Saturday, October 2, 2010

BUKAN PINTAKU 1

Kepala di dongakkan ke langit, cuba mencari apa yang istimewa di dalam dingin malam ini.Cantik betul langit malam ni!!! Bulan bak tersenyum bahagia , dikelilingi bintang yang bergemerlapan , cantik sekali....... Suasana malam yang nyaman sebegini memang bukan selalu boleh dirasai. Alang -alang dah terlajak ke sini baik aku habiskan sikit masa lagi , layan perasan sendirian kadang-kadang best juga. Mungkin boleh hilangkan sedikit sakit kepala ni. Mas tersenyum sendirian. Badannya disandarkan ke kereta , dia ingin menikmati keindahan malam ini sepuasnya.

Dia menoleh ke kiri kanan. Mencari kalau-kalau ada orang lain di sini. Maklum ajelah, tempat ni agak sunyi, takut juga kalau hanya dia seorang sahaja kat tempat ni. Bukannya dia penakut sangat, tapi kat tempat sunyi begini dia paling risaukan wujudnya syaitan yang bertopengkan manusia. Zaman moden ni ramai sangat manusia yang nak jadi syaitan.

Lega rasa hatinya bila matanya menangkap kelibat orang lain di situ. Ada yang sendirian tapi nampaknya banyak yang berpasangan. “ Agaknya orang tu tengah bercinta,” dia mengomel sendiri saat terpandang pasangan yang berada tidak jauh darinya.

Dulu selalu dia ke sini dengan Ilham. Hari ini dia datang lagi ke sini tapi keseorangan. Kalau dulu di sinilah dia mencari ketenangan bersama Ilham,bersama meluahkan perasaan masing-masing dan bercerita apa sahaja yang mengembirakan atau bercerita masalah masing-masing. Apa sahaja senang dibicarakan bersama. Memang antara mereka tidak pernah wujudnya rahsia. Akhirnya dia dan Ilham pasti senyum dan tertawa gembira bila habis semuanya diluahkan.

“ Sayang abang sihat tak hari ni ? “ Ilham bersuara sebaik sahaja mereka sampai .

“ Kalau Mas tak sihat, takkan Mas ada kat sini dengan abang, pelik betul la soalan abang ni.” Mas berkata sambil mengerutkan keningnya, agak pelik rasanya apa yang disoalkan Ilham tadi. Seingat dia badan dia sihat walafiat aje hari ni.

Ilham tertawa senang. Lucu dengan jawapan Mas. Dia tahu Mas sihat. Bukan sihat badan yang dimaksudkannya tadi . Sejak dalam kereta lagi dia perasan seperti Mas sedang memikirkan sesuatu. Itu yang merisaukannya, dia amat menyayangi Mas. Tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa isterinya itu.

“Kenapa abang tengok isteri kesayangan abang ni tak macam selalu, Mas ada masalah ke? Nak kongsi dengan abang tak?” Itulah Ilham, Ilham bijak membaca moodnya.

“ Mana abang tahu Mas ada masalah?? Abang ni tok nujum ye... pandai-pandai je cakap Mas macam tu.”

“Jadi....... betullah Mas ada masalah, nampaknya abang ni berbakat juga jadi tok nujum. Mas patut bersyukur tau dapat suami yang pandai menilik macam abang ni. ” Ilham membalas sambil menepuk dadanya, sengaja ingin mengusik isterinya itu.

Mas menarik muncung, Ilham memang pandai mengenakannya. “Kalau Mas memang ada masalah, abang nak tolong ke? Abang yakin ke abang boleh tolong Mas.”

Ilham tersenyum manis. Tangan Masliana diraih dan digengam erat. Dia menguncup jari-jari Masliana dengan penuh rasa kasih sayang. Wajah isteri kesayangannya diteliti, isteri yang telah memberikan sepenuh kebahagiaan dalam hidupnya. Wajah inilah yang selalu didambakan saat mereka berjauhan. Senyuman inilah yang sering dirindui walaupun mereka sentiasa bersama.

“ Mas.......Abang tak pasti sama ada abang mampu atau tidak nak selesaikan masalah Mas. Tapi abang pasti akan berusaha untuk buat Mas bahagia. Abang tak suka tengok Mas tak ceria macam ni. Kalau pun abang tak boleh selesaikan masalah Mas tu, abang mungkin boleh jadi pendengar yang setia. Setidak-tidaknya pasti Mas akan rasa lega sikit walaupun tak banyak. Abang bukan sahaja suami Mas, abang juga kawan Mas yang pasti takkan tinggalkan Mas walaupun Mas dalam kesusahan. Abang sayangkan Mas. Sehingga akhir hayat abang. Percayalah “.

“ Ya.... abang memang setia pada Mas, abang dah buktikan kasih sayang abang pada Mas sehingga ke akhir hayat abang,” tanpa sedar dia mengucapkan kembali ayat itu.

Air matanya yang entah bila menitis lagi dibiarkan terus mengalir. Mengalir untuk kesekian kalinya. Mengalir kerana dia amat mencintai Ilham. Biarlah....., air mata ini bukti bahawa betapa dia merindui Ilham. Merindui gelak tawa Ilham, bicara Ilham yang umpama salju menghiburkan hatinya yang rawan, senyuman Ilham yang pasti melenyapkan semua resah di hatinya. Semua yang ada pada Ilham amat sempurna di matanya. Ilham seorang suami dan seorang bapa yang baik. Tak mungkin dia dapat melupakan Ilham. Andai dapat diputarkan masa, alangkah baiknya......

“ Aku bersyukur padamu ya Allah kerana memberi pelung untuk aku menjadi isterinya. Cucurilah rahmatMu padanya.”

Dia meraup muka. Terasa seperti baru semalam saat itu berlalu. Tetapi hakikatnya , sudah dua tahun saat itu meninggalkannya. Saat bahagia dia dan Ilham. Saat mereka memadu kasih bersama. Saat suka duka dia dan Ilham, suami yang amat dicintai. Suami yang pandai menghiburkan hatinya.

Sekarang semua itu sudah tiada, saat bahagia itu tidak mungkin dapat diulang lagi. Masa sudah jauh meninggakan dia dalam kenangnnya. Kenangannya bersama Ilham dan cintanya pada Ilham. Kini, Ilham sudah tiada di sisinya. Ilham sudah meninggalkannya. Meninggalkan dia dan anak-anak mereka megharungi hidup ini. Meningglkan dia tanpa ucapan atau salam perpisahan. Meninggalkan dia yang ketika itu masih memerlukan kasih sayang seorang suami. Meninggalkan anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang seorang bapa.

Ilham meninggalkan anak bongsu mereka sebelum sempat anak itu memanggilnya ayah. Ilham telah pergi meninggalkannya dan tak mungkin kembali lagi. Tak mungkin kembali lagi untuk menghiburkan hatinya. Tak mungkin kembali lagi untuk mengucapkan kata-kata cinta padanya. Perginya Ilham bukan kerana sudah hilang rasa cinta dan kasih sayangnya. Janji Ilham dengan pencintaNya hanya setakat itu sahaja. Betapa pun dia mencintai Ilham dan menyayangi Ilham siapalah dia untuk melawan takdir tuhan.

Mungkin inilah takdirku, dia berbisik sendirian.Apa pun yang terjadi dia tahu dia harus tabah dan kuat. Tabah dan kuat demi anak-anaknya. Dia telah bertekad, dia tidak akan hanyut di dalam perasaan sedihnya. Cintanya pada Ilham telah pun terpahat kukuh di satu sudut hatinya. Tiada siapa yang dapat mengubahnya. Sekarang, anak-anaknya hanya ada dia, nasib anak-anak perlu dibela. Dia tidak akan sesekali mengabaikan anak-anaknya. Itulah tekadnya saat dia kehilangan Ilham dulu.

Huhhhh.....dia megeluh perlahan. Hari ni dia betul-betul sibuk. Banyak masalah di pejabat perlu diselesaikan secepat mungkin. Walau pun dia hanya bekerja makan gaji, dia tidak suka memperlekehkan semua kerja-kerjanya. Kerja itulah salah satu sumber rezeki untuk dia menyara anak-anaknya. Dia cuba memberikan segalanya yang terbaik untuk permata hatinya, itulah sahaja tanda cintanya yang ditinggalkan Ilham. Afia dan Afiq, merekalah yang menguatkan semangatnya untuk dia meneruskan hidup selepas Ilham pergi.
“Mas , saya nak awak siapkan kerja ni seberapa segera. Pojek ni amat penting pada saya. Projek ni bakal menaikkan lagi nama syarikat kita. Saya harap awak tak hampakan saya nanti. Awak boleh ambil cuti jika awak mahu selepas segala urusan projek ni selesai, tapi pastikan semuanya tip top.” Masih terngiang-ngiang pesan Puan Zahlia tadi. Seorang majikan yang tegas, tapi baik hati.


“ Cuti.......hm...... Dah lama rasanya aku tak ambil cuti. Kesian anak-anak, mungkin masa bercuti nanti bolehlah aku luangkan masa sepenuhnya dengan mereka. ” Mas berbisik sendiri . Rasa rindu pada anak-anaknya segera menyapa.

Jam di tangan dikerling, waktu sudah menganjak ke pukul sembilan malam. Sudah lama rupanya dia di situ. Pasti anak-anak sedang menantinya pulang. Dia bergegas masuk ke dalam kereta dan terus memandu perlahan meninggalkan tempat yang telah lama berkongsi suka duka hidupnya ini. Tadinya pun dia hanya teringin singgah sekejap sahaja di sini selepas pulang dari pejabat, tapi dia agak terleka menikmati suasana yang agak mendamaikan hatinya, terasa sedikit beban perasaannya hilang begitu sahaja. Saat ini hanya wajah riang anak-anak yang sedang menari-nari di matanya. Dia ingin segera sampai di rumah , melepaskan rindu pada anak-anaknya.
Sudah pasti Mak Jah dan anak-anak sedang menunggu kepulangannya.

1 comment:

Anonymous said...

Mas ni janda ke???