Tuesday, October 26, 2010

BUKAN PINTAKU 6



Diusap perlahan rambut Afia dan Afiq. Terasa kasih sayang pada anak-anaknya semakin bertambah. Ditenungnya wajah anak-anaknya yang sedang lena tidur. Wajah yang belum mengerti apa yang sedang mereka lalui. Senyumnya terbit bila mengingatkan betapa dulu dia terkejut apabila doktor mengesahkan dia mengandung lagi. Saat itu dia keliru, bersediakah dia untuk membahagikan kasih sayang pada anak-anaknya?

Gelak Ilham menambahkan rasa sakit hatinya. Kerisauannya menjadi bahan ketawa Ilham. Mas merengus perlahan. “ Abang ni kenapa? Tolong la faham, Mas tak nak kasih sayang Mas pada Afia nanti kurang. Macam mana Mas nak bahagikan kasih sayang Mas pada anak-anak nanti. Mas takut Mas tak adil.”

Tawa Ilham sedikit mengendur. Dipandangnya Mas. Perlahan di mengusap pipi isterinya yang sedang marah. Patutlah dulu Mas pernah beritahu dia hanya mahu seorang anak. Ilham tersenyum, dikucup pipi isterinya dan dibawa Mas ke dalam pelukannya. “Mas, abang yakin Mas dapat berikan kasih sayang yang sama rata pada anak-anak kita nanti. Percayalah cakap abang. Semua ni akan datang sendiri. Kasih sayang dan cinta tidak boleh dipaksa Mas, jika Allah kurniakan pada kita, redhalah kita menerimanya. Dia lebih mengetahui.”

Rengekan Afiq mematikan lamunan Mas. Dia mengeleng kepalanya perlahan. Senyumnya melebar. Lucu mengingatkan kebodohannya dulu dan mengakui kebenaran kata-kata Ilham. Kasih sayangnya pada Afiq tidak sekalipun mengurangkan kasih sayangnya pada Afia, malah semakin bertambah. Kasih sayang pada kedua anaknya itu tidak pernah berbelah bahagi, tidak lebih atau kurang. Semuanya datang sendiri.

Perlahan Mas turun dari katil anak-anaknya. Dia ingin kembali ke biliknya. Badannya terasa penat. Banyak yang telah berlaku kebelakangan ini. Lenanya juga sering terganggu. Tanpa diundang juga telinganya sakit mendengar umpatan jiran-jiran yang sibuk menjaja keaibannya. Keaiban yang diharap bakal hilang dengan berita perkahwinannya tadi. Suis lampu dipadamkan, hanya cahaya lampu jalan sahaja yang mencuri masuk menerangi kamarnya.

Dia berbaring di katil, tangannya kemas memeluk bantal di tepinya. Matanya hanya terkebil-kebil di dalam pekat malam. Fikirannya menerawang pada majlis pernikahannya tadi. Kini dia sudah sah bergelar isteri kepada Amran Bin Hisyam. Lelaki yang asing baginya. Yang tidak dicintainya.......Yang tidak dikenalinya. Muncul bagaikan kabus yang pasti hilang bersama terik mentari. “Isteri.......aku isteri Amran!!!” Mas tersenyum sendiri.

“Seorang isteri wajib mencintai suaminya. Memberikan kasih sayang sepenuhnya dan menjaga maruah suaminya. Begitu juga yang patut seorang suami lakukan. Abang janji.” Itulah yang dikatakan Ilham pada malam perkahwinan mereka. Cinta dan kasih sayang yang dibawa hingga ke akhir hayatnya.
“Cintakan suami.......Amran. Macam mana kalau ditakdirkan aku mencintai Amran, mampukah aku, aku kan cintakan Ilham.” Gila........ apa yang kau cakapkan ni Mas, dia kembali berbisik sendiri. Entah kenapa dia boleh berfikir sebegini.

Hanya dengan sekali lafaz sahaja dia sudah sah menjadi isteri Amran. Entah apa yang dirasakan saat itu dia sendiri tidak pasti. Dia tidak mampu tersenyum malah tidak mampu mengalirkan air mata. Semuanya bagaikan satu mimpi. Dan saat Amran menyarungkan cincin ke jarinya dan mengucup dahinya dia bagaikan tidak wujud di situ, tidak beriak. Dia hanya tersedar bila Suria berbisik ke telinganya,” Mas, cium tangan Amran tu.”

Tanpa perasaan tangan Amran dikucupnya. Saat Amran berkalih duduk di sebelahnya dia semakin gugup, dan saat Amran membisikan janji mereka semalam dirinya semakin kaku. Suara-suara di depannya sudah tidak didengar. Dia terpaku di situ, memandang kosong manusia di kelilingnya.

“Mas....ikut aku, salam dengan mertua dan ibu ayah kau.” Bagaikan ringan sahaja kakinya melangkah mengikuti Suria, menurut sahaja apa yang Suria arahkan.Dia bagaikan hilang dalam dunianya sendiri.

“ Umi harap Am dan Mas akan bahagia. Sabarlah. Sekarang Mas dah jadi anak umi.” Itu harapan ibu Amran.

“ Ayah doakan kebahagian kamu dan Am.” Itu doa ayah Amran.

“Sekarang kau dah jadi isteri orang, jangan lagi kau memalukan kami.” Amaran ayahnya bersama anggukan ibunya.

“Lepas ni kami terus balik.” Kakaknya Mastura memberitahu.

Tanpa kata-kata yang mampu diluahkan, Mas hanya mengangguk. Tanpa diduga, Suria memeluknya erat. Pelukan yang mampu memberikan kekuatan padanya saat itu. “Sabarlah Mas. Aku tahu kau kuat. Mari aku hantarkan kau, semua orang dah nak balik ni.”

Beriringan Mas mengikuti langkah Suria, dan saat wajahnya muncul di tangga masjid dia diterpa kedua-dua anaknya. Saat itu dia sudah tidak dapat menahan tangisnya. Empangan air matanya yang cuba dibendung dari tadi pecah berderai. Sedih memikirkan dirinya dan anak-anak. Dipeluk dan dicium anaknya, dan tanpa disangka matanya bertemu pandang dengan Amran yang berada tidak jauh darinya. Mungkin lelaki itu juga sudah mahu pulang.

“Tunggu mama di sini sayang. Suria, aku nak jumpa Amran sekejap. Lepas tu kita balik.” Suria hanya mampu memandang langkah Mas. Terdetik di hatinya apa yang mahu Mas lakukan.

“Encik Amran......tunggu, boleh saya cakap sekejap?” sedaya upaya Mas cuba menyembunyikan tangisnya tadi.

Amran yang baru membuka pintu kereta berpaling. Terkejut apabila mendengar namanya dipanggil. Lagi terkejut bila matanya terpandang wajah Mas di depannya.
“ Kenapa?”

“Awak..........sekali lagi saya minta maaf.” Mas menghulurkan tanganya untuk menyalami Amran. Tanpa sempat berfikir Amran menyambut salam Mas. Sekali lagi dia terkejut apabila Mas menunduk mencium tangannya.

“Awak terima kasih kerana sudi menjadi suami saya. Saya mohon awak halalkan dan izinkan apa sahaja yang akan saya lakukan nanti.”

“Apa maksud awak ni , saya tak faham?”

“ Izinkan saya terus lakukan apa yang telah saya lakukan sebelum ni , saya perlu keluar berkerja dan jalani hidup sendiri. Saya cuma perlukan izin awak, redha awak sebagai seorang suami. Saya janji saya akan jaga maruah awak sebagai suami saya. Saya janji.”

Tanpa sedar tangan Amran mengusap kepala Mas. Lembut dan menenangkan. Dalam terpinga-pinga dia hanya mampu mengangguk. Tanpa dipaksa bibirnya menguntum senyum. “ Saya izinkan awak Mas. Terima kasih juga sebab sudi menjadi isteri saya. Tapi maaf.......saya harap awak faham.”

“Saya faham. Terima kasih awak. Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Perlahan Mas menarik tangannya digengaman Amran. Di melangkah perlahan ke arah anak-anaknya, dia tidak akan berpaling lagi. Dia mesti kuat dan tabah, lebih tabah daripada apa yang dihadapinya semasa kehilangan Ilham dulu. Langkahnya diatur dengan yakin, dan tanpa dia sedar mata Amran sedang mengiringi langkahnya. Berbagai rasa yang sukar difahami sedang berlegar di seluruh jiwa Amran saat itu.

Tangannya mengusap bantal ditanganya. Di malam pernikahannya, dia hanya berseorangan. Tiada gelak tawa atau senyum manis yang diterimanya. Tiada kata-kata sayang daripada lelaki yang dinikahinya. Pelik....kenapa dia sanggup menerima pernikahan yang tidak pasti di mana mula dan akhirnya. Aneh bila dia dengan senang hati merelakan dirinya berada di dalam situasi sekarang. Wajah Amran menari-nari di mindanya. Dia perasan wajah tercengang Amran saat dia meminta izin tadi. Mungkin Amran tidak menyangka dia akan bertindak begitu. Tapi dia yakin, itulah jalan terbaik yang mampu dilakukan. Meminta izin seorang suami. Bukankah syurga itu di bawah telapak kaki suami. Dan Amran adalah suaminya sekarang. Suami..........dia tersenyum sendiri lagi. Matanya yang terasa mengantuk perlahan-lahan membawanya lena, mengusir wajah Amran dari fikirannya.

********************

Dia berada di sini lagi. Di kelab malam ini. Mencari ketenangan yang telah lama menjauhi dirinya. Ketenangan yang belum mahu mendampingi dirinya. Kepalanya sekali sekala digerakkan megikut alunan muzik. Matanya meliar memandang pengunjung lain yang sedang leka menari. Tanpa malu atau segan masing-masing bagaikan hanyut di dunia ciptaan sendiri. Dunia keseronokan yang belum tentu bakal berkekalan.

“Am, jomlah kita menari.” Ajakan Suzi sekejap tadi hanya dibalas dengan gelengan. Dia tidak berminat untuk menyertai mereka malam ini. Dia hanya ingin minum dan melayan perasaannya yang bercampur baur sekarang. Tidak tahu apa yang dirasa dan apa yang berlaku, dirasakan semua ini bagaikan satu mimpi ngeri.

Sebaik selesai akad nikahya tadi dia terus pulang ke rumah. Dia ingin bersendirian, menghilangkan lelah jiwanya beberapa bulan ini. Hajatnya itu hanya bertahan tidak sampai sejam bila leteran umi dan ayahnya berlumba-lumba menjentik gegendang telinganya. Menambahkan rasa amarah, kesal dan seribu rasa yang berlegar dalam dirinya sekarang. Tanpa mahu menambahkan rasa sakit hatinya dan tanpa mahu melukakan perasaan umi dan ayahnya dia terus keluar. Memandu tanpa arah dan akhirnya kakinya berpijak di kelab ini.

Perlahan dia meneguk minuman di depannya. Masih terbayang di matanya saat Mas mencium tangannya dan meminta izin darinya tadi. Dan entah kenapa ringan pula tangannya mengusap kepala wanita yang baru dinikahinya itu. Bagaikan satu perasaan aneh yang sukar ditafsirkan melingkari hatinya saat itu. Dia rasa dihargai, rasa gembira menjentik tangkai hatinya. Terasa betapa besarnya kuasa seorang lelaki yang bergelar suami. Perlahan-lahan dia mengusap tangannya, ciuman dan kelembutan tangan Mas bagaikan melekat di situ.
Wanita itu memang aneh. Lain daripada semua wanita-wanita yang pernah mendampinginya. Walaupun dia tidak pernah cuba merapatkan diri mereka, terasa bagaikan ada satu perasaan aneh yang muncul di hatinya bila berhadapan dengan Masliana. Berhadapan dengan Masliana hatinya merasa tenang, memandang wajah Masliana dadanya berdegup kencang dan melihat senyuman Masliana amarahnya bagaikan ais yang mencair. Masliana bagaikan mimpi ngeri yang indah hadir dalam lenanya saat ini, mimpi yang hanya sebentar cuma dan pasti akan dilupakan nanti.
“Aneh....” Dia bermonolog sendiri. Kenapa perasaan ini tidak hadir semasa dia bersama Marlia dulu. Marlia yang dinikahinya atas dasar cinta. Cinta yang masih utuh di jiwanya sehingga detik ini. Cinta yang masih dia pertahankan meskipun Musa mengatakannya gila. Marlia isteri yang disayangi sepenuh hatinya. Isteri yang sanggup dikorbankan nyawanya sekalipun. Dan kerana Marlialah dia menjadi pengunjung kelab-kelab malam ini. Dia yakin dia akan menemui Marlia semula di sini.

“Masliana....” Amran tersenyum panjang mengingatkan nama itu. Wanita itu memang tabah, masih jelas di matanya aksi Mas yang cuba menyembunyikan air matanya tadi. Dan masih jelas di matanya aksi Mas memeluk anak-anaknya di tangga masjid, sungguh saat itu terasa dirinya amat bersalah. Bersalah kerana mengheret wanita dan anak-anak yang tidak berdosa ke dalam dunianya. Namun rasa bersalahnya hanya sekejap sahaja bila bayangan Marlia kembali menari di fikirannya.

Amran meneguk lagi minuman di depannya. Dia tidak mahu lagi memikirkan pasal Masliana. Tidak mahu lagi mengusutkan kepalanya yang memang telah berserabut. Dia ingin melupakan semuanya malam ini. Biarlah semuanya berlalu. Dia ingin melenyapkan bayangan Masliana, tidak mahu bayangan itu memudarkan ingatannya pada Marlia.

Air di gelasnya yang sudah licin dituang lagi. Kepalanya sudah mula berpusing-pusing. Sudah berbotol-botol minuman yang tidak sepatut disentuhnya mengalir di tekaknya, bersebati menjadi darah dagingnya. Amran sudah mula hanyut dalam alam ciptaannya. Alam yang pasti bakal merosakkan dirinya sendiri. Dia mahu melupakan semuanya detik ini, lupakan bebelan umi dan ayahnya dan lupakan redup wajah Masliana. Apapun yang terjadi dia sudah tidak peduli, dia mahu terus berada di dalam angannya. Angannya bahawa Marlia akan kembali ke pangkuannya. Kembali mengharungi pahit getir hidup bersamanya.


p/s : diharap kawan-kawan dapat berikan komen pada semua hasil tulisan saya. Baik buruk saya terima seadanya, semoga komen nanti dapat membantu saya. thanks.

1 comment:

Anonymous said...

baru jumpa blog ni....

cerita menarik, teruskan mengasah bakat menulis..... all the best.

akak tunggu sambungan nya.....