai-belai rambutnya.

“Lin. Gambar anak siapa yang abang nampak kat bilik Lin tu. Dan alat mainan siapa yang banyak kat dalam rumah ni? Lin tinggal dengan siapa lagi kat sini?”

“Oh.....itu gambar Amira, itulah tanda cinta Lin. Mainan tu semua dia la yang punya. Kejap lagi dia balik, dah empat hari dia ikut Suraya balik kampung . Suraya tu dah seperti mama nombor dua dia.”

“Jadi Amira ni anak angkat Lin ke?” Badrul semakin pelik mendengar kata-kata isterinya.

“Taklah.........dia...........” Belum sempat Azlin menerangkan terdengar suara kanak-kanak di luar.

“Mama.....mama.......Mira dah balik.” Badrul hanya memandang anak kecil itu memeluk isterinya. Cantik......wajah anak ini seiras dengan Azlin. Tapi kenapa dia rasakan wajahnya juga turut terbias pada anak kecil ini.

“Mama......itu papa kan?” Azlin hanya menganggukkan kepalanya. “Boleh Mira peluk papa tak mama?”

“Mama tak tahu. Mira tanyalah papa sendiri.” Amira memandang Badrul didepannya. Memang inilah papanya, wajahnya sama seperti gambar yang selalu mamanya tunjukkan. Gambar yang selalu dibawa dalam tidurnya.

Badrul merenung Azlin dengan penuh tanda tanya. “Ini Amira bang. Amira anak kandung abang. Tanda cinta kita yang tak pernah abang tahu. Maaf kerana Lin tak beritahu abang yang Lin mengandung semasa keluar dari rumah kita dulu.”

“Amira.....” Badrul memeluk anaknya erat. Tidak sangka selama ini dia sudah menjadi bapa. Terasa betapa bersalahnya dia pada Azlin dan Amira. Maafkan papa sayang, maafkan abang Lin. Abang dah banyak buat salah. Abang silap membuat perhitungan. Maafkan abang.\

“Sudahlah bang. Tiada manusia yang sempurna. Apa pun yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya. Kita mesti redha.”


************

“Lin, pagi esok abang terpaksa balik ke Johor semula. Cuti abang dah habis. Lin ikut abang balik ye.” Badrul mengeratkan pelukannya. Dicium perlahan pipi isterinya. Kepala Azlin yang terlentok di dadanya diusap perlahan. Penuh kasih sayang.

“Maaf bang. Lin tak boleh. Abang, esok Lin mahu abang tunaikan janji abang pada Lin lima hari yang lepas. Abang masih ingat kan?”

“Abang ingat sayang. Lin nak apa? Abang dah berjanji dan abang pasti akan tunaikan.”

“Terima kasih bang. Abang, walaupun apa yang terjadi pada kita lepas ni Lin mahu abang redha. Terimalah semuanya dengan hati yang tenang. Apa pun yang terjadi abang mesti ingat Allah akan sentiasa bersama kita, dan kasih sayang Lin pada abang tidak pernah kurang.”

“Apa maksud Lin? Apa akan jadi pada kita? Abang tak faham Lin. Kenapa?”

“Tak pe la.....besok abang pasti akan faham apa maksud Lin. Malam ni kita habiskan masa kita bersama-sama. Anggap saja malam ni seperti malam perpisahan kita, sebab esok kan abang dah nak tinggalkan Lin.” Azlin tersenyum memandang suaminya.

“Ya.....abang pasti akan rindukan Lin, rindukan Mira. Tapi nanti abang akan datang ambil Lin dan Mira pulang ke sana. Kita bina hidup baru.” Cukup yakin Badrul mengukapkan kata-katanya.

Azlin hanya tersenyum. Tidak mengiakan dan tidak menidakkan. Biarlah Badrul dengan angan-angannya. Apa yang pasti, malam ini dia akan melayan suaminya sebaik mungkin, menyerahkan seluruh jiwa raganya untuk Badrul takluki.

*********

“Papa balik dulu. Nanti papa datang lagi jumpa Mira. Mira jaga mama baik-baik tahu.” Amira hanya menganggukan kepalanya mendengar kata-kata Badrul.

“Lin, abang balik dulu. Jaga diri Lin dan anak kita baik-baik.”

“Abang pun bawak kereta hati-hati. Jaga diri abang. Ingat semua pesan Lin malam tadi.”

“Abang ingat sayang. Sekarang cakaplah, apa yang Lin nak minta dari abang?”

Azlin menghulurkan sepucuk surat pada Badrul. “ Semua pemintaan Lin ada dalam surat ni. Abang bacalah bila abang dah sampai Johor nanti, dan pastikan abang tunaikannya. Abang dah janji pada Lin, demi Allah.”

“Baiklah. Abang janji.” Azlin mengucup tangan suaminya. Dicium pipi suaminya untuk terakhir kalinya.

*********
Sudah dua hari Badrul kembali ke Johor Bharu. Rindunya pada Azlin dan Amira bagaikan semakin membuak-buak. Tidak sabar rasanya menunggu saat untuk mereka kembali ke sisinya, hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang lengkap. Pasti rumah ini akan kembali ceria dan berseri dengan kehadiran mereka nanti.

Badrul membaringkan badannya ke katil. Terasa sedikit penat lelahnya hilang. Baru sahaja dia ingin melelapkan matanya, terbayang di fikiranya permintaan Azlin tempoh hari. “Ah....kenapa cuai sangat aku ni, sampai lupa untuk membaca surat yang Lin bagi.” Badrul mengomel, menyedari kesilapan yang tidak disengajakannya. Entah kenapa dia hampir terlupa pada apa yang dijanjikan.

Badrul tersenyum sendiri saat memandang surat di tangannya, dikucup surat itu sepenuh hatinya, terasa bagaikan Azlin berada bersamanya sekarang. Dibaca surat itu berhati-hati, cuba memahami maksudnya.

Assalamualaikum abang,

Maafkan Lin jika kali ini kata-kata Lin bakal menyakitkan hati abang. Maafkan Lin jika kali ini sekali lagi Lin membuat keputusan sendiri tanpa meminta izin abang terlebih dahulu. Maafkan Lin.

Abang,

Keputusan ini terpaksa Lin ambil setelah enam tahun memikirkan baik buruknya. Perpisahan kita selama enam tahun sudah cukup untuk mematangkan Lin, sudah cukup untuk membuktikan siapa Lin di hati abang dan sudah mampu memperlihatkan di mana letak duduknya Lin di sisi abang. Percayalah abang, kasih sayang Lin pada abang tidak pernah pudar dan tidak mungkin akan hilang. Walaupun apa yang terjadi antara kita, kasih sayang Lin tetap milik abang.

Abang,
Maafkan Lin. Lin sudah mencuba sedaya upaya. Cuba mencari semula cinta Lin pada abang saat kita bertemu semula. Maaf untuk Lin katakan, cinta Lin pada abang sudah tiada. Hanya kasih sayang yang masih berbaki di hati Lin. Maafkan Lin kerana tidak mampu untuk menjaga cinta kita. Kasih sayang tanpa cinta tak mungkin dapat bersatu abang.

Abang,
Maafkan Lin jika permintaan Lin ini amat mengecewakan abang. Lepaskan Lin. Izinkanlah Lin menghabiskan sisa hidup ini tanpa kehadiran abang. Bebaskanlah Lin. Kita tidak mungkin kembali bersatu. Sesungguhnya luka di hati ini masih berdarah. Maafkan Lin abang.

Walau apa pun yang terjadi antara kita, syukurlah kerana adanya Amira sebagai tanda cinta kita. Jangan kita sia-siakan dia. Abang tetap papanya dan Lin tetap mamanya. Selama-samanya hubungan kita tidak akan terputus.Kasih sayang kita tidak mungkin hilang.

Abang,
Lin sentiasa doakan kebahagiaan abang. Jaga diri dan jangan sesekali menyesali apa yang terjadi. Semoga abang tidak lupa pada janji kita tempoh hari, dan yakinlah kasih sayang Lin sentiasa memekar untuk abang. Selamat tinggal suamiku. Selamat datang temanku.

Salam sayang,
Temanmu, Azlin.

************
Azlin leka memerhatikan Amira yang asyik menarik layang-layangnya ke hulu ke hilir. Berlari-lari tanpa menghiraukan perit matahari petang. Hembusan bayu yang bertiup lembut di tepian laut cina selatan saat ini bagaikan menghilangkan rasa panas sang mentari.

Azlin tersenyum senang. Sudah berkali-kali surat di tangannya dibaca. Sudah dihafal setiap patah ungkapan yang dicoretkan. Sudah jelas difahami segala maksud yang ingin disampaikan. Sungguh.....saat ini dirasakan satu beban besar sudah jauh meninggalkannya. Hatinya tidak lagi dirasakan seperti ombak yang menghempas pantai. Dia merasa tenang, setenang air di kali barangkali.

Surat di tangannya diteliti sekali lagi. Jelas Badrul menepati janjinya. Badrul memenuhi pemintaannya. Syukurnya tidak terhingga kerana dia dan Badrul masih tidak terputus hubungan, hubungan sebagai teman yang pasti tidak akan berakhir. Bunyi sms masuk ke telefon bimbitnya mengembalikan Azlin ke alam sedarnya.

'Minggu depan saya datang ke Kota Bharu. Rindu awak dan Amira.'

Senyuman melebar di bibir Azlin . Tidak sangka selepas semuanya berlaku dia dan Badrul masih mampu untuk berbual mesra.

“Mama, jadi ke papa nak datang minggu depan? Nanti Mira nak papa tidur rumah kita ye mama.”

“Maaf sayang, papa tak boleh tidur rumah kita. Bila papa datang, Mira boleh temankan papa tidur kat hotel.”

“Kenapa pula tak boleh mama?” Amira bagaikan tidak berpuas hati mendengar usul mamanya.

“Sebab sekarang papa bukan lagi suami mama. Tapi papa tetap papa Mira dan mama tetap mama Mira. Nanti bila Mira dah besar mama pasti Mira akan faham. Sekarang dah nak malam, jom kita balik.” Amira hanya mengangguk mendengar kata-kata mamanya. Antara faham dengan tidak dia hanya mengiakan.

Perlahan mereka mengatur langkah meninggalkan persisir pantai yang sudah sebati dengan hidup mereka. Meninggalkan segala kepahitan dan penderitaan hidup, moga dibawa menjauhi mereka oleh ombak laut cina selatan. 

                                    -TAMAT- 

p/s : diharap anda dapat meninggalkan sebarang komen. saya amat mnghargai segala komen anda, positif atau negatif. komen anda dapat mengelakkan saya daripada syok sendiri........ maklumlah...... saya pun manusia biasa. terima kasih pada anda yang sudi membaca hasil coretan saya.

2 comments:

Shima said...

kenapa tak bagi peluang kat badrul? kesian kat dia

Anonymous said...

Sedihnya..nape mcm tu akhirnya cerita ni?hampir menitis air mata bila membayangkn diri menjadi azlin..