Wednesday, October 6, 2010

BUKAN PINTAKU 3




Jam di dinding pejabatnya dikerling. Cepat betul masa berlalu. Dah hampir jam sebelas. Sekejap lagi masa rehat. Kerja-kerjanya masih menimbun di atas meja. Tangannya semakin lincah menaip di keyboard komputernya. Sebutharga ini mesti disiapkan sebelum masa rehat. Huh...matilah aku kalau tak sempat siap. Mesti panjang leteran Puan Zahlia nanti. Dia membebel pelahan, bebelan yang hanya dia faham. Bebelan yang pasti tidak akan diketahui oleh bosnya itu.

Kringgg............telefon di hadapannya berbunyi, menandakan ada panggilan masuk. Dibiarkannya terus berbunyi tanpa diangkat. Hai..... telefon ni, tak tahu ke aku tengah sibuk ni. Kalau nak berbunyi pun tunggulah aku siapkan kerja-kerja yang menimbun ni dulu. Lantaklah, mungkin panggilan tu untuk Siti.

Baru je telefon di depannya berhenti berdering, handphonenya pula yang berbunyi minta dia angkat. Puan Zahlia!!! Apa hal pulak bos aku ni. Dahlah tak masuk pejabat hari ni, semua kerja dia aku pulak yang kena selesaikan ni.

“ Hello.....Mas! Awak kat mana ni???”

“ Kat mana lagi bos...... ni kan masa kerja, mestilah saya kat ofis. Kenapa bos? Ada masalah ke??”

“ Oh.... kat ofis, kenapa tadi saya telefon ofis tak ada yang jawab. Saya ingatkan awak dah keluar tadi. Saya nak minta tolong awak ni Mas.”

“ Maaflah bos. Tadi saya ke tandas, tetiba je rasa sakit perut. Suria pula dah keluar, katanya jumpa customer. Tu yang tak dengar bunyi telefon tu tadi. Bos nak saya tolong apa ni? “ rupanya bos yang telefon tadi, janganlah dia tahu yang aku sengaja tak nak jawab telefon.

“ Mas, saya terlupa saya dah janji nak jumpa Alice hari ni. Nak bincangkan pasal tender untuk bekalkan alat tulis yang kita dah dapat tu. Dia nak kita listkan detail spesifikasi yang kita nak. Boleh awak gantikan saya jumpa dia tak?”

“ Boleh ke tak memang kena buat kan bos! Tapi saya tak tahu apa-apa pasal tender tu. Dokumen tender tu pun tak ada dengan saya”

“ Dokumen tu ada atas meja saya, nanti awak ambil. Jangan lupa pula, saya janji dengan dia pukul tiga petang ni.”

“ Ok la bos. Nanti saya cuba selesaikan.” Talian dimatikan. Dia mengeluh panjang. Bos..bos... nasib baik la aku ni serba boleh dan aku suka kerja kat sini. Kalau tak dah lama agaknya aku cabut. Macam staf-staf bosnya sebelum ni, semuanya hanya bertahan sebulan dua sahaja berkerja di sini. Pelbagai cerita yang didengar dari mereka, bos cerewat la, suka marah-marah la sampai cerita-cerita tak masuk dek akal pun ada. Entahlah. Siapa benar siapa tak betul pun sampai sekarang dia tak tahu. Yang dia tahu dia suka kerja di situ. Baginya Puan Zahlia memang seorang yang tegas tapi baik hati. Maklumlah, dia kan boss....!! tegas tu penting.

Sudah hampir lima tahun dia bekerja dengan Puan Zahlia. Itu pun atas ajakan Suria, kawannya semasa belajar di universiti dulu. Kerja ini pun diterima hanya sekadar untuk mencuba, dan hasilnya dia merasa serasi di sini. Satu bidang kerja yang amat berlainan dengan apa yang telah dia pelajari semasa di universiti. Ya........kerja yang tidak pernah dia jangkakan. Bermacam kerenah manusia yang sudah dia jumpa. Pelik......bagaimana dia dapat bertahan melayan perangai pelanggan-pelangan mereka pun dia tak tahu.

Masih lagi dia ingat masa mula-mula berkerja di sini. Bukan sahaja dia gagal berkomunikasi dengan pelanggannya, malah semua kerjanya mendatangkan masalah padanya. Apa tidaknya, tidur lenanya hampir setiap malam terganggu. Perasaan dan jiwanya kacau. Semua masalah di pejabat menjadi mimpi ngeri dalam tidurnya. Hampir sahaja dia behenti kerja, tapi Puan Zahlia dan Ilham lah yang terus menyokongnya. Memberikannya semangat dan sentiasa memberikan kata-kata perangsang. “Jangan putus asa dan jangan sesekali bawa balik masalah pejabat ke rumah, sentiasa berfikiran positif.” Itulah pesanan Ilham dan itulah jugak ajaran yang telah dipasung dalam otaknya oleh Puan Zahlia.

Hah......... berangan !! Tak habis-habis berangan. Bila nak siap kerja ni kalau asyik layan angan aku ni. Senyuman terukir di bibirnya. Entah kenapa dia rasa gembira hari ni. Masih terbayang kerenah anak-anaknya yang nakal mengusiknya malam tadi, yang mengembirakan hatinya. Dan masih teringat panggilan telefon daripada Kas semalam, yang mampu mengukirkan senyum yang semakin panjang di bibirnya. Kas akan datang ke Johor Bharu minggu depan, menghadiri seminar di sini. Sudah lama dia tidak mendengar khabar temannya itu.

Langkahnya di atur ke bilik Puan Zahlia. Dokumen tender yang Puan Zahlia cakapkan tadi perlu dicari, perlu difahami sebelum dia berjumpa Alice. Tidak mahu nanti dia hilang punca semasa perbincangan sedang berlangsung.

Jam dikerling lagi. Sudah hampir dua belas setengah. Kat mana ye Suria ni? Desis hatinya. Telefon diangkat dan terus didailnya nombor yang memang telah dihafalnya.

“ Hello Su. Kau kat mana ni?”

“Apahal kau Mas. Belum lagi satu hari aku keluar, takkan kau dah rindu aku kot?”

“Banyak la kau rindu. Kau kat mana Su. Aku nak minta tolong kau la. Kau masuk ofis tak nanti?” Mas bersuara memujuk.

“ Masuk. Kenapa? Ok...ok...aku tahu, kau nak aku tapaukan kau lunch eh..?” Suria meneka kerana itulah kebiasaan Mas jika mereka tidak keluar makan bersama.

“Pandai la kau ni. Belum cakap dah tahu. Tolong ye. Aku malas la nak keluar hari ni. Banyak kerja nak siapkan. Petang nanti aku kena jumpa Alice pula.”

“Ok la nanti aku belikan.Kita makan sama-sama kat ofis je la.”

“ Ha....sayang nye aku kat kau Su. Thanks ye.” Mas ketawa kecil , telefon diletakkan. Selesai satu masalah. Tak payahlah dia bersusah payah dan bersesak-sesak kat tempat makan hari ni.

Tangannya kembali lincah meneruskan kerja-kerjanya yang terganggu akibat panggilan telefon Puan Zahlia tadi. Dia tidak suka menangguhkan kerja-kerjanya. Paling penting baginya, keja-kerja di pejabat akan dihabiskan di pejabat. Dia tidak akan sekali-kali membawa kerja pejabat ke rumah. Masa di rumah hanyalah untuk anak-anaknya. Itulah pesanan bosnya sejak mula dia bekerja di sini dulu.

*************


“Taraa......!!!! “ Suria melangkah masuk dengan lenggang lenggoknya ke pejabat. Di tanganya terjinjit dua bungkus polisterin makanan. Tersenggih-sengih berjalan mengalahkan model popular.

“Hah!! Yang kau tercenggang pandang aku tu apahal?? Cantik sangat ye aku ni sampai terlopong mulut kau tu.” Suria memusing-musingkan badannya di hadapan Mas, berlagak seperti diva.

“Cantik.............tapi aku rasa kalau kau tak buat macam ni lagi comel. Kau ni kenapa? Gembira semacam je aku tengok? Kau jumpa siapa tadi, atau kau tersampuk jembalang mana ni Su?” Mas menutup mulutnya menahan ketawa. Di ambilnya folder plastik di atas mejanya dan serentak itu diketuknya kepala Suria.

“ Kau ni apahal.....main ketuk-ketuk pula. Cemburu la tu......” Suria menjuihkan bibirnya.

“Tak de la.... aku ingat kau dah tak betul tadi. Tu pasal aku ketuk, biar betul balik kepala otak kau tu.”

“Kau.....” dan serentak itu Suria mengejar Mas. Ketawa mereka bergema di ruang pejabat yang tak seberapa besar itu. Seronok berkejaran sampai tak ingat masing-masing dah jadi mak budak.

“Ok, ok. Dah,dah. Sakit perut aku ni ketawa.” Mas menekan-nekan perutnya, terasa sedikit senak.

“Padan muka kau. Mengata aku lagi. Dahlah jom makan. Sedap ni......” Suria melayang-layangkan bungkusan nasi di depan Mas.

“ Kau tapau apa tu Su. Nasi ye?”

“ Aaaa......”

Mereka menghayun langkah ke pantry pejabat. Perut yang lapar mesti segera diisi. Bau makanan yang dibawa Suria sahaja sudah membuat kecur liurnya. Lapar benar rasanya. Dibancuhnya dua cawan kopi dan segera duduk di meja. Tanpa dipelawa segera dicapai bungkusan nasi yang tercatuk di atas meja.

“Sedapla nasi ni. Mana kau beli?”

“Mana lagi, kedai favourite kau la.” Suria membalas selamba.

“ Su. Malam tadi Kas ada call aku. Dia kirim salam pada kau.” Mas bersuara sambil tanganya lincah menyuap nasi di depannya.

“ Waalaikumusalam. Kenapa dia call kau?” rasanya sudah lama mereka tidak bertemu Kas, Suria menconggak sendirian. Dah hampir satu tahun agaknya.

“Dia kata nak turun sini minggu depan. Ada seminar kat sini katanya. Dia ajak kita lepak sama-sama nanti. Macam dulu-dulu, masa kita kat UTM. Kau nak tak Su?”

“ Aku tak kisah. Kas nak duduk kat mana nanti. Rumah kau ke?”

“Taklah. Syarikat dia dah sediakan hotel. Nanti dia sms aku hotel mana. Dia nak kita jumpa dia kat situ.”

“Okey la tu. Nanti aku cakapkan dengan Zainal. Rasanya laki aku tu tak kisah kalau sesekali aku nak lepak ngan kawan.” Suria memberikan persetujuan.

Mas tersenyum mendengar kata-kata Suria. Hatinya berbunga riang bila membayangkan teman-teman lamanya semasa belajar dulu. Dia, Kas, Ah Boay dan Suria adalah teman rapat. Di tahun pertama, Kas dan Suria tinggal satu bilik manakala dia sebilik dengan Ah Boay. Senyumnya semakin lebar bila nama Ah Boay terlintas di mindanya. “Su, kau ingat tak roomate aku, Ah Boay.”

“Ah Boay??” Suria bertanya hairan, namun akhirnya dia ketawa.

“Apasal pula kau ketawa ni? Aku tanya pasal Ah Boay, bukannya aku buat lawak.” Mas mendengus geram.

“Tak.....tak!!!! Aku rasa lucu bila kau tetiba je ingatkan 'pakwe' kau tu. Kenapa? Rindu ke.......?”

“Kau ni......memang menyakitkan hati aku la Su.” Dia melangkah keluar menuju ke mejanya. Meninggalkan Suria dengan gelaknya yang masih bersisa. Sengaja mahu menyakatnya. Menambahkan rasa geram di hatinya.

Ah Boay....niatnya untuk membotakkan kepala jika diterima memasuki universiti. Kisah dia dan Ah Boay pernah menjadi topik hangat di kampusnya dulu. Ah Boay dengan gaya rambut lelaki dan motor besarnya!! Di mana ada Mas, maka akan adalah Ah Boay. Dia dan Ah Boay mengambil course yang sama. Melintas jalan, Ah Boay akan memimpin tangannya. Membonceng motor Ah Boay itu sudah menjadi kebiasaanya. Ah Boay pasti akan membawanya kemana sahaja yang dipintanya. Malah acap kali helmet pun Ah Boay yang sarungkan ke kepalanya. Entah kenapa, keakraban mereka disalah erti oleh teman-teman kampusnya. Mereka dikatakan bercinta. Fitnah itu tersebar di kampus tanpa dia sendiri menyedarinya.

“ Kas, kau dengar tak gosip terbaru ni.Ada budak melayu yang bercinta dengan budak cina? Alah.....dia orang tu satu fakulti dengan kita. Aku kenal budak cina tomboy tu, aku dengar kawan-kawan dia panggil Ah Boay tapi budak melayu tu kau kenal tak? Budak perempuan tu pakai tudung, tapi 'lesbian'.” herot berot mulut Suria bercerita pada Kas.

“ Mana aku kenal budak melayu tu. Tapi kan aku pernah nampak mereka naik motor sama-sama. Budak melayu tu pakai helmet tapi mukanya tertutup. Tak nampaklah. Tak tahu malu betul budak perempuan tu!!!” Kas pula menyambung cerita sensasi terkini.

Merah padam wajah Mas saat itu. Nasib baik hari tu dia tergerak hati untuk makan tengahari di kafeteria fakulti. Dia jarang makan di sini, biasanya dia dan Ah Boay lebih suka makan di luar kampus. Lebih murah dan lebih banyak pilihan. Hampir tersedak nasi yang dimakan apabila mendengar cerita dua gadis di depannya saat itu. Memang mulut tak makan saman!!! Mengata orang tak kira tempat.

“Awak nak tahu ke siapa perempuan tu?” Mas bersuara, mematikan andaian-andaian yang tidak masuk akal Kas dan Suria.

“Nak. Awak tahu ke??” Serentak Kas dan Suria bertanya hairan. Memandang Mas dengan mata tidak berkelip.

“Saya rasa budak perempuan tu dah ada kat sini.” separuh berbisik Mas bersuara. Sengaja membiarkan mereka tertanya-tanya.

“Mana...? Mana....?” terteleng-teleng kepala Kas dan Suria memandang sekeliling kafeteria.

“Mana...? Tak nampak pun? Awak tunjuklah siapa.” Suria mendesak. Tidak sabar rasanya menunggu. Ingin sekali dia mengenali siapa orang yang tak tahu malu tu.

“Hhmmmm.” Mas berdehem perlahan. Menarik nafas dalam-dalam. “ Budak tak tahu malu tu dah duduk kat depan awak ni! Awak nak berkenalan ke? “ Mas menghulurkan salamnya pada Kas dan Suria. Cuba berlagak selamba. Tidak guna marah-marah kerana semua fitnah itu tidak benar sama
sekali.

Terlopong mulut Kas dan Suria bila mendengar pengakuan Mas. Tidak sangka umpatan mereka tersalah tempat. Malunya bukan kepalang. Sangkaan mereka meleset sama sekali. Tetapi bermula detik itulah mereka berempat mula menjadi kawan baik sehingga ke hari ini. Itulah juga kali pertama dan terakhir Ah Boay membotakkan kepalanya. Agak lucu bila saat itu dikenangkan.

1 comment:

Anonymous said...

Kalau sakit hati dengan bos, baca je kat dia pantun ni (dari buku ‘Alamak, Bosku Seperti Hitler!’) hahaha:

Pagi-pagi, sudah mencemuh,
Si pemandu terus terdiam mengeluh,
Bos ini jenis yang kecoh,
Dapat “Tan Sri”, satu dunia dia heboh.

“Ada pelanggan hendak jumpa”,
Itulah kata si setiausaha,
Bos enggan, mengantuk katanya,
Biarkan pelanggan berjumpa air liur basinya.

Bos memanggil mesyuarat mengejut,
Ada pekerja berjalan bak siput,
Bos pun menengking sampailah semput,
Para pekerja terkentut-kentut.